Monday, January 19, 2009

Parti Hanyut Jika Berpolitik Cara Lama

KUALA LUMPUR: Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mempersiapkan ahli dan pemimpinnya menempuh cabaran politik era baru bagi menjamin kedudukan dan perjuangannya kukuh serta mampu meyakinkan rakyat untuk jangkamasa panjang.Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata kekalahan dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu membuktikan pendekatan dan strategi selama ini juga perlu diubah mengikut keadaan semasa.“Umno dan BN boleh hanyut jika terus berpolitik seperti sekarang, terutama apabila adanya ahli dan pemimpin masih tidak mahu menerima kenyataan dan sering menyebarkan maklumat salah kepada rakyat,” katanya semalam.
Mohammad Agus berkata, Umno dan BN wajar menilai secara mendalam keputusan kelmarin kerana tanpa penelitian rapi, tidak mustahil parti itu akan menghadapi masalah lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.“Umno misalnya perlu mengambil khidmat golongan intelek untuk membantu mereka memikirkan langkah terbaik memperjuangkan nasib parti, Melayu dan agama. Tanpa tindakan susulan yang berkesan, ia akan merugikan negara lebih-lebih lagi jika masih ramai golongan ‘pengampu’ yang banyak membawa keburukan kepada parti,” katanya.Beliau berkata, penyaluran maklumat yang salah boleh menyebabkan rakyat jelak, terutama apabila membuat perbandingan berhubung isu sama menerusi media alternatif.
Pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, kaedah berkempen BN selama ini wajar diubah kerana keputusan kelmarin membuktikan wujud kelemahan.“Cara mendekati rakyat juga didapati ada yang tidak kena hingga pengundi kurang senang dengan kehadiran calon BN. Walaupun ia isu remeh, tetapi jika tidak diberi perhatian, BN akan menanggung kekalahan seperti di Kuala Terengganu,” katanya.Mohd Azizuddin yang turut meninjau kempen pilihan raya itu, berkata kesan tindakan penyokong pihak yang gagal menjadi calon BN serta masalah peringkat Umno Bahagian Kuala Terengganu juga menyumbang kepada kekalahan itu. Beliau berkata, BN perlu lebih mengutamakan suara akar umbi, bukan hanya mementingkan pandangan pemimpin tertinggi yang mahukan calon tertentu bertanding kerana ia adalah penentu kepada masa depan parti.