Sunday, December 27, 2009

Mana Janji JAWI Nak Bagi Buku KAFA percuma 2010 !

Pelik bila mengamati janji Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali pada bulan September yang lepas mengenai buku teks percuma Sekolah KAFA di Negeri Wilayah Persekutuan yang merangkumi KL, Putrajaya & Labuan. Ustaz 2 KAFA kata tak tau dan minta semua ibubapa membeli buku bagi sesi 2010. Bukan soal tak nak bayar, tapi bila dah janji, di mana janji tersebut. Kena maklumkan kepada rakyat apa masalahnya. Janji dalam situasi politik sekarang diperhati dan dituntut rakyat, sekiranya tidak akan menjejaskan kerajaan BN. Adalah diharapkan kita mendapat respon dari pihak JAWI dan JAKIM dan pemimpin UMNO juga boleh membantu persoalan ini.



Sumber:

Berita Harian Online


36000 dapat buku teks percuma. KUALA LUMPUR: Seramai 36000 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bakal ...www.bharian.com.my/Current_News/BH/r?bodytext=agama...8
36000 dapat buku teks percuma

Oleh Faiza Zainudin

KUALA LUMPUR: Seramai 36,000 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bakal menerima bekalan buku teks percuma bernilai RM2.3 juta bagi sesi persekolahan, tahun depan.Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata murid dari Tahun Satu hingga Enam itu akan menerima lima dari sembilan buku teks setiap seorang yang sebelum ini dibeli dengan harga RM8 bagi setiap subjek.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan subjek buku yang akan diberi secara percuma itu, cuma menyatakan murid terbabit mempelajari subjek antaranya tajwid, Jawi, Arab, hadis, akhlak, akidah dan al-Quran.

“Buat permulaan pada tahun depan, Jawi akan memberi lima buku teks setiap seorang secara percuma tanpa mengira pendapatan keluarga atau adik-beradik sama ada mereka bersekolah di SRA yang sama.

“Pada 2011, kami akan cuba memberi bantuan semua buku teks secara percuma membabitkan sembilan subjek, namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan dan peruntukan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis khatam al-Quran SRA dan kelas al-Quran Fardu Ain (Kafa) anjuran jabatan itu di sini, semalam.
Majlis kali kedua dianjurkan itu disertai seramai 4,000 murid SRA dan Kafa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Che Mat yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya juga akan menerbitkan buku teks sendiri bagi kegunaan murid SRA pada tahun depan.Katanya, penerbitan itu selaras dengan evolusi pembangunan pendidikan Islam di tiga wilayah berkenaan yang berlaku dengan pantas.“Serentak dengan itu, kurikulum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan diselaraskan dengan Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pada 2010,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Che Mat berkata kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan kubur bertingkat bagi mengatasi masalah kesesakan tanah perkuburan di ibu kota kerana tanah perkuburan sedia ada mencukupi sehingga Mei 2061.
Katanya, Tanah Perkuburan Islam berhampiran Lebuh Raya Karak, dekat sini mampu menampung kira-kira 80,000 jenazah manakala 37 tanah perkuburan di sekitar bandar raya penuh dengan kepadatan 95 peratus.“Pihak kami juga menyediakan kemudahan dua kereta jenazah mewah secara percuma kepada mereka yang dikebumikan di luar Kuala Lumpur, ” katanya. - Berita Harian

Saturday, December 26, 2009

Konvensyen PR - Antara Penipu, Penakut dan Hipokrit?

KolumnisSemasa: Konvensyen PR - Antara Penipu, Penakut dan Hipokrit?Posted on Monday, December 21 @ 10:51:01 MYT Topic: Kolumnis
Tun Faisal Ismail Aziz

Sejumlah peserta dalam Konvensyen Pertama Pakatan Pembangkang (PR) yang agak kecewa apabila 1 Polisi Untuk Semua PR dilihat tidak menterjemahkan aspirasi dan retorik politik yang dijanjikan selama ini kepada mereka. Misalnya, apabila pernyataan polisi ini masih mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mereka anggap bersifat RASIS, terutamanya dari aspek untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu.

Ini jelas amat bertentangan dengan prinsip persamaan dan assobiyah yang mereka pegang selama ini.Polisi ini juga dilihat sebagai masih meneruskan agenda Negara Islam Barisan Nasional (BN) apabila turut mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, sedangkan yang mereka harapkan adalah agar negara ini dijadikan sebuah negara sekular dengan kedudukan semua agama adalah sama tanpa ada sebarang perbezaan.

Ada juga yang kecewa kerana mereka masih terpaksa menerima Institusi Raja-raja Melayu sedangkan selama ini mereka mengharapkan Malaysia menjadi sebuah negara sosialis mirip republik tanpa golongan Raja-raja, lebih-lebih lagi yang berketurunan Melayu. Ini amat bertentangan dengan prinsip mereka yang menentang amalan feudalisme dan menganggap kehadiran golongan aristokrat hanya sebagai ancaman dan manifestasi ketidak adilan terhadap golongan rakyat.

Di sudut yang lain, sejumlah ahli Pas kecewa, kerana aspirasi perlembagaan ciptaan Lord Reid dikekalkan dan kehendak mereka untuk melaksanakan hudud tidak dinyatakan dengan jelas di dalam polisi ini. Ini bermaksud dengan menandatangani polisi ini, bermaksud mereka telah mengkhianati perjuangan Islam dan menjadikan diri mereka sama seperti UMNO yang dianggap kafir kerana tidak menghukum dengan hukum Allah swt, sebaliknya tunduk patuh dengan Perlembagaan ciptaan manusia.

Pada waktu yang sama, apabila Anwar Ibrahim menyebut dalam ucapannya ia adalah atas dasar untuk membentuk sebuah negara bangsa, mereka menganggap ucapan ini hanyalah mengukuhkan perjuangan nasionalis yang mereka tentang selama ini. Bagi penulis, tidak ada sesuatu yang baru dalam polisi PR ini, melainkan retorik sama yang mereka ulang berkali-kali. Kalau ada satu perkara yang baru adalah rasa TAKUT pemimpin PR untuk walk the talk atau berpegang kepada prinsip perjuangan yang dijanjikan kepada pengundi mereka selama ini.

Akhirnya, mereka terpaksa berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan walaupun selama ini mereka mahu menghapuskan peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan ini. Bagi Pas mereka takut untuk mempertahankan hudud dan perjuangan untuk penubuhan sebuah Negara Islam tafsiran mereka. Apalagi untuk memperjuangkan konsep pemerintahan Khalifah Islam yang diperjuangkan oleh Hizb-ut Tahrir kerana mereka yakin ia akan ditolak mentah-mentah oleh DAP dan bukan Islam dalam PR. Rasa takut ini hanya akan menjadikan ramai ahli mereka dalam kedudukan serba salah kerana sebelum ini standard ini digunakan untuk mengkafirkan orang UMNO.

Pada waktu yang sama mereka akan kembali mempersoalkan sama ada tahaluf siyasi yang dipegang pemimpin mereka masih selari dengan ajaran Rasulullah saw atau sekadar kaedah untuk mengekalkan kuasa mereka. Bagi DAP dan ramai sosialis dalam PKR pula, walaupun polisi ini bertentangan dengan idealisme sosialis dan kehendak mereka, mereka terpaksa menerimanya kerana mereka sedar, jika mereka terlalu mendesak agar keistimewaan Islam dan orang Melayu dihapuskan maka mereka akan kehilangan sokongan orang Islam dan Melayu yang masih merasakan keistimewaan ini masih diperlukan.

Kedua, penulis melihat pernyataan dasar mengenai perlembagaan, tidak konsisten dengan apa yang hendak mereka laksanakan jika mereka menekankan soal merit lebih daripada keadilan sosial. Walaupun mereka menyebut tentang keadilan sosial, penulis percaya ini hanya sekadar hipokrasi dan retorik kerana ia bertentangan dengan perjuangan mereka selama ini dan berbeza berbanding tindakan mereka di negeri-negeri yang diperintah, iaitu mencerminkan bahawa mereka lebih percaya kepada konsep persamaan berbanding keadilan.
Ketiga, apabila Lim Guan Eng bercakap tentang `amar makruf nahi mungkar', penulis percaya dia bukan benar-benar yakin, beriman dan beramal dengan kata-katanya, sama seperti imannya kepada ayat-ayat al-Quran yang dibacanya. Buktinya? Jelas di negeri Selangor dan Pulau Pinang, amar mungkar nahi makruf yang sebenarnya berleluasa.
Nampaknya gagasan "1Malaysia - rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai impak yang tersendiri ke atas PR.

Mungkin kerana itu, semalam, mereka merasa amat TAKUT untuk meletakkan perjuangan yang menjadi retorik mereka selama ini di atas kertas, sebaliknya sekali lagi bertindak MENIPU rakyat dan berpura-pura atau menjadi HIPOKRIT!!!
Adakah apa yang mereka kata selama ini semasa berkempen dan di pentas-pentas ceramah mereka sama dengan apa yang mereka letakkan di atas polisi bersama ini?

Apa yang rakyat perlu nilai bukan perkara-perkara yang dinyatakan di atas kertas semata-mata, sebaliknya rakyat perlu menilai tindakan-tindakan mereka selama mentadbir negeri-negeri di bawah kuasa mereka.
Berjayakah PR untuk terus menipu rakyat dan menyapu masalah perbezaan ideologi mereka ke bawah permaidani (sweep under the carpet) atau ini hanya muslihat para sosialis untuk merebut kuasa dan akan mengubahnya bila mereka berkuasa (macam tragedi Kg Buah Pala)?

Friday, December 18, 2009

Akhirnya... Emas Selepas 20 Tahun


Pasukan bolasapak Malaysia akhirnya melakar sejarah tersendiri dengan memenangi pingat emas setelah menewaskan Vietnam 1-0 dalam kejohanan Sukan Sea petang semalam. Sesungguhnya semangat maal hijrah telah memberi iltizam kepada anak-anak muda tersebut bekerja kuat di atas padang terutamanya pada separuh masa kedua yang didominasi oleh Malaysia. Hanya nasib menyelamatkan Vietnam kerana peluang Malaysia yang banyak kesasar. Kemenangan tersebut tentu sahaja amat menggembirakan rakyat Malaysia keseluruhannya tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Syabas juga kepada keseluruhan kontijen Malaysia kerana mengutip 40 pingat emas melepasi sasaran 35 emas sebelumnya.

Selamat Menyambut Awal Muharam 1431 Hijriah

Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah pada hari ini kepada semua pembaca blog ini. Semoga kita mendapat rahmat dari Allah dan dipermudahkan perjalanan hidup kita, diberikan kestabilan politik negara kita dan semoga pemimpin kita dapat mentadbir negara dengan lebih dedikasi.

Maal Hijrah adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.

Esok pagi, sambutan peringkat kebangsaan akan diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) secara sederhana. Sekiranya berkelapangan silalah hadir sekali menyambutnya di sana. Saya akan bergerak balik ke Tapah jam 9.00 pagi esok kerana ibang ipar mengadakan majlis kenduri khatan anaknya.