Monday, January 31, 2011

ANALISIS KEMENANGAN BN DI TENANG



Kemenangan BN di DUN Tenang telah dijangkakan sejak awal lagi memandangkan kawasan tersebut merupakan kawasan tradisi dan kubu kuat UMNO. Tahniah diucapkan kepada semua jentera BN yang bertungkus lumus dan berkampung di Tenang sejak awal lagi termasuk para blogger penyokong kerajaan. Pakatan pembangkang dilihat hanya meletakkan calon dengan hasrat mengurangkan majoriti yang dimenangi oleh UMNO. Hasrat pembangkang dinafikan dengan peningkatan majoriti calon BN Mohd. Azahar yang menang dengan majoriti 3,707 undi selepas mendapat 6,699 undi untuk mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman yang hanya memperoleh 2,992 undi. Sebanyak 142 undi rosak. Majoriti itu meningkat 1,243 undi berbanding 2,492 undi yang diperoleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.

Kaji selidik yang dibuat oleh badan penyelidikan bebas ILHAM Centre yang dikeluarkan sehari sebelum hari pengundian menunjukkan calon BN mendahului PAS dengan majoriti sekitar tiga ribu undi adalah hampir tepat dan UMNO mendapat lebih dari itu iaitu hampir 4000 majoriti. Dato’ Sri Najib yang berada di Dubai atas tugasan rasmi menyatakan, kemenangan BN ini bukanlah kemenangan sementara dan sekelip mata diperolehi. Perdana Menteri juga berharap kejayaan BN mengekalkan DUN Tenang akan menjadi dorongan kuat kepada BN di negeri lain untuk membuat persediaan bagi meraih kejayaan lebih besar di masa depan. Momentum kemenangan kini yang memihak kepada BN dan insyallah DUN Merlimau akan datang juga akan terus dipertahankan UMNO.

Pengorbanan besar Cikgu Mala dengan melepaskan jawatan guru dilihat kurang strategik bagi PAS. Pertamanya, beliau hilang pendapatan tetap bulanan sebagai penjawat awam dan kini bergantung kepada pendapatan suaminya sahaja yang juga seorang guru. Keduanya, Cikgu Mala yang juga aktivis tegar PAS tidak lagi mempunyai akses kepada dokumen-dokumen sulit kerajaan secara terus dan kini beliau bergantung kepada sumber kedua iaitu suaminya dan agen-agen lain untuk mendapatkan maklumat. Bagi BN pula, peletakan jawatan Cikgu Mala untuk bertanding dalam PRK Tenang ini adalah dialu-alukan kerana tidak perlu lagi menggaji penjawat awam yang masa, tumpuan dan gerak gerinya lebih tertumpah kepada aktiviti pembangkang. Biarlah kini PAS yang menggaji Cikgu Mala sebagai penyelaras DUN Tenang dan mungkin pendapatan Cikgu Mala lebih tinggi berbanding gaji sebagai seorang guru. Apalah ada pada gaji pokok, elaun khidmat awam, elaun rumah dan COLA... itu sikit saja berbanding bisness tegar Cikgu Mala. Cuma kini, suami Cikgu Mala yang terpalit dengan isu MC perlulah disiasat dengan segera. Kita bukan dengki Cikgu Maarof dapat MC, tapi MC hampir 2 minggu bukan calang2 sakit dan seperti yang diulas oleh blogger2 lain sebelum ini, kalau sakit duduk berehat di rumah, bukannya merayau-rayau berkempen dengan isteri tercinta...

Tumpuan dan kajian seterusnya ialah terhadap pola undi masyarakat Cina di Tenang. Adakah masyarakat cina kembali mengundi BN atau terus selesa dengan pendirian mereka bersama-sama pembangkang seperti dalam PRU 2008 yang lepas. Kajian perbandingan pola pengundian masyarakat Cina di Tenang pada kali ini terjejas dengan hujan lebat dan banjir kilat yang melanda Pekan Labis. Peratusan keluar mengundi kaum Cina yang berfikiran lebih objektif kepada pembangunan dan ekonomi adalah rendah disebabkan fenomena alam berkenaan sehinggakan pemimpin DAP terpaksa menghantar 'SOS' menggesa mereka keluar mengundi. Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching menulis peratus pengundi Cina yang keluar mengundi amat rendah di Labis. "Amaran! Peratusan keluar mengundi di kawasan Cina cuma 20%; Felda sudah 50%. Tolong bantu panggil orang yang anda kenal di Labis," tulis Teo di laman Twitter.Sementara ketua publisiti Pemuda DAP Selangor pula menulis: "Secara keseluruhan, peratusan keluar mengundi di tiga kawasan majoriti Cina amat rendah! Labis Tengah 300 (orang); Labis Timor 600; Tenang Station 200 sehingga 10.30 pagi.”

Kaum Cina maklum, keluarnya mereka untuk mengundi tidak akan mengubah status quo UMNO di Tenang dan Johor kerana dengan sokongan besar orang Melayu di kawasan Felda dan kawasan tradisi, UMNO pasti menang. Keengganan kaum Cina di bandar berkenaan membolehkan BN merampas dan menawan semua peti undi dua kawasan majoriti Cina iaitu di Bandar Labis Timur dan Labis. Pengagihan jentera pengangkutan pengundi yang terlibat dengan banjir oleh agensi kerajaan tidak perlu dijadikan isu oleh pembangkang kerana kaum Cina telah mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi. Tidak cantik isu ini dijadikan alasan dan kambing hitam oleh PAS menyebabkan mereka kalah. BN sendiri perlu mengambil iktibar dan membuat post moterm lengkap berkaitan pola pengundian kaum Cina dalam PRU Tenang ini. Bersambung ...

Friday, January 28, 2011

Suami Cikgu Mala Langgar Perintah Am Bab D

Sejak dua,tiga hari yang lepas berlegar-legar salinan surat MC suami Cikgu Mala calon PAS di Tenang. Asalnya, kita hairan juga melihat suami Cikgu Mala sentiasa ada di sisi sedangkan tugas hakikinya seorang guru. Ingatkan ambil cuti tanpa gaji, setelah didedahkan oleh blogger marahku.blogspot.com rupa-rupanya cuti sakit. Suaminya mengambil cuti sakit yang panjang bersambung-sambung mulai 6-28 Januari 2011. Kalau betulpun cuti sakit, mengikut peraturannya kenalah duduk di rumah. Tak bolehlah ke sana dan kemari berkempen politik bersama-sama isterinya. Walaupun tujuannya asalnya baik iaitu untuk memberi sokongan moral terhadap isterinya, tetapi moral sebaliknya pula adalah salah. Pertamanya, dia menipu kerana tidak sakit menggunakan sijil cuti palsu untuk cuti sakit. Kalaupun sijil cuti itu betul, pihak Kementerian Kesihatan perlu menyiasat doktor dan status doktor yang mengeluarkan sijil cuti sakit tersebut. Doktor itu mungkin penyokong tegar PAS yang sanggup menyalahgunakan kedudukannya untuk mengeluarkan cuti sakit kepada orang yang tidak sakit dan tindakan disiplin sewajarnya perlu dikenakan. Kalau itu sijil sakit palsu, maka suami Cikgu Mala perlu diambil tindakan disiplin mengikut Perintah Am Bab D dan peraturan-peraturan lain yang sedang berkuatkuasa.


Keduanya, dengan menipu sebagai sedang sakit, suami Cikgu Mala telah mengabaikan amanah dan tugas hakikinya sebagai seorang guru dan pendidik. Sedang anak murid mendambakan ilmu dan pendidikan di sekolah, cikgunya berpoya-poya berkempen politik dan makan gaji buta. Maka sepanjang tempoh beliau cuti menipu itu, maka gajinya adalah haram. Kita tahu, semua kakitangan kerajaan dah dapat gaji bulan ini dan sudahkah beliau menggunakan gajinya yang diterima itu? Kalau sudah apakah hukumnya? Kalaupun bukan duit haram sebab belum jatuh hukum beliau cuti sakit betul atau tidak, tetapi situasinya berubah menjadi duit subahah yang bercampur-campur dengan duit halal menjadi suapan keluarganya. Inilah sikap sebilangan kakitangan kerajaan yang menjadi penyokong tegar PAS dan pembangkang yang menjadi gunting dalam lipatan. Beliau sudah memberi aku janji untuk menjadi pegawai kerajaan yang jujur, telus dan amanah tetapi sanggup menggadaikan prinsip sebagai seorang pendidik demi sebuah perjuangan parti yang songsang. Kita percaya, ramai lagi penyokong pembangkang yang bersikap munafik seperti ini di luar sana. Membocorkan rahsia dan memusnahkan bangsa dan negara sendiri dari dalam seperti Si Kitul menjadi tidak apa kerana "hendak menyelamatkan Malaysia???".

Ketiganya, Cikgu Mala sendiri tidak berupaya untuk menegur dan menjaga suaminya yang sedang sakit supaya berehat di rumah kerana sibuk berkempen. Beliau tak tahu kaedah suaminya mengambil cuti? Mustahil dan jangan hendak berdusta. Kita percaya kaedah dan bagaimana suami Cigu Mala untuk bercuti dan mengikuti isterinya berkempen telah diperincikan oleh jentera pilihanraya dan pemimpin PAS. Nak pohon cuti tanpa gaji, tak sempat! Cara paling mudah ambil MC. Itulah kerja pemimpin dan bijak pandai PAS! MENIPU. Itulah sebabnya suami Cikgu Mala keluar 'statement' beberapa kali untuk 'resign' dari bekerja sebagai cikgu kalau isterinya menang, kalau kalah? Terhegeh-hegeh datang mengajar dan buat muka seposen serta dari situ nanti akan bermula ajaran PAS songsang kepada anak murid yang masih mentah di sekolah. Nak tunggu kena tindakan tatatertib, lambat! KIta tahu, proses tatatertib kakitangan kerajaan bukannya mudah. Paling terukpun kalau betul salah hanya potong gaji atau amaran dengan denda atau bukan dengan denda. That's all.

Kesimpulannya, Cikgu Mala tidak 'kredibel' sebagai wakil rakyat kerana sebagai wakil yang datang dari parti yang menggunakan prinsip Islam, tidak patut bermula dengan penipuan dalam perkara-perkara yang kecil. Akhirnya, bila jadi pemimpin nanti akan berlakulah penyelewengan pula dalam perkara-perkara hak rakyat dan negara yang lebih besar. Justeru itu, pengundi di Tenang harus bijak dan pastikan jangan tersilap memilih calon wakil rakyat. Fikir-fikirkanlah dengan tenang...

Wednesday, January 5, 2011

Pelantikan Khusrin teratur, tiada unsur politik: KSN


PUTRAJAYA: Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor adalah teratur dan sah dari segi undang-undang dan tidak mengambil input politik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dan Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam, 2010 serta terdapat elemen konsultasi dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud.
"Dalam proses pelantikan ini saya tidak mengambil input politik dalam urusan pelantikan tersebut dan tidak merujuk kepada mana-mana Anggota Pentadbiran Persekutuan termasuk Perdana Menteri.
"Urusan tersebut dilaksanakan secara profesional yang hanya membabitkan Ketua Setiausaha Negara (dan Lembaga Kenaikan Pangkat) dengan Kerajaan Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa proses konsultasi turut dilaksanakan dalam proses pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi negeri-negeri lain yang berkaitan sama ada negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) ataupun yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional termasuk pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, Mohd Sidek menghuraikan dengan panjang lebar proses pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dibuat oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh beliau.

Katanya, lembaga itu adalah suatu kuasa yang sah dari segi Perlembagaan Persekutuan dan merupakan ‘Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan’ menurut Perkara LII (1) Perlembagaan Negeri Selangor.
Menurutnya, berdasarkan Perkara LII Perlembagaan Negeri Selangor, perkataan ‘Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan adalah merujuk kepada Suruhanjaya Pelantikan yang membuat pelantikan terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Dalam hal ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah daripada pegawai-pegawai awam Persekutuan daripada Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan Suruhanjaya Pelantikan mereka adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana Perkhidmatan PTD itu adalah terjatuh mengikut perkara 132(2)(c) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘perkhidmatan awam am persekutuan’. Perkara ini dinyatakan dalam Fasal (1) Perkara 139 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Justeru, katanya, dakwaan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat dari segi undang-undang. - BERNAMA