Friday, July 20, 2012

Selamat Menjalani Ibadah Puasa

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok 21 Julai 2012 (sabtu). Mengambil kesempatan ini Selamat Menjalani Ibadah Puasa diucapkan buat semua rakan-rakan di mana jua berada. Sebentar lagi,  seperti biasa, malam pertama ini sungguh meriah dan ramai sekali yang datang mengimarahkan masjid dan surau sehingga tak muat-muat... mula lah minta peruntukan kat  YB untuk buat renovation...  pasang aircond, buat bangunan tambahan dan pelbagai lagi. Apa pun, diharapkan ibadah kita pada bulan ini akan bertambah mantap dan diredhoi Allah SWT. 

Harap-harapnya juga aktivis politik dapat mengurangkan sedikit aktiviti berpolitik dan memberi tumpuan kepada ibadah menambah pahala... namun seperti tahun-tahun yang lepas, adalah dijangkakan aktiviti berpolitik tetap rancak dengan berbagai majlis yang dinamakan iftar... pokoknya, mahu mendekati rakyat dan memancing undi sebaik mungkin...

Dalam pada itu, ingin berbicara sedikit mengenai perangai pelik Melayu yang telah ditulikan dengan slogan ABU, begitu mengetikkan sekali. Bukan apa, pasal anak bulan dan tarikh puasa pun PM kena jadi bahan momokan.... tengoklah  FB kawan akunih



Semoga PM dan semua peringkat pemimpin negara diberi kekuatan dan azam untuk meneruskan legasi kepimpinan Melayu di bumi bertuah Tanah Melayu ini. Jangan kerana nama sudah berubah menjadi Malaysia, kelak dipunyai oleh orang lain... bila "bumi dipijak milik orang", keris dan silat tiada gunanya lagi. Kerana apa, mereka akan menguasai ekonomi dan politik... Semoga hari-hari mendatang tetap bersinar untuk kita.

Friday, July 6, 2012

Sejarah Pewujudan Kerusi Parlimen P125 Putrajaya


1.0       PENGENALAN

Sebelum kita melangkah ke persainagn PRU-13, alangkah moleknya kalian mengetahui bagaimana sejarah  persempadanan bagi menwujudkan kerusi Parlimen Putrajaya. Ramai masyarakat di luar sana termasuklah aktivis-aktivis politik di Putrajaya yang gagal atau tidak mengetahui bagaimanakah dan bilakah kerusi Parlimen P125 Putrajaay diwujudkan. Justeru itu, mari kita sama-sama membaca artikel yang tidak seberapa akademik ini untuk ilmu dan menambahkan pengetahuan yang sedia cetek.

1.1       KEWUJUDAN KERUSI PARLIMEN PUTRAJAYA

Persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya Parlimen P125 Putrajaya telah dibuat selepas pewujudan Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 1 Februari 2001 melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A 1095] yang mewujudkan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang diluluskan di Parlimen dan berkuatkuasa pada 1 Februari 2001. Mengikut perkara 113 (3A) Perlembagaan Persekutuan, satu urusan ulangkajian persempadanan Bahagian Pilihan Raya perlu diadakan bagi Bahagian Pilihan Raya yang terjejas dan ulangkajian ini hendaklah diselesaikan dalam tempoh 2 tahun dari tarikh kuatkuasanya undang-undang.  Ini bererti urusan persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya Putrajaya perlu diselesaikan oleh SPR tidak lewat dari 31 Januari 2003.

Kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebelum ini terletak dalam Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor.  Ia merupakan satu Daerah Mengundi dalam bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri N.47 Dengkil dan terletak di dalam bahagian Parlimen pilihan raya P.102 Sepang, Selangor.  SPR dalam menjalankan ulangkajian persempadanan bahagian Pilihan Raya Parlimen Putrajaya telah mengujudkan sebanyak lima Daerah Mengundi supaya pada masa akan datang memudahkan pengundi-pengundi untuk menentukan kawasan mengundi.  Pengwujudan daerah Mengundi ini adalah berdasarkan kepada percantuman beberapa presint yang berhampiran mengikut kesesuaian dan kemudahan perhubungan.  Daerah-daerah Mengundi yang telah diwujudkan dikenali sebagai berikut:-

Jadual 1.1: Kawasan Daerah Mengundi Parlimen P.125 Putrajaya
BIL.
DAERAH MENGUNDI
KELUASAN
PRESINT
1.
Taman Saujana Hijau
125/00/01
9.84 kmp
Presint 11 & 13
2.
Taman Metropolitan
125/00/02
3.75 kmp
Presint 9 & 10
3.
Taman Putra Perdana
125/00/03
12.44 kmp
Presint 1,12,14 & 15
4.
Taman Puncak Puteri
125/00/04
8.4 kmp
Presint 2,3,4,7 & 8
5.
Taman Warisan
125/00/05
14.82 kmp
Presint 5,6,16,17,18,19 & 20
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Bahagian Parlimen P.125 Putrajaya sepertimana yang telah disyorkan oleh SPR telah dibentangkan di Dewan Rakyat.  Cadangan telah dipersetujui oleh Dewan Rakyat pada sesi Parlimen Februari / Mac 2002.  Dewan Rakyat telah meluluskannya dan selepas diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Bahagian Parlimen Putrajaya berkuatkuasa pada 31 Julai 2002.  

Selepas persempadanan Bahagian Pilihan raya 2003 diwartakan, Bahagian Pilihan raya Parlimen P125 merupakan sebahagian daripada 222 Bahagian Parlimen di seluruh negara.  Mengikut daftar pemilih tahun 2001 yang disahkan pada 27 Disember 2001, jumlah pemilih yang berdaftar dalam Bahagian Parlimen Putrajaya ialah seramai 85 orang sahaja dan ia adalah tidak mengikut kriteria yang ditetapkan bagi pewujudan sesebuah bahagian kawasan parlimen yang ditetapkan.  Menurut prinsip bagi membelah bahagi Bahagian Pilihan raya, purata bilangan pemilih untuk sesuatu daerah mengundi di kawasan Bandar ialah lebih kurang 2001 pemilih dan ke atas. Dengan itu juga, satu-satu daerah mengundi di kawasan Bandar mungkin mempunyai pemilih sehingga 100,000 orang pemilih jika mereka menukar alamat baru di Putrajaya dan seterusnya mendaftarkan sebagai pemilih. (Berita SPR:2002). 

            Berdasarkan rekod, pecahan daftar pemilih yang diwartakan dalam PRU 2004 dan PRU 2008, hanya empat sahaja PDM yang mempunyai pemilih kerana PDM Taman Putra Perdana yang meliputi Presint 1, merupakan kawasan pejabat kerajaan serta tidak mempunyai penempatan penduduk seperti rumah dan kuaters. Sementara kediaman awam dan kuaters kerajaan di Presint 12,14 & 15 pula masih dalam pembinaan dan  belum didiami.

1.2       BILANGAN PENGUNDI DI PUTRAJAYA PRU 2004 DAN PRU 2008

Parlimen Putrajaya mempunyai keunikan yang tersendiri dari jumlah bilangan pengundi berdaftar berbanding kawasan-kawasan Parlimen yang lain. Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh SPR, pada PRU ke-11 2004, jumlah pengundi berdaftar hanyalah seramai 5079 dengan 4919 adalah pengundi biasa dan 160 adalah pengundi pos. Sementara itu, pada PRU ke-12 2008, jumlah pengundi berdaftar bagi Parlimen Putrajaya ialah seramai 6608 sahaja, iaitu peningkatan sebanyak 1529 pemilih atau 30.10 peratus.  

1.3       PRU 2004 PARLIMEN PUTRAJAYA

Pilihan Raya Umum ke-11 pada tahun 21 Mac 2004 merupakan pilihan raya yang bersejarah bagi Putrajaya kerana buat pertama kalinya pengundi berdaftar di Putrajaya berpeluang untuk memilih wakil rakyat yang pertama bagi Putrajaya. Parlimen dibubarkan pada 4 Mac 2004 dan PRU ke-11 diadakan selepas 125 hari Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri yang ke-5 bagi menggantikan Tun Mahathir Mohamad. Chamil Wariya (2004:209). Dalam PRU ke-11, calon BN bagi Parlimen Putrajaya ialah Tengku Adnan Tengku Mansor telah ditentang oleh Abdul Rahman Othman dari Parti Keadilan (KeADILan).  

Mengikut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya, jumlah pengundi yang berdaftar  di kawasan Parlimen P125 Putrajaya semasa PRU ke-11 pada 21 Mac 2004 adalah seramai 5079 orang dengan 4919 orang pengundi biasa dan 160 orang pengundi pos. Jumlah pengundi yang keluar mengundi pula adalah sebanyak 4662 orang kurang daripada jumlah yang berdaftar sebagai pengundi. Manakala undi rosak pula adalah sebanyak 28. Ia merupakan suatu jumlah yang kecil. Calon yang telah memenangi pilihan raya bagi Parlimen Putrajaya adalah  Tengku Adnan bin Tengku Mansor daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mengalahkan Abdul Rahman bin Othman daripada Parti Keadilan (KeADILan) dengan majoriti undi sebanyak 3546 undi. Abdul Rahman bin Othman  dari Parti Keadilan (KeADILan) hanya menerima 540 undi telah kehilangan wang deposit.

Jadual 1.2: Maklumat PRU ke-11 Putrajaya,2004
MAKLUMAT KAWASAN
PARLIMEN
P125
KAWASAN
PUTRAJAYA
TARIKH PILIHAN RAYA
21/3/2004
STATISTIK
BILANGAN
PERATUS
PEMILIH BERDAFTAR
5079

PENGUNDI
4662
91.79
UNDI ROSAK
28
0.60
MAJORITI KEMENANGAN
3546
76.52
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Jadual 1.3: Maklumat Calon PRU ke-11 Putrajaya,2004
NAMA CALON
PARTI
UNDI
PERATUS
KEPUTUSAN
TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
BN
4086
88.17
MENANG
ABDUL RAHMAN BIN OTHMAN
KEADILAN
540
11.65
HILANG DEPOSIT
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Bagi menguruskan proses Pilihan raya Parlimen Putrajaya pada 21 Mac 2004, Tuan Haji Muhamad Haitamin bin Ishak iaitu Timbalan Pengarah, Bahagian Pentadbiran Tanah, Perbadanan Putrajaya telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan raya.  SPR juga telah menyediakan satu Pusat Penamaan Calon iaitu di Dewan Serbaguna, Presint 8.  Lima buah Pusat Mengundi, 33 tempat Saluran Mengundi, satu Pusat Penjumlahan Undi dan tiga Barung SPR. (SPR, Laporan Pilihan Raya Umum 2004).

1.4       PRU 2008 PARLIMEN PUTRAJAYA

Mengikut sumber dari SPR, jumlah pengundi yang berdaftar  di kawasan Parlimen P125 Putrajaya semasa PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 adalah seramai 6608. Berdasarkan kertas undi (ballot paper) yang dikeluarkan, jumlah pengundi pada hari mengundi adalah seramai 5416 orang iaitu 82.0 peratus jumlah keluar mengundi. Undi rosak pula adalah sebanyak 38 undi. Terdapat juga 36 kertas undi yang tidak dikembalikan. Tengku Adnan bin Tengku Mansor yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya dengan memperolehi undi sebanyak 4038, mengalahkan Mohamad Noor bin Mohamad daripada parti PAS dengan majoriti undian 2734 undi. Mohamad Noor bin Mohamad menerima undi sebanyak 1304.  

Jadual 1.4: Maklumat PRU ke-12 Putrajaya,2008
MAKLUMAT KAWASAN
PARLIMEN
P125
KAWASAN
PUTRAJAYA
TARIKH PILIHAN RAYA
8/3/2008
STATISTIK
BILANGAN
PERATUS
PEMILIH BERDAFTAR
6608

PENGUNDI
5416
81.96
UNDI ROSAK
38
0.70
KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN
36

MAJORITI KEMENANGAN
2734
50.84
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Jadual 1.5: Maklumat Calon PRU ke-12 Putrajaya,2008
NAMA CALON
PARTI
UNDI
PERATUS
KEPUTUSAN
TENGKU ADNAN B. TENGKU MANSOR
BN
4,038
75.84
MENANG
MOHAMAD NOOR B. MOHAMAD
PAS
1,304
24.25
KALAH
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Bagi menguruskan proses Pilihan raya Parlimen Putrajaya ke-12 pada 8 Mac 2008, YBhg. Datuk Muhamad Haitamin bin Ishak iaitu Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Korporat, Perbadanan Putrajaya masih dikekalkan sebagai Pegawai Pengurus Pilihan raya.  Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) juga telah menyediakan satu Pusat Penamaan Calon iaitu di Dewan Serbaguna,Presint 9, Putrajaya.  

1.5      ANALISA KEPUTUSAN PILIHAN RAYA PARLIMEN PUTRAJAYA TAHUN 2004 DAN 2008

Mengikut statistik Pilihan raya di kawasan Parlimen P.125 Putrajaya pada tahun 2004 dan 2008, didapati jumlah pemilih berdaftar adalah meningkat dari 5079 orang kepada 6608 orang atau peningkatan sebanyak 30.10 peratus pada tahun 2008. Ini disebabkan Putrajaya adalah pusat perkhidmatan negara menyebabkan ramai pegawai kerajaan terutama yang tinggal dan berhijrah ke Putrajaya.   Selain itu pembangunan di Putrajaya juga meningkat dengan pembinaan tempat-tempat kediaman dan pusat membeli belah. 

BN amat berpuashati dengan kemenangan besar dalam PRU 2004. Dengan undi diterima sebanyak 4086 dari 5079 pengundi berdaftar, BN memperolehi 80.44 peratus undi dan calon KeADILan yang mendapat 540 undi telah kehilangan wang deposit. Kemenangan besar tersebut adalah amat signifikan dengan kemenangan besar BN di seluruh negara dan merupakan pengiktirafan dan harapan rakyat kepada kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri ke lima.  Berdasarkan rekod, ia juga merupakan satu gerak kerja cemerlang oleh UMNO Bahagian Putrajaya yang masih dalam penajaan ketika itu, dalam menggerakkan jentera pilihan raya bagi Parlimen Putrajaya.  Dengan kemenangan tersebut, Tengku Adnan Tengku Mansor yang merupakan penaja Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut dipilih tanpa bertanding sebagai  Ketua UMNO Bahagian Putrajaya dalam pemilihan UMNO Bahagian pada Jun 2004, di pilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada September 2004 dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Kabinet yang memegang potfolio Menteri Pelancongan 14 Februari 2006.  Walaupun KeADILan tidak mempunyai tapak yang kuat di Putrajaya, tetapi jentera pilihan raya mereka menunjukkan semangat yang tinggi dalam tempoh kempen PRU 2004.  Jentera mereka seboleh-bolehnya meyaingi BN dalam pemasangan bendera dan poster serta ceramah dalam kempen untuk menarik pengundi. Beberapa insiden pergaduhan telah direkodkan seperti pergaduhan antara jentera parti di Apartment Presint 16 dan Jambatan Seri Bestari di Presint 9 yang berlaku akibat perbuatan jentera KeADILALan mencabut bendera-bendera BN pada waktu tengah hari. Sejumlah enam aduan telah direkodkan oleh SPR sepanjang tempoh kempen PRU 2004 di Putrajaya (Laporan PRU 2004:SPR).

Namun begitu, seiring dengan tsunami politik negara pada PRU-12 2008, Parlimen Putrajaya turut menerima tempiasnya.  Walaupun masih mengekalkan kemenangan, jumlah undi yang diterima Pas dalam PRU 12 meningkat lebih baik berbanding undi yang diperolehi oleh KeADILan pada PRU 11. Walaupun berlaku peningkatan jumlah pengundi berdaftar, tetapi undi yang diterima oleh BN telah menyusut sebanyak 1.17 peratus, dari 4086 undi diperolehi pada PRU 2004 kepada 4038 sahaja undi diperolehi pada PRU 2008 iaitu kehilangan sekitar 48 undi. Sungguhpun jumlah kehilangan undi tersebut adalah kecil, namun ia amat membimbangkan BN kerana sejumlah 1529 pertambahan pengundi baru pada PRU 2008 seolah-olah dibaca berpihak kepada PAS. Bacaan statistik pula menunjukkan, peratus orang yang mengundi pula menurun dari 91.79% pada PRU 2004 kepada 81.96%. pada PRIU 2008. Penurunan tersebut merupakan tahun kemerosotan Barisan Nasional dan tahun kebangkitan Pakatan Rakyat (PR). Jumlah undi yang rosak juga meningkat dari 28 kepada 38 undi. Peratusan majoriti menang juga menurun iaitu daripada 76.52% kepada 50.84%, walaupun calon dari Barisan Nasional masih mengekalkan tampuk kepimpinan di Putrajaya.  

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kemerosotan undi calon Barisan Nasional antaranya ialah undi protes terhadap calon, pengundi yang telah berpindah ke tempat lain kerana pertukaran biasa (kakitangan kerajaan) dan bagi pasangan pula mengikut pasangan bertukar, telah bersara dan kematian, faktor isu tempatan seperti kekurangan tempat letak kereta awam dan sekolah agama, faktor isu nasional seperti kenaikan harga barangan disebabkan kenaikan harga petrol dan faktor Tun Mahathir yang tidak menyokong kepimpinan Pak Lah.  Selain dari faktor-faktor yang telah disebutkan, jentera PAS juga bergerak  lebih tersusun dalam gerak kerja PRU 2008 berbanding KeADILan pada 2004. Ini kerana PAS mempunyai asas dan sokongan disetiap penempataan atau kuaters kerajaan dan surau-surau serta masjid juga didominasi oleh penyokong PAS.  

Perangkaan terkini oleh SPR menunjukkan jumlah pengundi berdaftar bagi Parlimen Putrajaya sehingga 31 Disember 2011 ialah 10,142 orang saja berbanding jumlah penduduk seramai 68,361 orang (bancian 2010). Ia hanya meningkat sebanyak 3,534 orang atau 53.48 peratus dari jumlah pengundi 2008.  Bilangan pengundi berdaftar tersebut masih kecil berbanding jumlah penduduk Putrajaya berusia lebih 21 tahun seramai 18,664 orang atau 27.30 peratus dari jumlah penduduk Putrajaya.  Daripada jumlah tersebut, jumlah pengundi wanita ialah 5,161 orang melebihi jumlah pengundi lelaki 4,981 orang. Kaum Melayu merupakan daftar pemilih yang tertinggi seramai 9296 orang atau 91.65 peratus.  286 orang atau 2.81 peratus terdiri dari kaum India, 97 orang atau 0.95 peratus terdiri dari kaum Cina, 463 orang atau 4.56 peratus terdiri dari lain-lain bangsa dan selebihnya 363 orang atau 3.57 peratus adalah pengundi pos. 

Peningkatan jumlah pengundi tersebut masih kecil tetapi pujian harus diberikan kepada UMNO dan PAS yang gigih menjalankan gerak kerja kempen pendaftaran pengundi baru.  Peningkatan pengundi naik mendadak berlaku sekitar suku keempat tahun 2011 apabila UMNO Putrajaya mendesak JPM yang akan menawarkan rumah PRIMA di Presint 11, Putrajaya dengan mensyaratkan supaya sekurang-kurangnya syarat pemilikan dan permohonannya mestilah terdiri dari pengundi berdaftar di Parlimen Putrajaya. Penulis berpendapat, idea tersebut amat baik sebagai salah satu usaha dan kempen bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan dan kebaikan sebagai pengundi berdaftar disesuatu kawasan. 

Peningkatan jumlah pengundi seramai 10,142 sehingga 31.12.2012 memberi dimensi dan cabaran baru kepada UMNO Putrajaya untuk mengekalkan kersi Parlimen yang telah disandang selama dua penggal.  Daripada jumlah pengundi tersebut, seramai 9296 orang terdiri dari kaum melayu merupakan majoriti pengundi berdaftar di Putrajaya. Statistik ini penting kerana setiap kali pilihan raya peranan pengundi Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon. Pilihan raya merupakan satu ruang kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka memilih kerajaan yang mereka percayai boleh memerintah serta mampu memenuhi kehendak rakyat (Mohd Fo’ad, 1999).   Justeru itu, UMNO Putrajaya melaksanakan pelbagai program berterusan untuk mendekati masyarakat dan pengundi Parlimen Putrajaya di setiap Daerah Peti Undi. Antara program terbaru ialah Program Juara Rakyat yang di adakah di Apartment Presint 16 iaitu sebahagian kawasan Pusat Daerah Mengundi Taman Warisan. Selain daripada itu, sebenarnya UMNO telah menjalankan gerak kerja mendekati rakyat dan pengundi sedia ada sejak dari awal lagi. Tengku Adnan sebagai Ahli Parlimen telah mempersiapkan kempen saikologi awal dengan memberi kad ucapan hari raya setiap tahun dan memberi cenderahati ulangtahun kelahiran kepada setiap pengundi berdaftar di Putrajaya walaupun bukan ahli UMNO.  Bagi warga emas berusia 50 tahun dan ke atas yang terdiri dari pengundi berdaftar di Putrajaya, Pejabat Ahli Parlimen juga memberikan kad rawatan pesakit percuma di klinik panel swasta terpilih dengan kosnya ditanggung oleh Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya. (sumber dari Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya).

UMNO Putrajaya juga telah berusaha menyelesaikan pelbagai janji PRU yang lepas dengan meletakkan YBhg. Dato’ Khairuddin bin ES Abd. Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya sebagai salah seorang Ahli Anggota Perbadanan Putrajaya (Board Members), yang dilantik mengikut Seksyen 5 (1) Akta 536 Perbadanan Putrajaya. Pelantikan tersebut dapat membawa suara rakyat ke dalam pelaksanaan dasar Perbadanan Putrajaya sebagai PBT yang bertanggungjawab ke atas kesejahteraan bandar raya Putrajaya. Sekolah Agama Rakyat yang merupakan antara janji Pilihan raya UMNO Putrajaya sejak PRU 2004 telah siap dibina di Presint 9, Putrajaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA Putrajaya) juga telah beroperasi sepenuhnya mulai 4 Januari 2011 dengan menumpang sementara di Sekolah Menengah Presint 11(2).  YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dalam lawatannya ke Putrajaya pada 27 Januari 2012 yang lepas telah meluluskan cadangan pembinaan Sekolah Menengah Agama Putrajaya di tapak baru seluas 5.6 hektar di Presint 11 pada tahun 2013 dengan kos RM55 juta. Sekolah baru itu nanti akan dilengkapi dengan asrama penuh akan dapat menampung seramai  750 orang pelajar.   Tengku Adnan juga turut mengambil berat dengan meluluskan pembesaran dan pembinaan surau dan masjid di penempatan penduduk, pembinaan tempat-tempat letak kereta baru dan pelancaran rumah mampu milik PRIMA yang lebih besar dari sebelumnya. Pemberian netbook 1Malaysia, penyampaian wang RM500 di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada ketua keluarga yang layak juga turut dilaksanakan. (Sumber, Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya).