Tuesday, April 30, 2013

Analisis Pengundi Putrajaya

Hari ini 30 April 2013 pengundi awal yang terdiri dari pasukan polis di Putrajaya akan mengundi. Berbaki lima hari lagi akan menentukan sama ada Ku Nan atau Husam Musa memenangi kerusi P125 Putrajaya. Sehingga semalam, kedua-dua calon bersaing hebat dengan memobilasi kekuatan parti masing-masing bagi menarik kepercayaan pengundi. Tokoh hebat seperti Tun Mahathir, Nik Aziz, Tun Daim dan Utz Azhar Idrus diturunkan untuk membantu kemenangan calon.

Media baru turut berperang hebat. Di alam maya seperti fb, kelihatan Husam Musa menerima sokongan terbanyak. Penulis berminat mengikuti perkembangan hebat ini hingga akhir termasuk pasca 5 Mei 2013 nanti. Sesungguhnya pertembungan kali ini sungguh menarik untuk dibicarakan. Hasil risikan dan pemerhatian penulis, walaupun disaingi dengan hebat, calon BN Tengku Adnan masih mendahului calon PAS Husam Musa. Di atas kertas dan di lapangan sehingga 29 April, BN masih mengekalkan momentum sekitar 60% - 65% sokongan pengundi. Pengundi diam dan pengundi neutral yang majoritinya penjawat awam dilihat masih mengekalkan sokongan kepada BN. PAS dilihat sukar untuk menggunakan isu -isu lokal kerana penghuni Putrajaya telah 99% selesa dengan kemudahan yang disediakan dan gerak kerja Ku Nan sebagai Ahli Parlimen Putrajaya selama dua penggal. PAS akan terus membawa isu nasional, keperibadian calon dan agama.

Monday, April 29, 2013

Aziz Bari Profesor Kangkung?


Nota penulis: Menjadi kelaziman macai PR menggelar sesiapa jua ahli akademik yang tidak memihak kepada mereka sebagai Profesor kangkung. Gelaran ini dijaja dan dipopularkan sejak lebih dua dekad yang lalu bukan sahaja dikhalayak, bahkan juga oleh pensyarah diuniversiti dan guru-guru penyokong PR semasa sedang mengajar di sekolah. Maka jadilah momokan profesor kangkung ini seawal anak-anak di tingkatan satu dan menjalar ke seluruh institusi. Siapa mereka untuk menggelar ahli akademik seperti Prof. Dr. Sidek Baba ini sebagai Profesor kangkung?

Saya kaji bukan fitnah


MINGGUAN: Bagaimana analisis Dr. terhadap aliran fahaman yang terdapat dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam hari-hari terakhir sebelum mengundi?

SIDEK: Aliran fahaman atau ideologi sesuatu parti amat penting dianalisis dalam memilih kerajaan masa depan. Barisan Nasional (BN) telah sekian lama memerintah dalam realiti masyarakat majmuk yang rumit. UMNO sebagai teras BN telah berjaya membawa negara ini bergerak maju dengan pertumbuhan ekonomi yang baik, pembangunan sistem pendidikan yang peka terhadap perubahan, kemudahan prasarana yang moden, menyantuni golongan miskin dan menjadikan Islam berkembang dalam institusi dan organisasi. Aku janji yang dibentangkan membayangkan kesinambungan rekod yang lalu. Kelemahan tetap ada tetapi proses pembaikan dan pengukuhan tetap terjadi. Aliran fahaman yang terdapat dalam Pakatan Rakyat pelbagai. DAP dengan aliran sosialis demokratnya ditunjangi faham sekular "sama rata sama rasa" ingin menghasilkan negara berorientasikan Konsep Malaysian Malaysia. Pas ingin membentuk sebuah negara Islam berasaskan hukum Islamiah. PKR melalui perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin membangunkan sebuah negara liberal yang berasaskan pluralisme agama. Ketiga-tiga orientasi ini sifatnya saling bercanggah. Kepintaran Anwar, Pas berjaya dipengaruhi menerima konsep negara berkebajikan dan sering dikritik oleh akar umbi. Sekali-sekala terdengar Haji Hadi, Nik Aziz, Dr. Haron Din muncul dengan kenyataan Pas tetap perjuangkan hudud dan negara Islam. Ia segera disanggah oleh Karpal Singh. Karpal Singh pernah berkata "langkah mayat saya dulu" kalau ingin laksanakan hudud dan negara Islam.

Anwar dengan faham pluralisme agamanya memperjuangkan kalimah Allah boleh digunakan dalam versi Bahasa Melayu Bible sementara Majlis Syura Pas berpendirian sebaliknya. Antara faktor syarak dan politik, faktor politik diletakkan paling atas oleh Anwar. Ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan kerana persoalan kalimah Allah berkait dengan persoalan akidah. Dr. Haron Din menyatakan ia akan tetap mempertahankan kalimah Allah sehingga ke akhir hayat. Isu kalimah Allah pada hemat saya bukannya isu biasa dan terpencil. Kalimah Allah memiliki makna dan hakikat yang amat tersendiri dalam Islam. Lebih-lebih lagi senario gerakan evangelis amat aktif di rantau alam Melayu maka implikasi jangka panjang boleh terjadi terhadap generasi muda Islam. Membentuk sebuah kerajaan paling tidak memerlukan asas-asas fundamental yang sama terutama dalam konteks Malaysia berasaskan perlembagaan yang ada seperti isu hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan Islam. Faktor merit dan kaitannya dengan faktor sosio-ekonomi dalam memahami dan menterjemahkan maksud keadilan dan hak asasi manusia, isu raja dan kesultanan, isu-isu lain yang penting untuk memperkasa umat Melayu di samping ruang yang seimbang untuk masyarakat bukan Melayu berperanan untuk memajukan dirinya sekali gus membangun Malaysia. Dalam manifesto Pakatan Rakyat perkara di atas tidak jelas tetapi dalam aku janji BN ia jelas. Kejelasan aku janji ini boleh menjadi asas kesinambungan yang baik untuk Malaysia terus maju dan berubah dalam acuannya sendiri.

Mengapa soal integriti atau kewibawaan menjadi faktor penting dalam pilihan raya? Apakah faktor kesinambungan penting dalam membangun sebuah kerajaan?

SIDEK: Memang faktor integriti dan kewibawaan penting dalam kepimpinan sesebuah parti politik. Kepimpinan harus bersifat amanah dan telus. Terdapat sesetengah tokoh politik yang dipalitkan dengan masalah kredibiliti yang serius. Selalunya bila ini terjadi dalih dan helah serta alasan yang diberi tidak meyakinkan. Pemimpin harus telus membersihkan diri kerana ia pemimpin. Kalau pemimpin dilingkari isu moral yang tidak selesai sukar dirinya untuk melakukan kepimpinan dalam negara kerana masalah yang ada padanya menyebabkan masalah besar kepada kepimpinan negara nanti.

Oleh itu isu integriti mempunyai kaitan rapat dengan asas kesinambungan yang perlu ada dalam proses bina negara. Aku janji BN mempunyai asas bahawa kesinambungan adalah sesuatu yang penting dalam membangun kekuatan ekonomi, kecemerlangan pendidikan, kepekaan terhadap pembangunan sosial, pemodenan infrastruktur, menjadikan patuh-syariah terus berkembang dalam tijarah, muamalah, industri halal, sukuk dan waqaf supaya Malaysia mampu dijadikan rujukan dan model kepada pihak-pihak lain. Tidak timbul masalah regime change atau pertukaran kerajaan mengambil semangat Arab Spring. Situasi dan keadaan di Malaysia jauh lebih berkembang ekonominya, aman dan stabil negaranya, pendidikannya yang maju, peluang pekerjaan yang banyak akibat pengurusan yang berintegriti dan prorakyat.

Baru-baru ini Dr. mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan banyak pihak terhadap Anwar. Tentu banyak kerenah dan fitnah mengenainya yang terpaksa dihadapi. Apa sikap Dr. terhadap perkara ini?

SIDEK: Dalam kes pertama Anwar serta pengalaman saya dalam ISA, pendirian saya terhadap Anwar tidak berubah. Kes kedua yang melibatkan Saiful Azlan Bukhari saya mula bertanya selepas menerima maklumat asas. Saya lakukan pertemuan, kajian dan penelitian kepada bekas pegawai khas, penasihat agama, setiausaha sulit dan peribadi, setiausaha politik dan orang politik, Ketua Pemuda Keadilan dan para peguam, rakan-rakan rapat yang pernah bersama dengannya dan ramai lagi. Hasil kajian itu menyebabkan saya mengambil kesimpulan bahawa Anwar mempunyai masalah kredibiliti atau kewibawaan terutama atas isu pluralisme agama, hubungan dengan pihak luar dan kredibiliti diri. Walaupun isu zina dan liwat tidak saya sebut ia adalah urusan Anwar dengan Allah kerana saya yakin Allah Maha Mengetahui apa yang terjadi.
Seperti biasa pendirian yang saya ambil mendapat dukungan yang baik dan fitnah serta mehnah yang serius dalam kalangan sesetengah pihak tanpa usaha bertanya saya mengenai kajian yang saya lakukan. Saya dilatih dalam tradisi ilmu dan dakwah. Dakwah memberi pedoman kepada saya supaya mempunyai maklumat yang cukup sebelum mengambil pendirian. Ramai dalam kalangan kawan-kawan khususnya dalam ABIM mengkritik pendirian yang saya ambil. Prinsip yang saya pegang ialah ambil tahu mengenai sesuatu yang kita patut tahu, Apabila kita tahu harus beritahu kepada yang tidak tahu dalam kadar yang munsabah. Terdapat di kalangan kawan-kawan bersifat "mati-rasa" walaupun latar akademik dan prosfesionalnya tinggi membina sifat taksub dan tidak terbuka untuk bertanya. Seolah-olah tokoh yang mereka puja adalah "maksum" dan tidak ada cacat-celanya.

Mereka tuduh saya melacur diri, digunakan oleh pihak lain, menerima imbuhan bulanan RM15,000 setiap bulan, menerima tanah dan jualkan kepada tauke Cina, melobi untuk mendapatkan jawatan rektor universiti , melakukan konspirasi yang tidak pernah wujud dan banyak lagi. Malah isteri saya bersilih hari menerima kecaman yang tidak sepatutnya malah ada yang mendoakan saya jatuh terbujur kerana sikap yang saya ambil. Alhamdulillah semangat saya masih kuat untuk menyatakan kebenaran kerana apa yang dituduh itu semuanya fitnah belaka. Saya seorang pendakwah, seluruh fitnah yang dilontarkan kepada saya, saya maafkan mereka kerana sesungguhnya mereka tidak tahu. Saya tidak mahu fitnah ini bakal membawa kita ke kubur dan terus berdoa supaya kebenaran akhirnya akan tegak.

Ada orang yang mempertikaikan perjuangan untuk memperkasa umat Melayu sebagai asabiah, rasis atau perkauman. Ada juga pihak melontarkan fitnah kerajaan tidak berbuat sesuatu untuk Islam. Bagaimana Dr. melihat hal ini?

SIDEK: Isu Melayu atau umat Melayu ini tidak ditangani secara adil. Ia menjadi slogan politik yang menyebabkan pemikiran orang Melayu berpecah dan bercelaru. Politik sindrom malu menyebut Melayu ini bercanggah sama sekali dengan proses budaya dan tradisi sejarah perubahan Melayu. Proses perubahan orang Melayu dengan asas akidah, ibadah, syariah dan akhlaknya berlaku dalam tempoh yang lama. Akibat dakwah dan tarbiah berlaku pencerahan dalam tasawur dan cara hidup. Tingkat penghayatan umat Melayu tentunya berbeza-beza. Oleh itu amat tidak adil memberi sempadan yang tajam antara Melayu dan Islam sehingga menjadikan orang Melayu rendah diri dan serba salah menyebut diri sebagai Melayu dan apa perkara yang berkaitan dengan Melayu. Perjuangan Pas di peringkat awal juga memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Abu Bakar Bakir, Burhanuddin al Helmi dan Zulkifli Muhammad pemikiran politik mereka terbina atas asas Melayu dan Islam. Hal yang sama juga berlaku kepada UMNO memperjuangkan hal-hal bangsa, agama dan negara. Cuma selepas revolusi Iran (1979) dan kemasukan Anwar (1982) Pas mengambil sikap yang lebih radikal menuduh kemasukan Anwar dalam UMNO tidak syarie dan terdapat ahlinya menuduh Anwar kafir.

Melayu sebagai suatu bangsa adalah ciptaan Allah adalah suatu fitrah (Al Hujurat:13). Rasulullah SAW amat suka kepada Kaum Quraish dan ia suatu fitrah. Ibnu Khaldun dalam kitabnya al Muqaddimah memberi kupasan bahawa asabiah atau nasionalisme yang tidak menzalimi orang lain adalah dibenarkan. Contoh konkrit yang ada pada orang Melayu ialah perjuangan memartabat bahasa Melayu dalam sistem ilmu dan pendidikan adalah tidak bercanggah dengan Islam kerana terdapat ribuan istilah al-Quran seperti amanah, rahmah, nimah, adil, solat, doa, ikhlas, dakwah, masyarakah terdapat di dalam bahasa Melayu. Melayu yang sudah ditindikkan dengan akidah tauhid, ibadah yang luas skopnya, syariah yang menjadi panduan urusan perbankan, taqaful, sukuk, waqaf, usaha halalan tayyiba dan banyak lagi adalah testimoni kerajaan memberi ruang yang sangat luas untuk Islam berkembang. Hakikatnya yang benar katakan benar. Yang salah disantuni dengan dakwah dan nasihat. Jangan jadi manusia yang terikut-ikut bertugas diinstitusi dan organisasi Islam tetapi masih tidak menerima hakikat bahawa kerajaan melakukan sesuatu untuk Islam. Ia adalah tidak adil.

Dalam membuat pemilihan bijak dalam PRU-13 apa pertimbangan Dr. supaya pilihan terhadap kerajaan adalah sesuatu yang wajar dan tepat?

SIDEK: Pertama, rekod pencapaian yang ada pada kerajaan terdahulu dari sudut perancangan dasar dalam aplikasi pembangunan dan perubahan. Kedua, memiliki dasar yang jelas membantu kelompok umat Melayu supaya ditingkatkan pegangan (ekuiti) dan penguasaannya supaya terus maju dalam ekonomi, pendidikan dan sosial di samping memberi ruang yang memadai untuk orang bukan Melayu berpartisipasi.  Ketiga, ada ruang untuk Islam berperanan dalam erti kata yang luas. Islam bukan sekadar agama yang menampilkan syiar dan ritual semata. Islam harus diterjemahkan sebagai sumber dalam sistem dan tamadun. Ia berlaku pada masa yang lalu dan menuntut pengukuhan pada masa depan. Keempat kita memerlukan sebuah kerajaan yang bersedia melakukan tajdid atau transformasi supaya kita mengambil kira faktor setempat, negara dan dunia dan mengambil manfaat berbanding dari Barat dan Timur untuk diolah ke dalam acuan kita sendiri iaitu acuan Malaysia yang berasaskan etika dan nilai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130428/re_05/Saya-kaji-bukan-fitnah#ixzz2Rotk2mpl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, April 26, 2013

Husam Tawar Rumah Kepada Penjawat Awam Putrajaya


Husam Musa dalam siri kempennya menawarkan kuaters kerajaan ditukarkan kepada sewa beli.  Hanya yang berfikiran singkat sahaja percaya kepada janji tersebut.  Kenapa kuaters? Sebab ia kemudahan perumahan Penjawat Awam yang akan silih berganti didiami oleh Penjawat Awam yang lain atas pelbagai sebab. Antaranya ialah Penjawat Awam itu berhenti, bertukar dan juga bersara wajib. Pembangunan Putrajaya mengikut pelan induk (masterplan) akan mewujudkan 300,000 kediaman pelbagai jenis di mana 40% adalah dibina bagi tujuan kuaters kerajaan dan 60% lagi dijual kepada awam.

Kuaters kerajaan dibina di atas tanah yang diberilimilik di atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP-KPTG) dan tidak boleh dijual beli sementara Putrajaya Holdings (PJH) adalah pemilik tanah yang akan dan telah dibangunkan kediaman yang akan dijual kepada awam. Kuaters kerajaan dibina mengikut kelas dan kelayakan Penjawat Awam yang telah ditetapkan di dalam bab E Perintah Am.  Pangsapuri berkeluasan antara 850kp.-1,000k.p. adalah diperuntukkan kepada Penjawat Awam dari gred 1-17.  Pangsapuri berkeluasan 1,200k.p bagi gred 22-26 atau sesiapa yang bersetuju untuk"down gred". Sementara rumah teres diperuntukkan kepada Penjawat Awam Gred 27-44 mengikut kelas masing-masing dan rumah teres berkembar bagi gred 48-54.   

Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam perancangan pembangunan Bandar raya Putrajaya, telah mengkhususkan 10,000 buah rumah mampu milik dibangunkan dibeberapa kawasan. Antara PRMM yang telah dibangunkan ialah Pangsapuri Putra Harmoni (rumah hijau) di Presint 9, Pangsapuri Putra damai di Presint 11 dengan kedua-dua pengsapuri berkenaan berkeluasan 700kp dan dijual dengan harga RM45,000.00.  Memandangkan desakan penduduk Putrajaya supaya dibina rumah mampu milik yang lebih besar, UMNO Bahagian Putrajaya telah membawa permohonan ini kepada  PPj dan Perdana Menteri.  Melalui perbincangan dan kajian mendalam oleh PPj, PJH dan Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan bersetuju membina rumah mampu milik yang lebih besar di Putrajaya melalui projek PR1MA yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri dan dijual di Presint 11 dengan harga antara RM120,000 (815k.p.) - RM150,000 (1,006k.p.) pada tahun lepas.

Seterusnya, pada 18 April yang lepas Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk Penjawat Awam yang menetap di kawasan bandar. Projek pertama dibangunkan khusus untuk Penjawat Awam di Putrajaya. PPA1M berkeluasan 1,000k.p., 1,200k.p dan 1,500k.p. akan dijual dengan harga antara RM150,000.00 hingga RM300,000.00 adalah jauh lebih rendah dari harga pasaran.  Sebagai perbandingan  Apartment Dwi Putra yang dibangunkan oleh SP Setia di Presint 15 mula dijual dengan harga antara RM389,500.00 - RM694,200.00 dengan berkeluasan 900k.p. hingga 1,200k.p. 


Kemudahan perumahan untuk Penjawat Awam ini diperjuangkan oleh UMNO yang menjadi tunjang BN di Putrajaya dan ia sudah pasti tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak khususnya oleh Penjawat Awam itu sendiri. Dari estet getah dan sawit Ladang Prang Besar, Sidgelley, Madingley dan Galloway akhirnya menjadi sebuah Bandar Raya Dalam Taman yang indah adalah ilham dan iltizam kerajaan Barisan Nasional.

Kuaters adalah kemudahan dan bukannya hak! Soal kekurangan dan tempoh senarai menunggu kuaters akan ditangani oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, JPM dengan sebaik-baiknya.  Masih banyak lagi kuaters yang akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat di Presint 5, 6, 8, 11, 12, 15, 16, 17 dan 19. Sekiranya semua kuaters ini dijual seperti janji Husam Musa, maka apakah lagi yang tinggal untuk generasi Penjawat Awam akan datang? Inilah contoh pemikiran  dangkal pemimpin  PAS yang terkenal dengan slogan dan perasmian batu asas...  

Wednesday, April 24, 2013

Jasa Husam Musa di Putrajaya

Husam Musa memang bikin gempar kerana sudi mampir untuk bertanding di Parlimen Putrajaya.  Beliau yakin boleh menang kerana memikirkan sentimen ore Kelate yang ramai mengundi di Putrajaya. Selain itu, jentera beliau juga telah menjalankan perincian dan kajian sikap pengundi-pengundi baru yang meningkat secara mendadak.  Sebenarnya, Husam bukanlah yakin sangat boleh menang, tetapi sekadar mencuba nasib. Sebab itulah, Husam masih tidak mahu melepaskan kerusi DUN Salor. 

Walau apapun, pengundi Putrajaya terdiri dari kumpulan sasar yang berbeza dan lebih bijak dari orang Salor. Pengundi Putrajaya tidak akan tertipu dengan segala manifesto yang bukan janji PR. Husam juga banyak terpalit dengan isu yang masih tidak sudah dan tidak mampu pun bersama Nik Aziz membangunkan Kelantan.



Berbanding Husam, penyandang kerusi parlimen Putrajaya selama dua penggal Ku Nan telah membuktikan kewibawaan dan ketokohannya menyelesaikan isu rakyat tempatan.  Tiada siapa yang boleh mempertikaikan apa yang Ku Nan telah lakukan untuk membantu rakyat Putrajaya. Cakap banyak pun tak guna, baca dan renunglah, tanya dalam diri anda dan jangan dikaburi dengan janji manis yang kelak akan dikesalkan...

    

Husam DiJangka Tersungkur Di Putrajaya, Mungkin Berakhirnya Kerjaya Politiknya


Kredit kepada blog: http://www.khabarkotabharu.com

Husam-PRU13
Oleh Ali Salleh,

KOTA BHARU – Bukan muka yang dikenali, sokongan pengundi dari kalangan penjawat awam yang kuat terhadap kerajaan dan bertarung di kubu kuat Barisan Nasional (BN) merupakan antara lima faktor penolak yang akan menyaksikan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa tersungkur di kerusi Parlimen Putrajaya.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Menurut beberapa penganalisis politik selain itu legasi penyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama dua penggal Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dekat dengan pengundi di situ, juga merupakan halangan yang besar bagi Husam untuk meraih sokongan 15,798 pengundi berdaftar di situ.
“Melalui Tengku Adnan, BN juga mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di Putrajaya. Apatah lagi beliau juga yang menubuhkan Umno Bahagian Putrajaya yang ketika itu cuma mempunyai 800 pengundi,” kata Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.
Menurutnya, tambahan lagi dalam suasana ekonomi negara yang segar sekarang, penjawat awam di Putrajaya dan di seluruh negara juga jelas mempunyai ‘mood’ yang baik terhadap kerajaan BN dan tentunya mahu Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya mentransformasi kerajaan, terus memerintah.
Beliau berkata PAS keliru membaca suasana politik dan membuat perkiraan yang salah jika beranggapan Husam berpeluang menang pada pilihan raya umum ke-13.
Atau mungkinkah juga PAS tidak keliru sebaliknya memang mempertaruhkan masa depan politik Husam yang mungkin tidak disenangi oleh pemimpin PAS lain di Kelantan dan cara terbaik meminggirkan beliau ialah dengan ‘menendang’ Husam keluar dari Kelantan?
Datuk Dr Junaidy Abu Bakar
Datuk Dr Junaidy Abu Bakar
Dr Junaidy berkata Husam sering disebut-sebut bakal menggantikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan faktor itu tentunya tidak digemari saingan politiknya di Kelantan yang juga mempunyai cita-cita ke arah itu.
Kerusi bagi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan seluas 4,931 hektar itu dimenangi Tengku Adnan sejak 2004 selepas kawasan itu diwartakan dalam wilayah persekutuan pada 2001.
Pada pilihan raya umum 2004, Tengku Adnan menewaskan Abdul Rahman Othman daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 3,546 undi.
Pemilihan Husam untuk bertanding di kawasan Parlimen itu diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam menggantikan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad yang ditewaskan dengan majoriti 2,734 undi pada PRU-12 oleh Tengku Adnan pada 2008.
Prof Ahmad Atory Hussain
Prof Ahmad Atory Hussain
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Ahmad Atory Hussain pula berkata pemilihan Husam itu juga sebagai satu strategi halus PAS untuk mengusir penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor itu, sekaligus membantutkan peluang beliau untuk menjadi Menteri Besar Kelantan.
“Husam tidak boleh menjadi Menteri Besar kerana Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih bertanding di DUN Chempaka pada pilihan raya umum kali ini. Maknanya, untuk mengubat kekecewaan Husam sekian lama menunggu peluang itu, PAS akhirnya membuat counter offer kerusi Parlimen Putrajaya,” katanya.
Ahmad Atory yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) juga melihat, jika Tengku Adnan dikekalkan sebagai calon BN di Putrajaya, peluang Husam untuk menang sangat tipis.
“Saya percaya Husam sukar untuk menang tambahan kajian yang dilakukan dalam siri pilihan raya umum sebelum ini mendapati calon tempatan merupakan kriteria pilihan pengundi. Pengundi di Putrajaya sudah kenal siapa Tengku Adnan dan pengaruh Husam tiada di kawasan itu melainkan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata pengundi Putrajaya akan memberi sokongan padu kepada BN memandangkan agenda transformasi yang dilaksanakan selama ini telah mencapai sasarannya, selain kekerapan anggota Parlimennya turun padang bertemu rakyat.

Pertembungan Sengit di P.125 Putrajaya


PRU ke-13 bagi Parlimen P.125 Putrajaya kali ini menjanjikan pertembungan sengit antara penyandang Datul Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Dato' Paduka Husam Musa yang berkelana dari negeri tandus untuk mencari kehijauan rimbunan landskap indah inspirasi pimpinan BN di Putrajaya.  Tanggal 20 April 2013, pada hari penamaan calon di Dewan Serbaguna Presint 9, Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya Datuk Hj. Muhamad Haitamin Ishak mengumumkan dan mengesahkan kedua-duanya layak bertanding pada PRU kali ini.  Pada 5 mei 2013 akan datang seramai 15,791 orang pendaftar pemilih akan menentukan sama ada Ku Nan atau Husam Musa yang menjadi wakil mereka di Dewan Rakyat.