Salam hormat buat rakan-rakan pemuda Putrajaya.
Sejak beberapa minggu ini saya banyak mengikuti perkembangan dan menilai situasi politik bukan sahaja di peringkat pemuda Putrajaya bahkan juga bahagian dan yang lebih penting adalah di peringkat nasional. Hala tuju kepimpinan UMNO di peringkat nasional adalah paling penting kerana merekalah tunjang tempat pemuda seperti kita berteduh. Jika mereka tidak diyakini mampu merobah pandangan rakyat terbanyak, sudah tentu kita sendiri akan menghadapi masalah yang bukan mudah selepas ini.
Walau begitu, sudah tentu saya lebih dekat dengan saudara semua. Minggu ini sepatutnya kita sudah memasuki fasa ke-2 iaitu persidangan bagi pencalonan dan pemilihan di peringkat cawangan sehingga pertengahan ogos nanti. Pun begitu, seperti yang kita diberitahu, Mesyuarat Pengurusan UMNO Bahagian yang dipengerusikan oleh Datuk Tengku pada 14 Julai 2008 (Isnin) telah memutuskan persidangan cawangan disemua peringkat ditangguhkan sehingga kesatu tarikh lain kerana terdapat masalah teknikal. Secara peribadi, teknikal apa saya kurang pasti tetapi ianya tidak sepatutnya berlaku di bahagian yang dipimpin oleh Setiausaha Agong UMNO Malaysia. Isu dan masalah seperti inilah sebenarnya yang membuat ramai ahli UMNO Putrajaya tidak senang dengan barisan pengurusan UMNO Bahagian Putrajaya. Adalah diharapkan, Datuk Tengku dapat merobah corak dan pendekatan kepimpinannya di bahagian ini jika mahu terus dihormati. Jangankan kerana seorang dua yang terus dibela, maka UMNO Putrajaya tidak lagi releven di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang serba moden.
Saudara,
Seperti yang telah saya nyatakan pada rakan-rakan ketua pemuda dari 12 buah cawangan kelmarin, sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak berhasrat untuk mempertahankan jawatan, bertanding dan memegang jawatan di semua peringkat sama ada pemuda cawangan atau pemuda bahagian. Saya juga ingin menegaskan bahawa saya bukan menarik diri dari bertanding Naib Ketua Pemuda, kerana selama ini saya belum lagi menawarkan diri dan belum lagi dicalonkan oleh mana-mana cawangan. Walau bagaimanapun, pada pemilihan kali ini saya berhasrat untuk menawarkan diri sebagai perwakilan pemuda Putrajaya(G2) ke Persidangan Pemuda UMNO Malaysia. Hal ini tiada kena mengena dengan prangsangka sesetengah rakan-rakan yang menyatakan saya takut untuk bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda. Mungkin saudara tidak faham dengan corak pemikiran saya tentang perjuangan didalam parti siasah. Pemikiran dan arah tuju politik saya tidak dinaungi oleh mana-mana mentor atau penaja tetapi adalah atas dasar prinsip diri sendiri. Jika saya bertanding, saya sudah pasti akan bekerja kuat dan saya yakin mampu menang. Pun begitu, jawatan bukanlah matlamat utama saya, kerana saya tidak memerlukan jawatan didalam parti untuk terus hidup.
Selama ini saya telah cuba bekerja dan menyumbang tenaga serta buah fikiran untuk parti tetapi dengan situasi semasa terutama selepas selesai pemilihan nanti, saya yakin dan percaya bahawa saya tidak lagi boleh bekerja secara selesa dengan orang yang tidak sealiran dengan jiwa dan pemikiran saya. Saya kesal kerana ramai orang suka bercakap tetapi banyak perkara yang tidak dibuat. Inilah yang merosakkan UMNO dan menyebabkan masyarakat luar pesimis terhadap UMNO... Dengan berundurnya saya dari sebarang jawatan, saya percaya ramai lagi pelapis yang berpotensi mengisi ruang perjuangan sama ada sebagai Ketua Pemuda Cawangan Teratai dan juga AJK Pemuda Bahagian. Bak kata pepatah, 'patah tumbuh, hilang berganti'...
Selepas ini saya akan terus mengikuti perkembagan UMNO Putrajaya sebagai ahli biasa dan akan terus menyuarakan kritikan dan pandangan secara terbuka dengan blog ini sebagai medium rasmi. Untuk akhirnya saya berdoa dan berharap, saudara semua dapat memilih Ketua Pemuda, N/Ketua Pemuda dan barisan jawatankuasa pemuda UMNO Bahagian Putrajaya yang lebih diyakini mampu merubah cara kerja dan persepsi masyarakat umum terhadap UMNO keseluruhannya.