Wednesday, July 16, 2008

Calon Gelojoh,'ambitious' perosak Umno

PAKAR motivasi percaya individu yang ingin berjaya perlu mempunyai impian yang biasa disebut sebagai matlamat atau cita-cita. Mempunyai cita-cita biasanya disebut sebagai ambitious. Dalam semua keadaan, iaitu sekiranya kita ingin mencapai kejayaan, perlu ada cita-cita dalam diri yang menjadi hala tuju atau penentu kepada landasan tindakan bagi mencapainya. Dunia politik agak berbeza bentuk cita-citanya. Biasanya, apabila individu terjun dalam bidang politik, matlamat atau cita-citanya bukan kerana dia ingin menjadi ketua politik yang kelak mendapat nama, pangkat dan kuasa, sebaliknya istilah popular daripada mulut kebanyakan orang politik ialah berkhidmat untuk rakyat. Rupa-rupanya sikap bercita-cita besar dalam politik begitu berbahaya kerana aura daripada sikap itu boleh menimbulkan tekanan yang secara tidak sedar turut meretakkan landasan perjalanan yang kononnya berkhidmat untuk rakyat.
Apabila dikaitkan sikap ambitious dengan gelora politik semasa, nampaknya parti politik di negara kita sedang menghidapi sindrom ini. Satu senario kini ialah apabila kita melihat kepada perkembangan terbaru Pakatan Rakyat. Parti Pas misalnya, seakan terperangkap atau tersepit dengan cita-citanya ingin mengurangkan sokongan orang Melayu kepada Umno apabila selepas lebih kurang empat bulan berbulan madu dengan kejayaan pilihan raya lalu, kini berasakan dirinya diperalat parti dalam Pakatan Rakyat, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terlalu ghairah berhasrat menubuhkan kerajaan. Sebagai contoh, penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri menimbulkan kegusaran kepada kalangan pemimpin Pas. Banyak tindak-tanduk PKR yang nampaknya semakin membelakangi Pas sejak akhir-akhir ini. Secara tiba-tiba saja, kesempatan tuduhan terhadap kes liwat dijadikan Anwar untuk memohon belas kasihan daripada sekutunya dengan harapan parti sekutu dan rakyat akan bersatu menentang kerajaan Barisan Nasional (BN). Jika ditakdirkan cita-cita tinggi Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan satu hari nanti, siapa yang layak menjadi Perdana Menteri tatkala melihat peranan Pas sebagai parti pembangkang Melayu paling senior berbanding PKR? Bagaimana dengan DAP yang lama mengidamkan kuasa politik untuk menyaingi penguasaan Bumiputera dan meminggirkan autonomi Islam di Malaysia?
Masing-masing ada cita-cita tersendiri. Sama ada Pas, PKR atau DAP, parti ini mungkin tidak terlalu kisah dengan keadaan yang berlaku kerana sepanjang lima tahun ini, mereka memerintah di lima negeri. Ramai ahli mereka sudah bergelar yang berhormat. Sungguhpun begitu, ambitious, Pakatan Rakyat sedikit sebanyak mendatangkan ketidakstabilan politik negara, selain melencongkan matlamatnya daripada matlamat asal – berkhidmat untuk rakyat. Dalam Umno, bulan ini hingga Disember adalah tempoh masa kepada ahli untuk melakukan perubahan parti. Sudah tentu, sikap ambitious di kalangan mereka yang ingin bertanding sentiasa membara. Ini biasa berlaku namun, Umno harus matang dengan mengambil kira pengalaman lampau. Politik wang, ampu dan melobi adalah kesan daripada sikap ambitious yang tidak mampu dikawal ahli. Umno tidak mempunyai masalah dengan Pas dan PKR kerana rakyat maklum dengan gelagat parti ini yang terlalu mengejar kuasa bukan untuk kepentingan negara. Apa yang dibimbangkan apabila sikap ambitious di kalangan ahli akan merosakkan Umno.
Disebabkan gelojoh terhadap kedudukan dalam parti jugalah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Presiden Umno sentiasa mengingatkan ahli Umno tidak akan lemah disebabkan kekuatan parti lain tetapi Umno akan hancur hanya disebabkan sikap ahlinya. Oleh itu, menjelang pemilihan Disember ini, ahli Umno perlu bersikap tenang dan bijak menentukan masa depan parti dengan melakukan pemilihan tanpa mengikut petunjuk atau apa juga mesej diberikan sebelum tempoh pemilihan berlaku. Orang bercita-cita akan memberikan mesej dalam pelbagai bentuk sekiranya ingin melobi undi. Semua ahli Umno perlu benar-benar ikhlas dalam diri untuk melakukan perubahan dalaman parti. Setiap ahli politik, terutama kalangan ahli Umno perlu mengikis sikap ambitious yang keterlaluan. Rakyat dan negara perlu diberi keutamaan lebih daripada polemik dalam politik. Kita nampak Presiden Umno sedang berusaha mengurangkan polemik yang ada sebaliknya lebih memberi fokus kepada pembangunan untuk kepentingan rakyat.
ROSLEE MARDAN,
Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan NCER, UUM.