Sultan Perak bertitah Nabi Muhammad melaksanakan dan memenuhi amanah serta tanggungjawabnya menerusi akhlak yang terpuji yang bukan sahaja diperlihatkan di kalangan anggota keluarganya, sahabat dan pengikut malah ketika menghadapi kumpulan yang menentangnya.
“Baginda mencerminkan sifat-sifat sabar dan mulia, menggunakan kalam-kalam hikmah yang terpuji sepanjang masa. Baginda memohon doa kesejahteraan untuk ummahnya dan memohon Allah membuka pintu kesedaran dan keinsafan kepada kumpulan memusuhi baginda.
“Baginda tidak mencerca, tidak juga menghina insan lain meskipun mereka tidak bersetuju dengan baginda,” titah Sultan Azlan Shah ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan melancarkan program Bulan Dakwah peringkat negeri di sini hari ini.
Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat dan rakan taulan yang tidak putus-putus menghantar sms ucapan sambutan Maulidur Rasul, terutama calon-calon KP, NKP & EXCO Pemuda UMNO Malaysia yang bertanding. Saya juga mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul kepada kalian semua dan juga pengunjung blog ini. Semoga risalah yang disampaikan oleh Junjungan Nabi Muhammad menjadi pedoman buat kita semua. Justeru itu marilah kita bersama-sama mengucapkan selawat dan salam ke atas Junjungan Baginda.