Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Buat semua bekas guruku di SAMT Batu 38 Sabak Bernam (1984-1992), Jurulatih di AFATS Kem Segenting, Kem Kg. Sawah & IJET (1987-1990), SAM Sg. Besar (1991-1992), semua penyarahku di FSSK UKM sejak 2008, rakan-rakan ku yang bergelar guru, untuk semua kalian diucapkan Selamat Menyambut Hari Guru. Jasa kalian tiada terbalas...

GURU OH GURU
USMAN AWANG


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Thursday, May 7, 2009

Sidang DUN Perak Kecoh




Sebagaimana yang dijangkakan sidang DUN Perak berlangsung dengan tegang sehingga memaksa penangguhan beberapa kali. Akhirnya V.Sivakumar yang telah dilucutkan jawatannya sebagai speaker terpaksa diangkut keluar dewan bagi membolehkan YB. Dato' R. Ganeson sebagai speaker baru meneruskan sidang dewan. Tuanku Raja Nazrin Shah dijangka akan merasmikan sidang dewan sebentar lagi. Saya akan terus mengikuti perkembangan sidang DUN Perak ini dengan penuh minat kerana ia merupakan sesuatu yang pastinya amat bersejarah dalam sistem politik Malaysia.

Melihat situasi yang berlaku dari sudut pandang sains politik adalah amat menarik sekali dan selepas ini kita akan melihat pelbagai ulasan dari sarjana politik negara seperti Dr. Agus, Dr. Aziz Bari, Dr. Ghazali Mahyudin, Dr. Nidzamudin dll. Kita nantikan bersama... Memetik sedikit ulasan mereka sebelum ini, di mana Dr. Agus menyatakan bahawa sidang di bawah pokok yang dibuat oleh PR sebelum ini adalah sah sementara Dr. Ghazali pula berpendapat sepatutnya kuasa patut dikembalikan kepada rakyat dan DUN dibubarkan bagi membolehkan Pilihanraya dibuat sekali lagi.

Semalam mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mengulas bahawa apa yang dilakukan oleh BN di Perak mungkin betul tetapi dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga menimbulkan polemik dalam sistem politik negara. Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan isnin depan bagi menentukan siapakah Menteri Besar Perak yang sah. Adakah Dato' Seri Dr. Zambery atau Dato' Seri Ir. Mohamad Nizar...



Rizalman - Ketua Pemuda Wilayah

Sebagaimana yang telah dijangkakan dan dengan penarikan diri bertanding EXCO PPUM, Sdr. Rizalman Dato' Mokhtar telah dilantik oleh YB. KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Wilayah Persekutuan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada beliau dan setakat mana yang saya mengenali beliau, saya berpendapat Rizalman adalah antara yang berkelayakan dan berkemampuan untuk mengetuai Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menempuhi laluan yang sukar ini. Sementara itu, KP Cheras, Sdr. Syed Mehdar turut dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda Negeri, Penolong Setiausaha ialah Sdr. Taupik KP Wangsa Maju, Ketua Penerangan ialah Sdr. Mahatir KP Segambut dan Penolong Bendahari ialah Sdr. Sazali Kamilan KP Lembah Pantai. Adalah diharapkan mereka dapat memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

Wednesday, May 6, 2009

Berfikir...!

Asslamualaikum dan salam hormat kepada semua pengunjung blog yang selalu melawat mypemuda. Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana tidak memblog sejak PRK Selambau dan Bukit Gantang. Terdapat keterbatasan masa, pun begitu saya sentiasa mengikuti dengan minat perkembangan politik dan sosial yang begitu pelbagai di Putrajaya dan negara keseluruhan amnya. Kesempatan diambil untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua AJK Pemuda Putrajaya yang telah diberi tugas dan tanggungjawab mengetuai dan membantu biro yang diamanahkan oleh Datuk Zaki. Tahniah juga kepada kawan2 yang dilantik sebagai AJK tambahan (senator) terutamanya yang dah tiga penggal dilantik senator...

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah barisan EXCO PPUM yang telah dilantik mengetuai biro/sekretariat dan unit. Begitu juga saya bangga bila wakil-wakil pemuda diiktiraf oleh kerajaan seperti YB. Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai Tim. Menteri Belia dan Sukan, Ustaz Syahrin dilantik sebagai Setpol Menteri Pelajaran dan Sdr. Sazali Kamilan KP Lembah Pantai dilantik sebagai Setpol Menteri Wilayah.

Sebagaimana yang anda semua sedia maklum, begitu banyak perkara yang boleh dicatatkan pada masa ini memandangkan pelbagai isu merangkumi agama Islam, politik, sosial, pelajaran dan ekonomi sedang berlaku, hangat dan diperkatakan. Dalam pada masa yang sama, rakyat diluar sana dilihat masih belum berganjak dengan pendirian tidak menyokong UMNO dan BN. Pun begitu, secara umumnya ramai kepimpinan dan pendokong UMNO serta BN yang masih bercakap...bercakap...bercakap tanpa didasari dengan BUAT KERJA!

Saya akan memblog lagi dengan lebih kritis pada masa dan kesempatan yang lain. Senarai Biro Pemuda Putrajaya dan PPUM akan dikemaskini apabila saya ada kesempatan kelak.