Friday, July 10, 2009

JAKIM Proses Sijil Halal

Tahniah diucapkan kepada YB. Datuk Jamil Khir Baharum kerana mengemukakan memorandum kepada kabinet supaya JAKIM mengambil semula peranan daripada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk mengendalikan urusan pengeluaran sijil halal. Syabas juga kepada YAB Dato' Sri Najib dan barisan kabinet kerana meluluskan memorandum tersebut dengan serta merta. Saya sangat bersetuju dengan tindakan pembetulan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional ini kerana sudah sewajarnya JAKIM adalah pihak yang betul, sesuai lagi bertanggungjawab terhadap hal menjaga kesucian barangan yang dugunakan dan dimakan oleh umat Islam.

Rakyat sudah membantah apabila fungsi JAKIM tersebut mula dicadangkan dialihkan kepada HDC dan bantahan dimanipulasi oleh pembangkang pada PRU-12 dan rakyat hakikatnya marah dengan tindakan yang dilihat tidak betul dan mempunyai unsur komersil apabila sebuah perbadanan mengeluarkan sijil halal. Justifikasi dan kertas kerja yang dikemukakan bagi tujuan tersebut mungkin hebat di atas kertas dan orang yang mencadangkannya dan orang yang berada di sebaliknya juga mungkin hebat. Tapi apalah gunanya jika membuat duit dengan menjual proses sijil halal dan mereka melihat ini boleh membuat duit dengan mudah. Mereka tidak peduli dengan kemarahan umat Islam dan kemarahan itu diterjemahkan dengan mengundi pembangkang. Saya sangat bersetuju dengan saranan YB. Menteri supaya HDC memainkan peranan serta fokus kepada pembangunan industri halal di Malaysia dan antarabangsa . Hari ini, kerajaan mengumumkan untuk menubuhkan sebuah institusi khusus di bawah JAKIM yang akan menguruskan sijil halal. Semoga usaha murni dan betul ini akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kewibawaan kerajaan Barisan Nasional. Sebuah kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat, bukan retorik dan bukan berkuasa selama ini atas dasar hagemoni. Allah huakbar