Hari ini 30 April 2013 pengundi awal yang terdiri dari pasukan polis di Putrajaya akan mengundi. Berbaki lima hari lagi akan menentukan sama ada Ku Nan atau Husam Musa memenangi kerusi P125 Putrajaya. Sehingga semalam, kedua-dua calon bersaing hebat dengan memobilasi kekuatan parti masing-masing bagi menarik kepercayaan pengundi. Tokoh hebat seperti Tun Mahathir, Nik Aziz, Tun Daim dan Utz Azhar Idrus diturunkan untuk membantu kemenangan calon.
Media baru turut berperang hebat. Di alam maya seperti fb, kelihatan Husam Musa menerima sokongan terbanyak. Penulis berminat mengikuti perkembangan hebat ini hingga akhir termasuk pasca 5 Mei 2013 nanti. Sesungguhnya pertembungan kali ini sungguh menarik untuk dibicarakan. Hasil risikan dan pemerhatian penulis, walaupun disaingi dengan hebat, calon BN Tengku Adnan masih mendahului calon PAS Husam Musa. Di atas kertas dan di lapangan sehingga 29 April, BN masih mengekalkan momentum sekitar 60% - 65% sokongan pengundi. Pengundi diam dan pengundi neutral yang majoritinya penjawat awam dilihat masih mengekalkan sokongan kepada BN. PAS dilihat sukar untuk menggunakan isu -isu lokal kerana penghuni Putrajaya telah 99% selesa dengan kemudahan yang disediakan dan gerak kerja Ku Nan sebagai Ahli Parlimen Putrajaya selama dua penggal. PAS akan terus membawa isu nasional, keperibadian calon dan agama.