Hari ini setelah membentangkan kajian mengenai PPSMI kepada Kabinet, YAB. Menteri Pelajaran mengumumkan keputusan kerajaan untuk menghentikan PPSMI. Sehubungan itu, mulai 2012 pengajaran Sains dan Matematik akan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Ini adalah bukti bahawa kerajaan mendengar suara hati rakyat, mendengar rintihan hati pejuang Bahasa, mendengar saranan sarjana Bahasa Melayu. Bukan niat mantan YB. Menteri terdahulu tidak menghentikan segera PPSMI, tetapi hasil kajian perlu diteliti dan dibentangkan terlebih dahulu. Justeru itu, kerajaan mengambil keputusan dan masa yang betul untuk mengumumkan pemansuhannya. Kita faham, masih ada yang bersetuju supaya PPSMI ini diteruskan kerana bukan sedikit kos yang telah dibelanjakan bagi pelaksanaannya dan juga kebaikan pelaksanaannya dalam jangka masa panjang. Namun, pemansuhannya juga bukan atas dasar politik semata kerana sekiranya atas dasar politik dan mengambil hati orang Melayu saya pasti sudah lama kerajaan memansuhkannya dan tidak perlu diusung keranda 152. Penentangan terhadap PPSMI dilihat bukanlah sepenuhnya oeh para pejuang Bahasa Melayu, tetapi telah digerakkan melalui arus politik atau senang cakap 'dipolitikkan' oleh pembangkang. Kelihatannya kini mereka berjaya apabila kerajaan memansuhkan PPSMI, tetapi harus diingat generasi kita juga yang akan rugi. Bangsa lain turut menangguk di air keruh, sedangkan SRJKC & SRJKT tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu dan terus menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam pembelajaran mereka.