01 November 2009 (sabtu). UMNO Cawangan Bunga Teratai Presint 16 Putrajaya telah menganjurkan Majlis Berkhatan Beramai-ramai 2009 . Majlis tersebut dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato' Khairuddin bin Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya yang mewakili YB. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya yang berada di luar negara.
Dalam majlis tersebut, seramai 22 orang kanak-kanak telah diraikan dengan dihadiri oleh 300 orang tetamu termasuk ibubapa peserta. Antara tetamu jemputan yang hadir ialah En. Sharif Setiausaha UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail bin Aziz, EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Tn. Hj. Fadilah Pengerusi Surau al-Raudhah, En. Mahmud, Pengerusi Komuniti Bestari, AJK UMNO Bahagian Putrajaya, AJK Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya dan Ketua-ketua Blok Apartment Presint 16. Majlis dimulai dengan bacaan ayat al-Quran dan tahlil serta doa selamat. Seterusnya ucapan oleh En. Hasnol bin Harun, Ketua UMNO Caw. Bunga Teratai. Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Y.Bhg. Dato' Khairuddin dengan dengan memotong pulut kuning. Seterusnya, semua peserta ditepung tawar dan diberikan cenderahati termasuk bunga telor.
Seterusnya, semua peserta diarak dengan bunga manggar dan paluan kompang disekeliling kawasan kejiranan menuju ke tapak mandian. Sebuah jentera dari Pasukan Bomba dan Penyelamat Putrajaya telah sedia menanti untuk acara bersiram. Setelah bersalin pakaian, semua peserta begitu girang dapat bermandi dengan semburan air oleh pasukan bomba. Setelah selesai, semua peserta dan jemputan termasuk pasukan bomba dijemput menikmati jamuan makan tengahari. Majlis yang bermula jam 9.30 pagi telah berlangsung dengan lancar dan bersurai pada jam 01.00 petang.