Thursday, November 27, 2008

Kerajaan Perak Menggunakan Blog

Saya tertarik apabila membaca artikel dalam Berita Harian Online 27 Nov. 2008 yang bertajuk Perak tubuh Sekretariat Blogger sebar dasar kerajaan negeri. Berdasarkan laporan berkenaan dimaklumkan bahawa seramai 26 orang penulis blog (blogger) dari Persatuan Blog Perak telah berjanji dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menulis laporan mengenai apa jua aktiviti anjuran kerajaan negeri Perak melalui blog mereka.

Setelah PRU-12 berlalu saya melihat UMNO masih lagi belum melakukan sebarang gerak kerja yang jelas dan agresif untuk menggunakan blog dalam konteks 'cyberwar' terhadap parti pembangkang. Sedangkan kita amat sedar bahawa sejak pemecatan Anwar Ibrahim pada 02 Sept. 1998, para penyokong beliau yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai 'reformis' telah menggerakkan jentera dengan membina pelbagai laman web seperti 'mahazalim', 'mahafiraun' dll. Seterusnya parti pembangkang mengambil kesempatan dengan menggunakan berita-berita fitnah dan bohong yang dicetak dari website-website berkenaan termasuk gambar-gambar untuk diedarkan kepada para pengundi luar bandar pada PRU-11 tahun 1999. Setelah tercetusnya fenomena 'blog' sekitar tahun 2004, kita melihat dalam PRU yang lepas beribu bloggers dari kalangan penyokong pembangkang telah membuka blog masing-masing. PAS misalnya telah membina blog bagi setiap Perhubungan PAS Negeri dan Kawasan (Bahagian).

Persetujuan Persatuan Blog Perak tersebut sebenarnya merupakan satu ancaman dan bahaya yang amat besar kepada UMNO khususnya di Perak. Walaupun kita mempunyai akses untuk menyiarkan berita dan propaganda melalui media massa, namun kita mesti akur bahawa pengundi saluran 3 & 4 adalah generasi yang dahagakan maklumat dengan melayari dunia 'blogsphere'. Sehubungan itu, saya amat berharap Ibupejabat UMNO Malaysia mengaktifkan semula kumpulan 'cyber-war' di bawah Jabatan Teknologi Maklumat. Seperkara lagi, saya menyarankan pemimpin disemua peringkat bahagian dan cawangan seperti Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pemuda Cawangan, Ketua Puteri Cawangan dan lain-lain membina blog masing-masing bagi tujuan menepis maklumat-maklumat dari penyokong PR sekarang ini. Amat menyedihkan kerana betapa ramainya wakil rakyat BN terutamanya UMNO yang tidak mempunyai blog/portal/website sendiri. Saya pernah terbaca satu maklumat di dalam blog seorang penyokong PAS Johor, dimana beliau mengambil inisiatif menganjurkan satu kursus/bengkel bagaimana membina laman blog. Di peringkat Pemuda UMNO Putrajaya, saya menyarankan supaya Datuk Ahmad Zaki mengarahkan semua 25 pegawai dan AJK Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya mempunyai blog sendiri. Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya selayaknya mempunyai sebuah 'portal' yang interaktif bagi menyalurkan segala info kepada ahli pemuda Putrajaya. Kos untuk membina sebuah portal interaktif adalah lebih murah berbanding harga sebuah komputer riba yang paling canggih.

Seharusnya orang UMNO, ahli UMNO dan penyokong -penyokong UMNO yang sepatutnya mahir dan terkehadapan dalam penggunaan internet ini kerana pemimpin yang menggalakkan dan mempertahankan supaya rakyat Malaysia didedahkan kepada dunia internet tanpa sempadan sekitar tahun 1994 ialah Tun Dr. Mahathir, pemimpin ulung UMNO. Pada waktu tersebut sekiranya kita masih ingat pemimpin pembangkang terutamanya yang membantah dan tidak bersetuju dengan dasar langit terbuka ini. Tetapi sekarang, merekalah yang bijak mengambil kesempatan dan orang UMNO masih lagi ketinggalan seperti bidalan "bagai katak di bawah tempurung" ...

Wednesday, November 26, 2008

Sejarah Tidak Pernah Berbohong

Renuangan untuk kita...
SEJARAH amat penting. Dalam lawatan saya ke Samarkand, kota berusia 2,750 tahun, yang menempatkan bandar raya kegemilangan Islam, tergambar kepada saya kekaguman yang teramat sangat. Di situlah cendekiawan Islam berkumpul, mencipta formula matematik algebra, melakar peta cakerawala alam semesta secara kiraan saintifik, membina balai cerap, mengumpul hadis-hadis sahih Rasulullah SAW untuk generasi sekarang, serta mencipta bangunan-bangunan ala Menara Berkembar Petronas - pada kurun ke-13!

Struktur-struktur itu dibina dengan salutan putih telur dan batu-bata disusun berselang seli dengan gentian sutera bagi menahan gegaran kuat aliran gempa di bawah muka buminya. Ternyata bangunan-bangunan itu kukuh sehingga ke hari ini. Itu semua adalah tinggalan sejarah yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, sejarah tidak pernah berbohong. Walaupun ia berlaku semalam atau kelmarin, ia adalah fakta yang tidak pernah menyeleweng, hatta beribu-ribu tahun jua usianya.

Begitu juga sejarah Kesultanan Melayu. Ia juga tidak pernah berbohong. Sejarah yang ditulis oleh sarjana dan pembesar istana zaman silam yang kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi sepatutnya dijadikan renungan, iktibar, pengajaran kepada kita semua. Persoalannya, berapa ramai generasi Melayu sekarang yang mahu mengambil iktibar daripadanya? Berapa ramai kaum lain Malaysia yang tahu mengenai Sejarah Melayu? Apakah benar Melayu mudah lupa, seperti kata-kata yang saban kali diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Seorang sahabat saya yang juga penulis dan pengkritik, Mansor Puteh menghantar kepada saya tulisannya mengenai sejarah asal usul (dan nasib malang) Sultan Singapura Pertama, Sultan Hussain Shah. Sultan itu disingkir oleh Inggeris apabila, tulisnya: ''Orang bukan Melayu bertambah banyak (di Singapura) dan menguasai bidang perniagaan dan politik di pulau itu."
Saya terpanggil untuk memetik ringkasan tulisan Mansor itu di dalam ruangan ini untuk renungan kita semua. (Rencana penuh Mansor itu akan disiarkan tidak lama lagi). Begini tulisan beliau.

Inilah nasib malang Sultan Singapura yang pertama.

Ia adalah sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan, sebab ia adalah sebuah peristiwa penting untuk bangsa Melayu di Nusantara, bukan sahaja tentang bagaimana seorang sultan Melayu boleh disingkir apabila jumlah bukan Melayu bertambah dan kuasa ekonomi mereka meningkat.
Tetapi ia boleh dijadikan iktibar untuk orang Melayu di Malaysia dan di seluruh Nusantara Melayu supaya peristiwa yang sama tidak berulang lagi khususnya di masa sekarang.

Sultan Hussain Shah, atau dikenali sebelum ini sebagai Raja Hussain Muazzam Shah ibn Sultan Mahmud Riayat Shah III (1761-1812) dari Riau atau Tengku Long (Tengku Sulong) Raja Hussain Shah, atau Raja Long yang ditabalkan sebagai Sultan di Padang di Singapura pada 31 Januari 1819.

Jenazah baginda sekarang disemadi di sebuah makam sederhana di penjuru tanah perkuburan dalam kawasan Masjid Tengkera di Melaka, terbiar dan langsung tidak dikenali sesiapa. Cuma sebuah papan tanda sahaja yang menulis tentang riwayat hidupnya. Sedangkan dia adalah watak penting dalam sejarah awal Singapura. Malah Istana Kampung Gelam di Singapura yang sekian lama didiami kerabatnya, kini sudah diambil alih oleh pihak berkuasa di Singapura dan dalam tahun 2002, ia telah diubah suai untuk dijadikan Pusat Warisan Melayu atau Malay Heritage Center.

Kisah riwayat hidup sultan Hussain Shah amat menyayatkan hati. Ia adalah kisah bagaimana Inggeris dan Cina 'mengusir' seorang sultan Melayu dengan begitu mudah. Caranya ialah dengan memperbanyakkan jumlah orang Cina yang didatangkan dari selatan China sehingga jumlah penduduk asal Melayu di situ menjadi kecil dan dengan ini kuasa politik mereka hapus begitu sahaja. Inggeris mendatangkan orang Cina dan India ke Singapura semata-mata untuk menambahkan jumlah penduduk asing. Mereka tidak membawa atau menggalakkan orang Melayu dari Riau dan pulau-pulau lain di selatan Singapura atau dari Pulau Jawa dan Sumatera mahupun dari Malaya, sebab tujuan mereka hanya untuk mengecilkan jumlah penduduk Melayu untuk akhirnya menyingkirkan hak dan kuasa Melayu di Singapura.

Kisah seperti ini bunyi seperti sebuah dongeng. Masakan sebuah Kesultanan Melayu boleh dihapuskan dengan begitu mudah?! Tetapi ia benar. Sultan Hussain Shah menangis pada waktu malam apabila baginda sedar yang dia telah disalah guna oleh Inggeris dan orang bukan Melayu di situ yang tidak menyokong atau menyembahnya. Jadi apa yang kita semua boleh pelajari daripada peristiwa perit yang dialami Sultan Hussain Shah ini? Banyak…

Itulah ringkasan catatan Mansor yang saya petik. Kesimpulannya ialah: Apabila orang lain bersatu, kita berpecah, maka kita akan hancur. Namun, hakikatnya orang Melayu Malaysia kini sudah terbahagi kepada empat puak - UMNO, Pas, PKR dan Liberal. Orang Melayu Liberal, satu generasi baru (tanpa semangat, jiwa dan roh Melayu Islam) kini semakin ramai. Mereka tidak mahu bercakap mengenai soal kebangsaan dan keagamaan kerana bagi mereka ia adalah kolot. Akan bertahankah orang Melayu untuk generasi akan datang? Tepuk dada, tanya selera. Jika bersatu kita akan kekal, jika tidak, sejarah tidak pernah berbohong.

Tuesday, November 25, 2008

Revolusikan UMNO

Artikel yang menarik dipetik dari Blog Kuda Kepang

Saturday, November 22, 2008
Ruhanie Ahmad

Pada 29 September 1985, UMNO meminda beberapa fasal dalam perlembagaannya. Tujuan utamanya adalah untuk membanteras amalan negatif yang boleh menghancurkan parti. Ini termasuklah amalan politik wang, penyalahgunaan kuasa dan fitnah-memfitnah. Sepatah kata Allahyarham Tun Ghaffar Baba pada ketika itu, beliau tidak mahu politik wang menguasai UMNO.
Pada 1994, sebagai seorang ahli yang sentiasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dari 1983, saya pun menyusun sebuah buku kecil berjodol Revolusi UMNO. Ini kerana saya dapati pindaan perlembagaan pada 1985 itu langsung tidak dihiraukan oleh segolongan ahli UMNO yang ghairah untuk memenangi sesuatu jawatan parti di semua peringkat.
Saya tegaskan dalam buku berkenaan bahawa reformasi pengurusan UMNO yang dicerminkan menerusi pindaan perlembagaannya pada 1985 terbukti gagal. Antara sebabnya ialah reformasi pengurusan itu tidak digandingi dengan reformasi dan revolusi minda para ahli-ahlinya.
Maka saya pun kemukakan beberapa cadangan untuk merevolusikan minda warga UMNO di semua peringkat. Antara yang strategik adalah seperti berikut:
Kolej Politik
Satu: UMNO hendaklah mewujudkan sebuah kolej politik supaya secara peringkat demi peringkat, seluruh pemimpin UMNO daripada cawangan hinggalah ke Majlis Tertingi diberikan kursus kepimpinan diri. Antara kurikulumnya adalah berkaitan dengan usaha mentakrif asas serta perjuangan parti, memupuk disiplin dan kepimpinan diri, mengenali sejarah perjuangan bangsa, penyemarakan semangat patriotisme, pengukuhan aqidah dan pembinaan intelek.
Saya membuat cadangan sedemikian kerana selama-lamanya UMNO tidak pernah mempunyai satu kurikulum kursus politik yang terancang, menyeluruh dan berkesan. Kalau ada pun kursus sedemikian, ianya dilaksanakan secara adhok dan ala-kadar sahaja. Impaknya, wang berjuta-juta ringgit hangus, tetapi mentaliti, kesedaran dan komitmen perjuangan segolongan besar warga UMNO masih di tahap mediocre.
Dua: Saya cadangkan supaya UMNO mempunyai satu badan talent scouting atau badan yang mencungkil bakat-bakat terbaik dalam semua cabang kehidupan di kalangan warga UMNO. Bakat-bakat yang dikenalpasti wajar dipupuk dan dimantapkan menerusi kursus-kursus keagamaan, kepimpinan, kenegaraan dan partiotisme.
Saya mencadangan perkara ini supaya bakat-bakat berkenaan boleh diketengahkan sebagai calon-calon pemimpin UMNO di abad ke-21. Mereka boleh dibimbing dan diketengahkan sebagai ketua di mana-mana peringkat, mereka boleh diketengahkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara. Pada waktu yang sama, bakat-bakat ini juga boleh diketengahkan dalam kepimpinan sektor korporat dan sektor awam.
Talent Scouting
Menerusi pemupukan bakat ini, secara tidak langsung, bukan semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian boleh secara automatik dipertimbangkan jadi ADUN, MP atau Senator. Sebaliknya, pucuk pimpinan parti boleh mengketengahkan sesiapa sahaja ahli UMNO yang sudah dipupuk bakat kepimpinan dan komitmen perjuangannya untuk dijadikan ADUN, MP atau Senator.
Dengan cara talent scouting ini, kuranglah pihak yang ghairah dan berebut-rebut untuk menjadi pemimpin bahagian sehingga tergamak mengamalkan rasuah politik. Dengan cara ini, UMNO akan mampu menampilkan individu dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman dalam sesuatu bidang khusus ke jawatan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri. Dengan cara ini juga, akan berkuranganlah amalan politik wang di semua peringkat pemilihan.
Tiga: UMNO wajar menyediakan satu blueprint khusus untuk mengisi program perjuangannya di semua peringkat, daripada cawangan hinggalah ke Majlis Tertinggi. Blueprint ini merangkumi semua aspek kehidupan selaras dengan adanya berpuluh-puluh biro UMNO di semua peringkat.
Dengan cara ini, pengisian perjuangan UMNO dapat dilaksanakan secara terancang, menyeluruh dan berkesan. Dengan pengisian perjuangan seperti ini, UMNO benar-benar memasyarakatkan kewujudannya secara terus-menerus dan konsisten. Dengan cara ini, UMNO membantu pelbagai kementerian dalam kerajaan BN memasyarakatkan perjuangannya demi agama, bangsa dan tanahair.
Badan Penyelidikan
Demikianlah antara gagasan saya menerusi buku kecil berkenaan. Saya insaf bahawa gagasan berkenaan mungkin terlalu radikal dan regimented. Bagaimanapun, itulah cetusan minda saya bila saya dapati bahawa amalan rasuah politik kian menjadi-jadi di awal tahun 90-an.
Saya juga membuat gagasan di atas kerana UMNO adalah teras kerajaan dan pemangkin kejayaan Wawasan 2020. Sebab itulah UMNO memerlukan ketahanan parti yang kukuh dan murni. Lantaran itulah ketahanan parti pula perlu dipelihara serta dimurnikan sepanjang masa, lebih-lebih lagi apabila UMNO ketika itu menjadi wadah serta wahana perjuangan kepada lebih dua juta umat Bumiputera.
Sebab itulah reformasi pengurusan UMNO wajar digandingi dengan perubahan, reformasi, revolusi dan renaissance mental ke arah kecemerlangan. Jika tidak, saya bertanya sendirian, siapakah yang akan bertanggungjawab jika UMNO dibobrokkan oleh kesongsangan, kemungkaran serta penyelewengan sesetengah ahli dan pemimpinnya di hari muka?
Saya insaf bahawa saya hanya warga UMNO yang kerdil. Bagaimanapun, berlatarbelakangkan suasana hari ini, wajarlah sekali jika ada mana-mana pihak yang sudi merincikan gagasan dangkal ini.
Pada waktu yang sama, selaras dengan kehendak zaman, UMNO mestilah mempunyai satu badan penyelidikan dan pembangunan (research and development) di bidang siasah dan kenegaraan, lokal, regional dan internasional, yang efektif dan innovatif demi survivalnya mutakhir ini dan di hari-hari mendatang.

Monday, November 24, 2008

Berita Aktiviti Semasa Pemuda UMNO Putrajaya

Semua ahli Pemuda UMNO Putrajaya dipohon menghantar sebarang maklumat, berita dan gambar aktiviti semasa pemuda UMNO cawangan masing-masing kepada saya untuk dipaparkan didalam blog ini. Sebagai pemilik blog, suka saya mengizinkan supaya blog ini digunakan sebagai wadah untuk memaparkan informasi terkini aktiviti Pemuda Putrajaya. Sila sms atau emailkan sebarang info tersebut ke noh2my@yahoo.com.my.

Wednesday, November 19, 2008

Lot Banglo D'Pinggiran Cyber, Cyberjaya

  • Untuk dijual Lot Banglo di D'Pinggiran Cyber (Bukit Damar), Cyberjaya
  • Rezab Melayu
  • Individu Title/Hakmilik Individu tersedia
  • Jalan merentasi Taman Sains Selangor 2/Bandar Pinggiran Cyber ke Tol Putrajaya/Cyberjaya/Taman Putra Perdana sedang dibina
  • Harga akan terus meningkat dalam tempoh 5 tahun
  • Luas 5700k/p - 10,430k/p
  • Harga: RM20/- sekaki persegi
  • Iklan : http://www.mudah.com.my/vi/1373052.htm
  • Taman Sains Selangor 2 (TSS2) http://www.ssp2.com.my

Bolasepak Persahabatan...

Untuk makluman Pemuda UMNO Putrajaya dan Jab. Landskap & Taman, Perbadanan Putrajaya akan mengadakan Perlawanan Persahabatan Bola Sepak di Taman Pancarona, Presint 18 pada ketentuan seperti berikut;

Tarikh : 21 November 2008 (Jumaat)
Jam : 8:30 mlm – 11:00 mlm
Tempat : Taman Pancarona, Presint 18, Putrajaya
Semua rakan-rakan yang berkelapangan adalah dijemput hadir.

Math Problem?


Sunday, November 9, 2008

Tahniah Barisan Jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya Sesi 2008/2011

UMNO Bahagian Putrajaya selesai mengadakan Mesyuarat Perwakilannya pada jam 4.30 petang tadi dan keputusan undian jawatan yang dipertandingkan telah diketahui tepat pada jam 6.15 petang. Dalam persidangan sebentar tadi juga para perwakilan telah sebulat suara memilih Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Razak sebagai Presiden UMNO. Terdapat 2 pencalonan bagi Timbalan Presiden yang dimenangi oleh Y.B. Tan Sri Muyiddin bin Mohd Yassin dan sebulat suara mencalonkan 3 orang Naib Presiden iaitu Y.B. Dato' Sri Hishamuddin bin Tun Hussein, Y.B. Dato' Seri Zahid bin Hamidi dan Y.B. Datuk Seri Utama Rais bin Yatim.
Mengambil kesempatan di sini juga, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan dibahu tuan-tuanlah tertanggung beban yang berat untuk membantu Datu Seri Tengku Adnan membawa UMNO di Putrajaya supaya lebih dihormati... Berikut adalah barisan AJK UMNO Bahagian Putrajaya Sesi 2008/2011;
Pengerusi Tetap: En. Baharuddin bin Yusof
Ketua Bahagian : Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor
Tim. Ketua Bahagian : Y.Bhg. Datuk Khairudin bin Samad
Naib Ketua Bahagian: Tn. Haji Nordin bin Hassan
AJK:
01. En. Abd. Razak bin Hussin (Bunga Kekwa)
02. En. Sha'ari bin Hamid (BUnga Orkid)
03. En. Mohd Zailani bin Shafi (BUnga Kenanga)
04. En. Alias bin Rejab (Bunga Kaktus)
05. En. Omar bin Hamid (Bunga Kantan)
06. En. Mohd Iqbal bin Abdul Samad (Bunga Kasturi)
07. Y.Bhg. Dato' Muhammad Khairun bin Aseh (Bunga Matahari)
08. En. Hasnol bin Harun (Bunga Teratai)
09. En. Zainal bin Pandak (Bunga Kiambang)
10. En. Azman bin Ismail (Bunga Bakawali)
11. En. Jamaluddin bin Abdul Rani (Bunga Dedap)
12. En. Mohamed Faid bin Musa (Bunga Jenjarum)
13. En. Azman bin Ahmad (Bunga Kaktus)
14. En. Mohamad Yusof bin Endut (Bunga Kiambang)
15. En. Abd. Mutalib bin Abd. Rahman (Bunga Dedap)
16. En. Baharuddin bin Zakaria (Bunga Dahlia)
17. En. Abu Hassan bin Mikon (Bunga Semarak)
18. En. Zaidi bin Che Man (Bunga Pakma)
19. En. Nor Azli bin Hashim (Bunga Daisy)
20. En. Jaslee bin Ahmad (Bunga Daisy)
Perwakilan ke PERGONG (G6)
1. En. Mohd Rahimi bin Rejab
2. En. Nor Azli bin Hashim
3. En. Baharuddin bin Zakaria
4. En. Hasnol bin Harun
5. Cik Sry Noraerni binti Khairudin
6. En. Omar bin Hamid

Friday, November 7, 2008

Kempen AJK Bahagian Putrajaya

Minggu ini kita melihat calon yang bertanding AJK UMNO Bahagian Putrajaya dan G6 giat berkempen bagi mendapat undi dari perwakilan. Terdapat kalangan KC yang mahu melihat barisan AJK Bahagian adalah terdiri dari kalangan KC sahaja dan tidak kurang juga yang mahukan wakil pemuda duduk membarisi AJK Bahagian Putrajaya. Walau bagaimanapun, dalam kita menghadapi kepudaran keyakinan masyarakat Melayu terhadap UMNO dan sikap generasi Melayu yang dilihat lebih menyenangi retorik pembangkang, maka kita UMNO Putrajaya sangat mendambakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian yang lebih segar dan agresif bagi membantu Y.B. Datuk Tengku Adnan mengemudi UMNO di Putrajaya. Sudah pastinya tanggung jawab yang diharapkan nanti adalah amat berat dan perwakilan hanya akan mengundi calon-calon yang diyakini berkemampuan dan bukan mengikut kem-kem tertentu... Selamat Bersidang !!!

Wednesday, November 5, 2008

Saingan Tiga Penjuru Rebut Ketua Pemuda Sengit

Oleh Saufi Hamzah



Perwakilan harus pastikan pilihan tepat jamin bahtera pergerakan dikemudi dengan betul
SAINGAN untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam pemilihan Mac depan, mungkin antara yang paling sengit dalam sejarah sayap parti itu yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara tiga tokoh muda. Berdasarkan pencalonan setakat ini, Datuk Mukhriz Mahathir mendahului jauh di depan tetapi berlaku perubahan apabila mesyuarat Pemuda Umno bahagian memasuki minggu ketiga, dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memintas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dari segi pencalonan.

Tetapi seperti terbukti dalam sejarah pemilihan Umno selama ini, pencalonan tidak semestinya mencerminkan jumlah undi nanti. Lebih daripada itu, apa saja boleh berlaku dalam tempoh kempen empat bulan sebelum Mac nanti. Perhitungan sebenar nanti ialah apabila ahli Pemuda mula memperincikan satu demi satu sumbangan setiap calon kepada parti dan negara selama ini. Meskipun ada sembilan nama dicalonkan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, saingan sebenar adalah antara Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Begitu pun, bukan soal berapa ramai calon yang mendapat pencalonan tertinggi tetapi lebih daripada itu, perwakilan Pemuda yang hadir pada Mac depan harus memastikan bahawa pilihan mereka tepat bagi menjamin bahtera pergerakan berkenaan dikemudi dengan betul apabila mengharungi ombak cabaran pada masa akan datang. Seperkara yang menarik berlaku ketika Pemuda bahagian mengadakan mesyuarat perwakilan bagi membuat pencalonan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pusat, menampakkan perbezaan berbanding dulu. Kalau dulu, apabila disebut saja nama orang tertentu, semua sokong tetapi sekarang, selain berlaku juga sokongan sebulat suara, ahli akar umbi juga mahu nama lain turut dicalonkan dan kemudian dilakukan undian sama ada dengan kaedah mengangkat tangan atau melalui undi sulit. Sebab itu, kita tengok sesetengah calon menang tipis dengan satu dua undi, untuk diisytiharkan sebagai calon rasmi bahagian tertentu. Sememangnya Pemuda dari dulu lagi tidak kurang meriahnya dengan pemilihan jawatan pada pelbagai peringkat, termasuk ketika zaman Allahyarham Datuk Harun Idris, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanding jawatan itu.

Biarpun pernah perebutan jawatan berlaku pada 1993 tetapi tidak sehingga membawa perpecahan ketika Rahim dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno. Berbalik kepada Khairy, Mukhriz dan Mohamad Khir, sememangnya ketiga-tiga mereka adalah golongan muda yang lantang bersuara dan masing-masing mempunyai gaya kepemimpinan tersendiri. Daripada awal kecenderungan di kalangan ahli Pemuda bahagian memang tertumpu kepada Khairy dan Mukhriz. Memang pada kaca mata sesiapa saja di kalangan pergerakan itu bahawa kedua-duanya sebagai berpotensi untuk mengetuai Pemuda. Soal siapa yang dipilih adalah terserah kepada perwakilan nanti.

Selepas lebih 90 peratus Pemuda bahagian bermesyuarat, nampaknya masing-masing tidak leka daripada suasana semasa dan mahu menyelesaikannya segera bagi menumpukan perhatian terhadap pentadbiran, negara dan rakyat, apatah lagi mereka tidak mahu demokrasi dinodai. Jika kita perhalusi latar belakang Khairy dan Mukhriz terutamanya, dua anak Melayu yang bukan saja dapat melanjutkan pelajaran dalam negara, malah ke luar negara. Khairy pernah belajar di United World College, Singapura, Universiti Oxford dan Universiti College London, manakala Mukhriz di Maktab Rendah Sains Mara, Universiti Sophia, Tokyo dan Universiti Boston, Amerika Syarikat. Pendedahan belajar di luar negara memberi peluang kedua-dua tokoh itu bergaul dengan masyarakat luar dan sedikit sebanyak membuka pemikiran dan kematangan mereka.

Mohamad Khir meskipun lulusan universiti tempatan, pula berpengalaman sebagai Menteri Besar Selangor untuk dua penggal dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memperoleh undi tertinggi pada pemilihan lalu. Bagaimanapun, kekalahan Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu, memberi tamparan hebat kepada beliau. Kita tentu lega melihat Pemuda terus berfungsi sebagai kilang pelapis. Pemuda Umno tidak pernah gagal untuk melahirkan pemimpin yang berpotensi dari dulu sampai sekarang dan sememangnya fungsi asal sayap itu ialah melahirkan pemimpin muda dan kilang mengeluarkan pemimpin.

Mengimbas ketika Datuk Seri Hishammuddin Hussein memangku jawatan Ketua Pemuda pada 1998, usaha melahirkan pelapis pemimpin Pemuda masih berterusan. Gaya kepemimpinan Hishammuddin pula membuka ruang kepada semua pelapis kerana baginya setiap ahli dan pemimpin Pemuda adalah potensi yang mesti diberi ruang adil, diasuh dan digilap menjadi Pemuda Perjuangan. Setiap pemegang jawatan, peneraju biro diberi kebebasan untuk bersuara, mengatur program dan aktiviti. Baginya, setiap Pemuda boleh bersuara dan bertindak jika mereka yakin mereka benar dan mempunyai asas, tetapi mereka mesti bertanggungjawab di atas setiap kenyataan atau tindakan mereka. Sekiranya kita menoleh pada 2004, Hishammuddin tidak berganjak daripada jawatan berkenaan biarpun rakan-rakannya sudah meniti cabaran lebih tinggi dengan menjadi pemimpin pada pelbagai peringkat termasuk di bahagian.

Apapun sebenarnya, pemimpin Pemuda mesti menghadapi semua permasalahan yang dialami bersama-sama Umno dan sayap lain serta komponen Barisan Nasional (BN) dan melakukan perubahan yang cukup meyakinkan bukan saja ahli Umno, malah orang di luar Umno serta rakyat kerana mereka sentiasa memerhati apa yang berlaku dalam parti itu. Dinamisme dalam Umno saja tidak mencukupi kerana rakyat juga mahu ahli Umno supaya tahu memilih pemimpin. Ahli Umno perlu bijak memilih pemimpin yang dimahukan kebanyakan orang, bukan ahli parti saja yang mahu. Di sini letaknya kematangan perwakilan, kalau tidak boleh menilai keinginan orang di luar Umno, nanti orang kata, Umno tidak 'reti memilih'. Selain perubahan, pemimpin Pemuda hendaklah berupaya menjangkau apa akan berlaku berikutan senario ekonomi dunia selepas krisis kredit di Amerika Syarikat dan Eropah, dan sama-sama mencari jalan mengekangnya daripada menggugat ekonomi negara. Sejauh mana keupayaan pemimpin Pemuda dapat bergaul, mendengar, memenuhi kehendak pelbagai peringkat pemimpin dan rakyat, akan diuji. Begitu juga dalam rangkaian mereka dengan pemimpin di peringkat nasional dan negara. Jika ingin menjadi pemimpin, seseorang itu mesti menunjukkan keupayaan, taat setia bukannya sekadar kepada negara tetapi kepada pemimpin. Ketika Umno dilanda kemelut pada Pilihan Raya Umum 1999, Pemuda di bawah bimbingan Hishammuddin diberi tanggungjawab untuk bangkit secepat mungkin dan beliau berjaya memulihkan imej Umno. Bermula dengan pengumpulan maklum balas pelbagai peringkat dan mesyuarat Exco Pemuda Umno akhirnya memutuskan gerak kerja berorientasikan pilihan raya menerusi pelbagai program termasuk Pemuda Prihatin, Pembelaan Masyarakat, Kursus Imam Muda, Pemuda Masuk Kampung dan Tabung Ehsan Pelarian Afghanistan (Ehsan Afghan).

Tambahan pula apabila Hishammuddin menubuhkan Biro Putera Umno pada 2004, yang menjadi tarikan utama remaja berusia 18-25 tahun. Tidak kira ahli atau bukan ahli, anak-anak muda bergerak untuk menyertai pelbagai aktiviti di bawah biro ini. Hampir semua resolusi yang dilafazkan di dalam ucapan dasarnya setiap tahun diterapkan untuk direalisasikan oleh kerajaan. Suara Pemuda akar umbi mengenai agama, sosial, kebajikan, politik dan pendidikan terus menjadi keutamaan. Siapakah di antara tiga calon Ketua Pemuda yang berupaya meneruskan kecemerlangan Hishammuddin? Terpulang kepada perwakilan Pemuda untuk membuat penilaian Mac nanti.

Tuesday, November 4, 2008

Calon AJK Bahagian Dari Pemuda

Khabarnya ramai calon dari pemuda yang layak dan berhasrat untuk menjadi AJK Bahagian Putrajaya. Aku tak berapa pasti kawan-kawan yang layak tersebut tetapi yang pasti beberapa nama aku tahu. Persoalannya, bagaimanakah undi G10 daripada pemuda hendak diberikan dan juga dari kalangan pemuda yang menjadi perwakilan melalui cawangan. Dimaklumkan hampir 1/3 perwakilan iaitu 37 orang daripada 124 orang keseluruhan perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya pada 09 November 2008 (ahad) nanti adalah dari kalangan pemuda dan ianya adalah merupakan satu kumpulan undi yang kuat dan boleh menentukan kemenangan calon-calon tersebut. Mungkin ada hala tuju dan arahan selanjutnya selepas ini...

Monday, November 3, 2008

Presiden UMNO Milik Datuk Seri Najib


Seperti yang dijangkakan, semalam Datuk Seri Najib memperolehi 141 pencalonan sebagai Presiden UMNO dan mengesahkan beliau menang tanpa bertanding. Sehubungan itu, kita semua memberi pengharapan yang tinggi semoga Datuk Seri Najib dapat memimpin dan memacu Negara Malaysia dengan lebih berkesan.