
Tetapi seperti terbukti dalam sejarah pemilihan Umno selama ini, pencalonan tidak semestinya mencerminkan jumlah undi nanti. Lebih daripada itu, apa saja boleh berlaku dalam tempoh kempen empat bulan sebelum Mac nanti. Perhitungan sebenar nanti ialah apabila ahli Pemuda mula memperincikan satu demi satu sumbangan setiap calon kepada parti dan negara selama ini. Meskipun ada sembilan nama dicalonkan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, saingan sebenar adalah antara Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Reezal Merican Naina Merican.
Begitu pun, bukan soal berapa ramai calon yang mendapat pencalonan tertinggi tetapi lebih daripada itu, perwakilan Pemuda yang hadir pada Mac depan harus memastikan bahawa pilihan mereka tepat bagi menjamin bahtera pergerakan berkenaan dikemudi dengan betul apabila mengharungi ombak cabaran pada masa akan datang. Seperkara yang menarik berlaku ketika Pemuda bahagian mengadakan mesyuarat perwakilan bagi membuat pencalonan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pusat, menampakkan perbezaan berbanding dulu. Kalau dulu, apabila disebut saja nama orang tertentu, semua sokong tetapi sekarang, selain berlaku juga sokongan sebulat suara, ahli akar umbi juga mahu nama lain turut dicalonkan dan kemudian dilakukan undian sama ada dengan kaedah mengangkat tangan atau melalui undi sulit. Sebab itu, kita tengok sesetengah calon menang tipis dengan satu dua undi, untuk diisytiharkan sebagai calon rasmi bahagian tertentu. Sememangnya Pemuda dari dulu lagi tidak kurang meriahnya dengan pemilihan jawatan pada pelbagai peringkat, termasuk ketika zaman Allahyarham Datuk Harun Idris, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanding jawatan itu.
Biarpun pernah perebutan jawatan berlaku pada 1993 tetapi tidak sehingga membawa perpecahan ketika Rahim dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno. Berbalik kepada Khairy, Mukhriz dan Mohamad Khir, sememangnya ketiga-tiga mereka adalah golongan muda yang lantang bersuara dan masing-masing mempunyai gaya kepemimpinan tersendiri. Daripada awal kecenderungan di kalangan ahli Pemuda bahagian memang tertumpu kepada Khairy dan Mukhriz. Memang pada kaca mata sesiapa saja di kalangan pergerakan itu bahawa kedua-duanya sebagai berpotensi untuk mengetuai Pemuda. Soal siapa yang dipilih adalah terserah kepada perwakilan nanti.
Selepas lebih 90 peratus Pemuda bahagian bermesyuarat, nampaknya masing-masing tidak leka daripada suasana semasa dan mahu menyelesaikannya segera bagi menumpukan perhatian terhadap pentadbiran, negara dan rakyat, apatah lagi mereka tidak mahu demokrasi dinodai. Jika kita perhalusi latar belakang Khairy dan Mukhriz terutamanya, dua anak Melayu yang bukan saja dapat melanjutkan pelajaran dalam negara, malah ke luar negara. Khairy pernah belajar di United World College, Singapura, Universiti Oxford dan Universiti College London, manakala Mukhriz di Maktab Rendah Sains Mara, Universiti Sophia, Tokyo dan Universiti Boston, Amerika Syarikat. Pendedahan belajar di luar negara memberi peluang kedua-dua tokoh itu bergaul dengan masyarakat luar dan sedikit sebanyak membuka pemikiran dan kematangan mereka.
Mohamad Khir meskipun lulusan universiti tempatan, pula berpengalaman sebagai Menteri Besar Selangor untuk dua penggal dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memperoleh undi tertinggi pada pemilihan lalu. Bagaimanapun, kekalahan Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu, memberi tamparan hebat kepada beliau. Kita tentu lega melihat Pemuda terus berfungsi sebagai kilang pelapis. Pemuda Umno tidak pernah gagal untuk melahirkan pemimpin yang berpotensi dari dulu sampai sekarang dan sememangnya fungsi asal sayap itu ialah melahirkan pemimpin muda dan kilang mengeluarkan pemimpin.
Sejauh mana keupayaan pemimpin Pemuda dapat bergaul, mendengar, memenuhi kehendak pelbagai peringkat pemimpin dan rakyat, akan diuji. Begitu juga dalam rangkaian mereka dengan pemimpin di peringkat nasional dan negara. Jika ingin menjadi pemimpin, seseorang itu mesti menunjukkan keupayaan, taat setia bukannya sekadar kepada negara tetapi kepada pemimpin. Ketika Umno dilanda kemelut pada Pilihan Raya Umum 1999, Pemuda di bawah bimbingan Hishammuddin diberi tanggungjawab untuk bangkit secepat mungkin dan beliau berjaya memulihkan imej Umno. Bermula dengan pengumpulan maklum balas pelbagai peringkat dan mesyuarat Exco Pemuda Umno akhirnya memutuskan gerak kerja berorientasikan pilihan raya menerusi pelbagai program termasuk Pemuda Prihatin, Pembelaan Masyarakat, Kursus Imam Muda, Pemuda Masuk Kampung dan Tabung Ehsan Pelarian Afghanistan (Ehsan Afghan).