Saya tertarik apabila membaca artikel dalam Berita Harian Online 27 Nov. 2008 yang bertajuk Perak tubuh Sekretariat Blogger sebar dasar kerajaan negeri. Berdasarkan laporan berkenaan dimaklumkan bahawa seramai 26 orang penulis blog (blogger) dari Persatuan Blog Perak telah berjanji dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menulis laporan mengenai apa jua aktiviti anjuran kerajaan negeri Perak melalui blog mereka.
Setelah PRU-12 berlalu saya melihat UMNO masih lagi belum melakukan sebarang gerak kerja yang jelas dan agresif untuk menggunakan blog dalam konteks 'cyberwar' terhadap parti pembangkang. Sedangkan kita amat sedar bahawa sejak pemecatan Anwar Ibrahim pada 02 Sept. 1998, para penyokong beliau yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai 'reformis' telah menggerakkan jentera dengan membina pelbagai laman web seperti 'mahazalim', 'mahafiraun' dll. Seterusnya parti pembangkang mengambil kesempatan dengan menggunakan berita-berita fitnah dan bohong yang dicetak dari website-website berkenaan termasuk gambar-gambar untuk diedarkan kepada para pengundi luar bandar pada PRU-11 tahun 1999. Setelah tercetusnya fenomena 'blog' sekitar tahun 2004, kita melihat dalam PRU yang lepas beribu bloggers dari kalangan penyokong pembangkang telah membuka blog masing-masing. PAS misalnya telah membina blog bagi setiap Perhubungan PAS Negeri dan Kawasan (Bahagian).
Persetujuan Persatuan Blog Perak tersebut sebenarnya merupakan satu ancaman dan bahaya yang amat besar kepada UMNO khususnya di Perak. Walaupun kita mempunyai akses untuk menyiarkan berita dan propaganda melalui media massa, namun kita mesti akur bahawa pengundi saluran 3 & 4 adalah generasi yang dahagakan maklumat dengan melayari dunia 'blogsphere'. Sehubungan itu, saya amat berharap Ibupejabat UMNO Malaysia mengaktifkan semula kumpulan 'cyber-war' di bawah Jabatan Teknologi Maklumat. Seperkara lagi, saya menyarankan pemimpin disemua peringkat bahagian dan cawangan seperti Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pemuda Cawangan, Ketua Puteri Cawangan dan lain-lain membina blog masing-masing bagi tujuan menepis maklumat-maklumat dari penyokong PR sekarang ini. Amat menyedihkan kerana betapa ramainya wakil rakyat BN terutamanya UMNO yang tidak mempunyai blog/portal/website sendiri. Saya pernah terbaca satu maklumat di dalam blog seorang penyokong PAS Johor, dimana beliau mengambil inisiatif menganjurkan satu kursus/bengkel bagaimana membina laman blog. Di peringkat Pemuda UMNO Putrajaya, saya menyarankan supaya Datuk Ahmad Zaki mengarahkan semua 25 pegawai dan AJK Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya mempunyai blog sendiri. Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya selayaknya mempunyai sebuah 'portal' yang interaktif bagi menyalurkan segala info kepada ahli pemuda Putrajaya. Kos untuk membina sebuah portal interaktif adalah lebih murah berbanding harga sebuah komputer riba yang paling canggih.
Seharusnya orang UMNO, ahli UMNO dan penyokong -penyokong UMNO yang sepatutnya mahir dan terkehadapan dalam penggunaan internet ini kerana pemimpin yang menggalakkan dan mempertahankan supaya rakyat Malaysia didedahkan kepada dunia internet tanpa sempadan sekitar tahun 1994 ialah Tun Dr. Mahathir, pemimpin ulung UMNO. Pada waktu tersebut sekiranya kita masih ingat pemimpin pembangkang terutamanya yang membantah dan tidak bersetuju dengan dasar langit terbuka ini. Tetapi sekarang, merekalah yang bijak mengambil kesempatan dan orang UMNO masih lagi ketinggalan seperti bidalan "bagai katak di bawah tempurung" ...