Renuangan untuk kita...
dipetik dari Utusan Malaysia Online
SEJARAH amat penting. Dalam lawatan saya ke Samarkand, kota berusia 2,750 tahun, yang menempatkan bandar raya kegemilangan Islam, tergambar kepada saya kekaguman yang teramat sangat. Di situlah cendekiawan Islam berkumpul, mencipta formula matematik algebra, melakar peta cakerawala alam semesta secara kiraan saintifik, membina balai cerap, mengumpul hadis-hadis sahih Rasulullah SAW untuk generasi sekarang, serta mencipta bangunan-bangunan ala Menara Berkembar Petronas - pada kurun ke-13!
Struktur-struktur itu dibina dengan salutan putih telur dan batu-bata disusun berselang seli dengan gentian sutera bagi menahan gegaran kuat aliran gempa di bawah muka buminya. Ternyata bangunan-bangunan itu kukuh sehingga ke hari ini. Itu semua adalah tinggalan sejarah yang boleh dilihat dengan mata kasar.
Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, sejarah tidak pernah berbohong. Walaupun ia berlaku semalam atau kelmarin, ia adalah fakta yang tidak pernah menyeleweng, hatta beribu-ribu tahun jua usianya.
Begitu juga sejarah Kesultanan Melayu. Ia juga tidak pernah berbohong. Sejarah yang ditulis oleh sarjana dan pembesar istana zaman silam yang kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi sepatutnya dijadikan renungan, iktibar, pengajaran kepada kita semua. Persoalannya, berapa ramai generasi Melayu sekarang yang mahu mengambil iktibar daripadanya? Berapa ramai kaum lain Malaysia yang tahu mengenai Sejarah Melayu? Apakah benar Melayu mudah lupa, seperti kata-kata yang saban kali diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Seorang sahabat saya yang juga penulis dan pengkritik, Mansor Puteh menghantar kepada saya tulisannya mengenai sejarah asal usul (dan nasib malang) Sultan Singapura Pertama, Sultan Hussain Shah. Sultan itu disingkir oleh Inggeris apabila, tulisnya: ''Orang bukan Melayu bertambah banyak (di Singapura) dan menguasai bidang perniagaan dan politik di pulau itu."
Saya terpanggil untuk memetik ringkasan tulisan Mansor itu di dalam ruangan ini untuk renungan kita semua. (Rencana penuh Mansor itu akan disiarkan tidak lama lagi). Begini tulisan beliau.
Inilah nasib malang Sultan Singapura yang pertama.
Ia adalah sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan, sebab ia adalah sebuah peristiwa penting untuk bangsa Melayu di Nusantara, bukan sahaja tentang bagaimana seorang sultan Melayu boleh disingkir apabila jumlah bukan Melayu bertambah dan kuasa ekonomi mereka meningkat.
Tetapi ia boleh dijadikan iktibar untuk orang Melayu di Malaysia dan di seluruh Nusantara Melayu supaya peristiwa yang sama tidak berulang lagi khususnya di masa sekarang.
Sultan Hussain Shah, atau dikenali sebelum ini sebagai Raja Hussain Muazzam Shah ibn Sultan Mahmud Riayat Shah III (1761-1812) dari Riau atau Tengku Long (Tengku Sulong) Raja Hussain Shah, atau Raja Long yang ditabalkan sebagai Sultan di Padang di Singapura pada 31 Januari 1819.
Jenazah baginda sekarang disemadi di sebuah makam sederhana di penjuru tanah perkuburan dalam kawasan Masjid Tengkera di Melaka, terbiar dan langsung tidak dikenali sesiapa. Cuma sebuah papan tanda sahaja yang menulis tentang riwayat hidupnya. Sedangkan dia adalah watak penting dalam sejarah awal Singapura. Malah Istana Kampung Gelam di Singapura yang sekian lama didiami kerabatnya, kini sudah diambil alih oleh pihak berkuasa di Singapura dan dalam tahun 2002, ia telah diubah suai untuk dijadikan Pusat Warisan Melayu atau Malay Heritage Center.
Kisah riwayat hidup sultan Hussain Shah amat menyayatkan hati. Ia adalah kisah bagaimana Inggeris dan Cina 'mengusir' seorang sultan Melayu dengan begitu mudah. Caranya ialah dengan memperbanyakkan jumlah orang Cina yang didatangkan dari selatan China sehingga jumlah penduduk asal Melayu di situ menjadi kecil dan dengan ini kuasa politik mereka hapus begitu sahaja. Inggeris mendatangkan orang Cina dan India ke Singapura semata-mata untuk menambahkan jumlah penduduk asing. Mereka tidak membawa atau menggalakkan orang Melayu dari Riau dan pulau-pulau lain di selatan Singapura atau dari Pulau Jawa dan Sumatera mahupun dari Malaya, sebab tujuan mereka hanya untuk mengecilkan jumlah penduduk Melayu untuk akhirnya menyingkirkan hak dan kuasa Melayu di Singapura.
Kisah seperti ini bunyi seperti sebuah dongeng. Masakan sebuah Kesultanan Melayu boleh dihapuskan dengan begitu mudah?! Tetapi ia benar. Sultan Hussain Shah menangis pada waktu malam apabila baginda sedar yang dia telah disalah guna oleh Inggeris dan orang bukan Melayu di situ yang tidak menyokong atau menyembahnya. Jadi apa yang kita semua boleh pelajari daripada peristiwa perit yang dialami Sultan Hussain Shah ini? Banyak…
Itulah ringkasan catatan Mansor yang saya petik. Kesimpulannya ialah: Apabila orang lain bersatu, kita berpecah, maka kita akan hancur. Namun, hakikatnya orang Melayu Malaysia kini sudah terbahagi kepada empat puak - UMNO, Pas, PKR dan Liberal. Orang Melayu Liberal, satu generasi baru (tanpa semangat, jiwa dan roh Melayu Islam) kini semakin ramai. Mereka tidak mahu bercakap mengenai soal kebangsaan dan keagamaan kerana bagi mereka ia adalah kolot. Akan bertahankah orang Melayu untuk generasi akan datang? Tepuk dada, tanya selera. Jika bersatu kita akan kekal, jika tidak, sejarah tidak pernah berbohong.