Saya tertarik untuk mengulas tindakan Ustaz Nazir, YDP PAS Putrajaya menyiarkan gambar-gambar diakhbar setelah menghantar memorandum pembinaan SRA Putrajaya ke Pejabat PM pada 23 Dis. 2008 yang lepas. Tindakan beliau dan PAS dianggap sebagai mencari publisiti murahan dan retorik semata kerana UMNO telah memperjuangkan pembangunan SRA Putrajaya sejak awal lagi iaitu pada PRU 11 tahun 2004 yang lepas. Ketika itu, calon BN adalah YB. Datuk Seri Tengku Adnan yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. UMNO telah mengemukakan memorandum dan memperjuangkan pembangunan SRA Putrajaya tetapi tidaklah disiarkan di dalam surat khabar dan media bagi mencari publisiti seperti Ustaz Nazir.
Di peringkat Pemuda UMNO Putrajaya, saya sendiri telah membawa isu ini ke Persidangan Pemuda UMNO Putrajaya Tahun 2006 dan pada Persidangan Pemuda UMNO Tahun 2007 yang dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamudin isu dan perkara ini turut dibangkitkan sekali lagi oleh Datuk Ahmad Zaki Zahid, Ketua Pemuda Bahagian Putrajaya di dalam ucapan dasarnya. Untuk makluman, kedua-dua persidangan tersebut telah diadakan di Dewan Persidangan Perbadanan Putrajaya. Setelah menerima memorandum dan desakan masyarakat Putrajaya, YB. Ahli Parlimen Putrajaya telah membawa perkara ini ke peringkat pembuat dasar yang berkaitan dan hasilnya pembinaan SRA Putrajaya telah ditenderkan oleh JKR pada 31 Disember 2007 sebelum PRU-12. Walau bagaimanapun semua penender yang memasuki tender tersebut telah membida lebih dari siling kos projek yang diperuntukan oleh EPU kepada JAKIM. Sehubungan itu JAKIM memohon supaya JKR menender semula projek SRA tersebut berdasarkan peruntukan yang diluluskan dan tender baru telah dikeluarkan oleh JKR pada 22 Disember 2008 yang lepas. Inilah perjuangan UMNO Putrajaya yang dilaksanakan secara senyap dan teratur, bukan menjaja mengelirukan dan menipu rakyat di luar Putrajaya.
Pada masa ini juga bukan tiada langsung SRA dan kelas KAFA di Putrajaya, sebagaimana dakwaan Ustaz Nazir di laman blog PAS Putrajaya. Untuk makluman, Sekolah Rendah Agama (SRA) di Apartment Putra Harmoni Presint 9 iaitu berhadapan dengan tapak projek yang dicadangkan di atas telah menyediakan kemudahan SRA 5 hari seminggu sejak tahun 2002 yang diasaskan dan diuruskan pembukaannya oleh Tengku Bidin iaitu Ketua UMNO Cawangan Bunga Pakma yang tinggal di Blok D, Pangsapuri tersebut. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya sendiri. Sekolah Rendah Kebangsaan Presint 8, 9, 11 dan 16 telah lama menyediakan kelas KAFA iaitu 3 hari seminggu dan Surau Ar-Rahman dan Al-Raudah Presint 16, Surau Presint 8, 9 dan 11 juga menyediakan pembelajaran KAFA 5 hari seminggu kepada anak-anak tempatan. Dakwaan bahawa anak-anak Putrajaya terpaksa belajar di SRA di luar Putrajaya seperti Sg. Merab, Dengkil dan Puchong adalah tidak berasas kecuali pada peringkat awal iaitu sekitar tahun 1998-2000 di mana Putrajaya mula didiami. Pada tahun 2006, Pemuda UMNO Putrajaya sendiri telah mengambil inisiatif memberi sumbangan lebih 80 set buku teks KAFA kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di dalam satu majlis di Dewan Serbaguna sekolah tersebut. Semua kelas KAFA tersebut menggunakan silibus yang sama digunakan oleh JAIS dan JAWI serta semua pelajar turut menjalani Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA). Walaupun kita melihat pembelajaran yang disediakan disurau-surau tersebut tidak selesa tetapi jika kita kembali kepada asas, belajar di surau yang merupakan pusat ibadah dan tarbiah itulah yang dikehendaki di dalam Islam supaya dari zaman kanak-kanak lagi mereka dekat dengan tempat ibadah. Apatah lagi, YB. Ahli Parlimen Putrajaya telah memperuntukan sejumlah dana hampir RM500 ribu dengan memperlengkapkan semua surau di Putrajaya dengan penghawa dingin yang membolehkan anak-anak tersebut belajar dengan lebih selesa.
Jelas disini bahawa perjuangan memartabatkan pendidikan agama tetap menjadi keutamaan UMNO Putrajaya disemua peringkat di bawah pimpinan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya. Pembangunan Sekolah Menengah Agama Putrajaya juga sedang diusahakan oleh sebuah jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan oleh UMNO Putrajaya dan jawatankuasa tersebut sedang memperhalusi kertas cadangannya termasuk cadangan tapak yang bersesuaian dan bagaimana peruntukan hendak diambil dalam RMK-10 atau RMK-11. Insyaallah, dengan iltizam dan doa semua masyarakat Putrajaya, kita juga akan melihat pembangunan SMA Putrajaya terlaksana...