Dalam pojok rencana, Utusan Malaysia hari ini Zaini Hassan menulis artikel bertajuk "jika bloggers mesra-kerajaan beralih kiblat?". Artikel membangkitkan peranan dan kepentingan bloggers mesra-kerajaan berkenaan sebagai pemangkin keutuhan dan penangkis bagi UMNO dan Barisan Nasional dalam ruang siber. Jangan kita lupa, ramai sarjana telah membuat kajian secara akademik mengenai kemenangan dan kebangkitan pembangkang dalam PRU10 dan PRU12 adalah antara lain puncanya disebabkan serangan bloggers dan media internet yang ditaja atau pro-pembangkang. Pada ketika itu, kepimpinan UMNO dan BN masih leka dan bermimpi dengan kemenangan besar PRU11. Mereka sama ada UMNO atau kepimpinan utama Barisan Nasional seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP bercakaran sesama sendiri. Akhirnya, mereka tersentak dengan kemerosotan undi dan kekalahan di empat buah negeri telah menyebabkan kebangkitan dan kemunculan bloggers mesra-kerajaan seperti cendawan tumbuh.
Persoalannya, adakah mereka menulis secara ikhlas demi kebangkitan semula Barisan Nasional atau ditaja oleh politikus UMNO dan ahli perniagaan pro-kerajaan? Sepanjang pembabitan dalam pengurusan Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM), saya melihat objektif UMB untuk mengembleng kelompok bloggers mesra-kerajaan tersebut masih tidak berjaya sepenuhnya. Pucuk pimpinan sama ada dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bahkan UMNO Pusat itu sendiri masih tidak memberi kerjasama sepenuhnya. UMB seperti mengemis untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan program yang diatur dan bagi melengkapkan peralatan asas yang sangat penting seperti netbook, broadband, kamera digital, perakam suara dan bilik gerakan pusat. Para bloggers dan penggerak UMB banyak mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan 'fi sabilillah' dalam perjuangan ini. Secara umumnya kepimpinan pusat sedar akan kepentingan media baru dalam arus politik pasca PRU12 namun mungkin mereka berasa selesa dengan penguasaan media arus perdana seperti akhbar harian dan televisyen dan hanya retorik politik sahaja mengenai perkara ini. Berbeza dengan gerakan media baru oposisi seperti PAS sebagaimana yang didedahkan mantan bloggers mereka iaitu Kickdefella sanggup mengeluarkan peruntukan melebihi RM 4 juta bagi menyediakan perlatan dan kelengkapan yang sempurna untuk portal dan bloggers mereka. Baru-baru ini Kerajaan Selangor yang didominasi oleh PKR dan DAP secara terang-teranan telah mengumumkan akan membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar untuk media penerangan mereka termasuklah media baru bagi menangkis serangan media pro-kerajaan.
Akhirnya sebagaimana artikel berkenaan, terdapat laman blog mesra-kerajaan yang terpaksa ditutup lantaran tidak mampu ditanggung lagi kos penyelenggaraannya oleh para bloggres. Terdapat juga bloggers yang memang tidak mempunyai pekerjaan tetap atau kedapatan juga bloggers yang mempunyai pekerjaan tetap yang manghadapi halangan dan kekangan dalam perjuangan mereka membantu hagemoni UMNO dan Barisan Nasional. Walaupun kita mengharapkan kemantapan sokongan para bloggers ini, kita perlu terus memberi sokongan moral sekurang-kurangnya kepada mereka ini. Dengan wujudnya UMB di peringkat nasional, sepatutnya kepakaran dan pendekatan ideologi bloggers tersebut diseragamkan dan disatukan yang akhirnya dapat diselaraskan sebagai jentera serangan yang jitu dan mantap. Tugas UMB bukan setakat di dalam bilik siber tetapi melangkau jauh dengan mengatur jentera ke medan peperangan setiap kali berlakunya pilihan raya. UMB memerlukan penyelaras di setiap negeri yang akan mengatur jentera media baru pada pilihan raya kelak. Jentera UMB perlu mempunyai sektor khusus yang akan dibahagikan tugasan yang berbeza yang akhirnya akan dikumpulkan dan diagihkan kepada bloggers mesra Barisan Nasional dan diuploadkan dengan segera. Keberkesanan penyelarasan jentera UMB telah diperlihatkan dalam beberapa PRK sebelum ini seperti di Manek Urai, Bagan Pinang, Galas dan Batu Sapi. Walaupun menghadapi kekangan kos pengurusan UMB tetap cekal terus menyumbang bakti untuk kelangsungan pemerintahan Barisan Nasional. Justeru, pendedahan saudara Zaini Hassan dalam pojok cuit pada hari ini diharap dapat menyedarkan pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional supaya membantu memantapkan lagi jentera UMB. Dengan PRU-13 yang dijangka akan berlangsung pada suku pertama tahun 2012, transformasi politik UMNO itu sendiri perlu digemblingkan dengan pembabitan serius dan mantap Unit Media Baru.