Wednesday, January 5, 2011

Pelantikan Khusrin teratur, tiada unsur politik: KSN


PUTRAJAYA: Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor adalah teratur dan sah dari segi undang-undang dan tidak mengambil input politik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dan Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam, 2010 serta terdapat elemen konsultasi dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud.
"Dalam proses pelantikan ini saya tidak mengambil input politik dalam urusan pelantikan tersebut dan tidak merujuk kepada mana-mana Anggota Pentadbiran Persekutuan termasuk Perdana Menteri.
"Urusan tersebut dilaksanakan secara profesional yang hanya membabitkan Ketua Setiausaha Negara (dan Lembaga Kenaikan Pangkat) dengan Kerajaan Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa proses konsultasi turut dilaksanakan dalam proses pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi negeri-negeri lain yang berkaitan sama ada negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) ataupun yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional termasuk pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, Mohd Sidek menghuraikan dengan panjang lebar proses pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dibuat oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh beliau.

Katanya, lembaga itu adalah suatu kuasa yang sah dari segi Perlembagaan Persekutuan dan merupakan ‘Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan’ menurut Perkara LII (1) Perlembagaan Negeri Selangor.
Menurutnya, berdasarkan Perkara LII Perlembagaan Negeri Selangor, perkataan ‘Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan adalah merujuk kepada Suruhanjaya Pelantikan yang membuat pelantikan terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Dalam hal ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah daripada pegawai-pegawai awam Persekutuan daripada Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan Suruhanjaya Pelantikan mereka adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana Perkhidmatan PTD itu adalah terjatuh mengikut perkara 132(2)(c) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘perkhidmatan awam am persekutuan’. Perkara ini dinyatakan dalam Fasal (1) Perkara 139 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Justeru, katanya, dakwaan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat dari segi undang-undang. - BERNAMA