2010/02/22
PUTRAJAYA: “Saya rasa amat berbaloi. Kerja keras pegawai dan kakitangan Perbadanan Putrajaya (PPj) terbayar apabila melihat orang ramai yang berkunjung ke Karnival Wow! Putrajaya di luar jangkaan kami,” kata Presiden PPj, Tan Sri Samsudin Osman.
BERPUSU-PUSU...orang ramai di Karnival Wow! Putrajaya, semalam.
Samsudin yang ditemui ketika meninjau tapak karnival secara mengejut petang semalam mengakui kepenatan dan keletihan kakitangan serta pegawai PPj sejak lebih dua bulan lalu terubat apabila karnival itu berjaya menghidupkan Putrajaya yang sebelum ini dianggap lesu oleh segelintir pihak.
Lebih menarik, karnival dua hari berakhir semalam turut menarik perhatian masyarakat luar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan termasuk dari Johor, Pulau Pinang dan Perak untuk menyaksikan sendiri kemeriahan karnival julung kali diadakan itu.
Malah, katanya perancangan terperinci dengan mengenengahkan konsep baru iaitu menyediakan program dan aktiviti untuk setiap golongan sama ada kanak-kanak, keluarga, remaja, pelajar, institusi pengajian tinggi dan penduduk setempat di satu tempat ternyata memberikan kelebihan kepada penganjur.
“Sebelum ini, banyak aktiviti yang dianjurkan di sekitar Putrajaya tertumpu kepada golongan tertentu seperti sukan layar, kejohanan perahu naga atau ‘power boat’ yang khas untuk peminat sukan air saja.
“Apabila kami mengadakan karnival seumpama ini, semua lapisan masyarakat dan golongan dapat hadir, sekali gus memberikan kami idea baru untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Samsudin turut meluangkan masa menyaksikan persembahan kebudayaan oleh kumpulan Dendang Anak di pentas mini yang disediakan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan mengadakan program seumpama itu dua atau tiga kali setahun selepas melihat kejayaannya.
Katanya, sasaran menarik kira-kira 50,000 pengunjung juga tercapai, malah konsert yang menampilkan artis terkenal seperti M Nasir, Jamal Abdillah, Misha Omar, Aizat dan Ella yang diadakan malam kelmarin berjaya menghimpunkan antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung.
Sementara itu, seorang pengunjung yang ditemui, Wan Hazlina Wan Hitam, 30, berkata karnival itu berlainan dengan program atau karnival yang dikunjungi sebelum ini kerana pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti dan pameran untuk menambah pengetahuan pelajar.
Dia yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Campuran, Selangor, berkata pengisian karnival juga tidak hanya tertumpu kepada gerai jualan barangan atau produk komersial semata-mata, tetapi dipelbagaikan dengan aktiviti menarik dan berfaedah.
“Saya amat tertarik dengan tapak ‘Masa Untuk Seni’ yang disediakan di karnival ini. Di sini, pelajar boleh mencungkil dan mengasah bakat seni masing-masing,” katanya.