Beberapa pindaan dalam buku Tataetika Ahli UMNO telah dibuat bagi memastikan kesinambungan parti sebagai teras politik bangsa terus diperjuangkan dan sebarang salah laku serta kesalahan-kesalahan yang boleh melunturkan kepercayaan kepada parti ditentang. Tataetika baru tersebut dipersetujukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada 27 Mac lalu memberi penekanan kepada salah laku yang melibatkan ahli-ahli dengan lebih terperinci dan mudah difahami iaitu memberikan tafsiran dan contoh-contoh.
Dalam Tataetika ini, ahli-ahli parti atau calon perlu mematuhi tempoh pemilihan yang bermula enam bulan sebelum tempoh proses pemilihan dan enam bulan selepas pemilihan berlangsung seperti yang ditetapkan oleh MT di semua peringkat. Dalam tempoh tersebut, sebarang ‘balasan’ melibatkan apa-apa pemberian termasuk wang ringgit, saham-saham, konsesi, hadiah, pakej percutian, makanan/jamuan, tambang, gelaran atau anugerah dan perkara-perkara lain adalah salah menerusi Tataetika ini.
Pemilihan UMNO di peringkat cawangan akan bermula pada 17 Julai hingga 24 Ogos ini, manakala bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November dan peringkat Pusat yang melibatkan pertandingan jawatan tertinggi dalam parti akan berlangsung dari 16 hingga 21 Disember. Mana-mana ahli yang gagal mematuhi larangan dan didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO akan dikenakan hukuman seperti yang termaktub di dalam Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO seperti diberi amaran, digantung hak-haknya dalam parti, dilarang bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon pilihan raya bagi tempoh yang ditentukan oleh MT.
Kesalahan melanggar Tataetika ini juga boleh dipecat atau dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan UMNO. Mengikut Perkara 3, semua ahli-ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan patuh kepada Perlembagaan dan Tataetika Ahli dengan mengikut perintah-perintah parti serta patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti termasuk disiplin parti.
Ia akan dianggap sebagai satu kesalahan sekiranya ahli mempertikaikan atau mengkritik keputusan Lembaga Disiplin secara terbuka tanpa mengikut saluran parti yang sedia ada. Pindaan dalam Tataetika Ahli UMNO ini dibuat bagi membanteras segala bentuk penyelewengan, salah laku, penyalahgunaan kuasa dan penggunaan wang serta gejala negatif yang boleh meluntur dan melemahkan UMNO.