Monday, February 20, 2012

MEDIA BARU DAN PEMUDA UMNO PUTRAJAYA


Semakin hampir PRU-13 nampaknya gerak kerja Pemuda UMNO Putrajaya semakin layu. Ini boleh disimpulkan dengan Blog Rasmi Pemuda UMNO Putrajaya http://pemudaumno-putrajaya.blogspot.com/ dan facebook http://www.facebook.com/groups/114585277904/ yang telah lama tidak dikemaskini.  Nampaknya, Pemuda UMNO Putrajaya kembali ke perangai lama dengan tidak peduli dengan kepentingan Media Baru.  Sebagai sebuah organisasi Pemuda UMNO di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, sepatutnya Pemuda UMNO lebih terkehadapan dengan kehebatan ICT dan gerak kerja media barunya.  Berbeza dengan UMNO Bahagian yang mempunyai Portal yang up-todate dan sering dikemaskini. http://www.umnoputrajaya.com.my/wordpress/

Malang sekali bagi Pemuda UMNO Putrajaya berjaya melahirkan empat orang EXCO Pemuda UMNO peringkat Pusat tetapi Pemuda UMNO Bahagian terbiar.  Janggal sekali, Pengerusi Unit Media Baru Pemuda UMNO Malaysia adalah salah seorang EXCO Pemuda UMNO yang tinggal di Putrajaya dan pelbagai program di atur di seluruh negara bagi menyediakan jentera cyberwar yang ampuh, tetapi jentera Media Baru Pemuda UMNO di Putrajaya tertinggal jauh kebelakang.  Selain dari http://tunfaisal.blogspot.com/ . Hanya menyebut beberapa blogger yang aktif dari Putrajaya seperti http://kulaanniring.blogspot.com/ dan http://keris7lok.blogspot.com/ teman melihat, bukan semua blogger ini terdiri dari kalangan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, bahkan sehingga kini teman belum melihat blog Ketua Pemuda Bahagian dan Naib Ketua Pemuda Bahagian.

Teman membangkitkan kerisauan ini kerana mengikut apa yang diwar-warkan, begitu ramai ahli Pemuda UMNO diseluruh negara yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi dan sebenarnya begitu jugalah ramainya belia di Putrajaya yang masih belum menjadi pengundi.  Salah seorang EXCO Pemuda UMNO Malaysia di atas, dimaklumkan telah diamanahkan menyelaras untuk menarik pengundi-pengundi muda ini nampaknya gagal… Teman bukan menulis ini untuk membunuh karektor tetan-teman Pemuda UMNO yang berjawatan, sebab teman tidak mempunyai sebarang kepentingan politik di Putrajaya, cuma sekadar ingin mengingatkan kelekaaan saudara pada hari ini akan mengundang padah kepada UMNO pada PRU ke-14 dan bukan PRU ke-13. 

Sekiranya Pemuda UMNO Putrajaya masih gagal bangkit dari mimpi-mimpi indah, jangan nanti mengigit jari… UMNO Bahagian akan tempang tanpa kekuatan Pemuda. Pemuda pula, tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan Bahagian. 

Tun Azizan Zainul Abidin - Permata Yang Hilang

Siapa Tun Azizan Zainul Abidin? Ramai mungkin masyarakat dan rakan-rakan di luar sana yang tidak mengenali negarawan yang hebat ini. Teman pernah mengenali Tun Azizan mulai 16.9.1997 hingga meninggal dunia pada 14 Julai 2004 pada usia 68 tahun di di rumahnya di Presint 8, Putrajaya (rumah teres 2 tingkat).  Ketika itu teman bertugas sebagai Sattlement Officer (SO) di Pejabat Tanah Putrajaya dan sebenarnya teman juga tidak begitu mengenali latar belakang Tun lantaran amat menghormati jawatan Tun sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya ketika itu.  Ketika itu, Pejabat Tun adalah di Tingkat 3 dan 'workstation' teman di Tingkat 1 berhampiran pintu masuk dan tangga naik ke tingkat atas.  Selalunya teman berselisih dengan Tun dan hanya sapaan ringkas 'assalamualaikum' sahaja.  Namun demikian, teman berkawan rapat dengan pemandu beliau iaitu Pak Ali dan pernah masuk ke Pejabat Tun sebagai Presiden dan CEO Petronas di Tingkat 88 (kalau tak silap), Menara Petronas. Itu lah, pertama kali teman dapat naik terus ke Menara Petronas tanpa kawalan secuarity... Memang teman lansung tidak mengenali 'background' Tun, kecuali Presiden dan CEO Petronas  dan selain itu tak tau apa-apa...


Berkesempatan balik ke tanah air pada penghujung bulan lepas, teman singgah di MPH Book Store di Alamanda dan tertarik dengan buku biografi Tun Azizan dan teman terus membeli buku yang berharga RM60.00 tersebut.  Banyak juga teman borong buku hari tu sehingga hampir 8kg juga dan terpaksalah teman korbankan beberapa barang peribadi lain yang tak boleh dibawa dulu kerana melebihi muatan dan berat bagasi.

Biografi Tun tulisan Azam Aris dengan tajaan Petronas digarap dengan amat menarik sekali.  Secara ringkasnya, beliau merupakan pegawai awam yang sangat berintegriti, jujur, amanah dan tajam fikiran. Pernah bertugas sebagai Setiausaha II, MAGERAN, antara bos Unit James Bond yang pertama di JPM,  Ketua Setiausaha Sulit 3 orang Perdana Menteri iaitu Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir. Pernah menjawat jawatan KSU di MITI dan KDN dan hampir-hampir menjadi KSN menggantikan Tan Sri Salehuddin sekitar tahun 1987. Seterusnya menjadi orang kepercayaan Tun Mahathir untuk mengemudi Petronas, MAS dan mengemudi Perbadanan Putrajaya untuk membangunkan projek anak emas Tun Mahathir iaitu Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Teman kira, semua lapisan pegawai dan kakitangan Petronas dan Perbadanan Putrajaya mesti membaca buku tersebut yang mengisahkan biografi mantan bos no.1 masing-masing.  Tidak lengkaplah, status kepegawaian anda sekiranya anda tidak mengetahui ruang kehidupan allahyarham. Sesekali, pergilah ke Taman Selatan Presint 20, Putrajaya untuk menziarahi pusara allahyarham yang dikebumikan bersebelahan pusara Tun Hendon. Al fatihah!

  

NFC & Perspektif Belia

Tun Mahathir sudah nasihat, pelbagai polemik juga sudah dibicarakan terhadap isu NFC.  Walau apapun hendak dielak, nama menteri berkenaan dan juga UMNO tetap terpalit.  Dengan fakta-fakta mudah, belia tidak melihat isu ini sebagai isu keluarga tetapi sebagai penyelewengan penggunaan wang rakyat.  Bagaimana, syarikat tersebut mendapat projek yang sebegitu besar dan bagaimana rakusnya berjuta-juta wang tersebut digunakan untuk apa yang dianggap sebagai pelaburan adalah tidak dianggap enteng oleh belia.  

Siapa belia ini? Kalau-kalau bukan golongan yang di sebut oleh Tun Daim sebagai perlu diberi perhatian kerana kuasa undi mereka boleh menjahanamkan BN dalam PRU ke-13 akan datang. Bukan mudah untuk spin belia-belia ini, isu NFC adalah tanggungjawab syarikat keluarga oleh Menteri berkaitan, namun percayalah selagi isu ini tidak selesai, maka sukar untuk UMNO/BN menjawab dan menangkis bukan sahaja serangan pembangkang tetapi adalah paling penting untuk menangkis persepsi pengundi muda. Ketika membeli sehelai seluar jeans di sebuah kedai di pekan Sungai Besar, Selangor pada awal tahun ini, si penjual iaitu tawkey bermata sepet telah membangkitkan isu ini dan nampaknya nasib tidak berpihak kepada BN ditangan beliau. 

Saya sendiri tidak bersetuju dengan masalah NFC ini walaupun membaca dengan panjang lebar penerangan yang diberikan...  Mujurlah saya ini ahli UMNO dan orang UMNO maka insyallah undi terhadap BN tidak akan hilang.  Namun, bagaimana dengan pengundi muda yang lain???

Menjadikan Aktiviti di Putrajaya Sampai Kepada Masyarakat

Kita sedia maklum, banyak program dianjurkan di Putrajaya sama ada oleh Perbadanan Putrajaya, Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya, Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan, Kelab-Kelab Sukan , Persatuan-Persatuan Belia , Komuniti Masyarakat dan juga parti-parti Politik. Namun kita masih lagi mendengar banyak aktiviti berkenaan tidak sampai dan maklum kepada masyarakat setempat yang juga golongan sasar. Akhirnya, majoriti pegawai kerajaan dalam peringkat usia belia yang tinggal di kuaters-kuaters kerajaan lebih senang berlepak-lepak menghabiskan masa senggang terutamya di hujung minggu dengan bermain game, chatting, ber facebook, lepak kat Alamanda dan ada yang balik kampung setiap minggu.  Selain dari urusan pejabat, mereka tidak tahu apa yang berlaku dipersekitaran mereka. Tahap sosialisasi pegawai kerajaan yang berumur belia di Putrajaya adalah sangat rendah.  Sebab itulah, walaupun berpelajaran tinggi dan menjawat jawatan kerajaan, mereka inilah juga yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi.

Adakah makluman program dan aktiviti berkenaan tidak sampai kepada golongan sasar?  Adakah makluman tersebut disampaikan dengan melalui saluran yang betul? Adakan banner, fliyers dan bunting sudah mencukupi? Apakah peranan Perbadanan Putrajaya?  Apakah ini masalah sikap belia pasca abad ke-21? Mungkin kajian yang sewajarnya boleh dibuat oleh Perbadanan Putrajaya sebagai PBT yang bertanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat di Putrajaya.  Perbadanan Putrajaya bukan sahaja diwujudkan bagi tujuan membangunkan Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman, tetapi adalah bagi tujuan mengisi taman-taman yang dibina dengan kos berbilion wang rakyat dengan aktiviti-aktivit yang sampai kepada masyarakat Putrajaya khususnya.  Pelbagai birokrasi dengan kos tinggi yang harus dibayar oleh persatuan dan masyarakat untuk menggunakan taman-taman awam haruslah dielakkan.  Walaupun dengan alasan untuk menjaga kemudahan awam yang mahal, namun masyarakat tidak harus dibebankan untuk menikmati dan menggunakan kemudahan di taman-taman awam di Putrajaya.

Adalah dicadangkan, Perbadanan Putrajaya dapat merangka satu dasar dan sistem supaya semua aktiviti di Putrajaya dimuatkan di dalam satu portal khas dan portal tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam paparan laman web Kementerian-Kementerian atau semua agensi Kerajaan di Putrajaya.  Semua apa jua aktiviti hendaklah dimaklumkan kepada Perbadanan Putrajaya sebagai penyelaras Portal berkenaan.  Bahagian Perhubungan Awam, Perbadanan Putrajaya adalah unit yang paling sesuai menyelaras perkara berkenaan.

Ia adalah selaras dengan saranan Kerajaan supaya semua pegawai Kerajaan kekal sihat dan aktif di dalam menjalankan amanah di pejabat dan juga turut dikira dalam prestasi tahunan apabila mengikuti apa juga program dan aktiviti di luar pejabat.