Kita sedia maklum, banyak program dianjurkan di Putrajaya sama ada oleh Perbadanan Putrajaya, Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya, Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan, Kelab-Kelab Sukan , Persatuan-Persatuan Belia , Komuniti Masyarakat dan juga parti-parti Politik. Namun kita masih lagi mendengar banyak aktiviti berkenaan tidak sampai dan maklum kepada masyarakat setempat yang juga golongan sasar. Akhirnya, majoriti pegawai kerajaan dalam peringkat usia belia yang tinggal di kuaters-kuaters kerajaan lebih senang berlepak-lepak menghabiskan masa senggang terutamya di hujung minggu dengan bermain game, chatting, ber facebook, lepak kat Alamanda dan ada yang balik kampung setiap minggu. Selain dari urusan pejabat, mereka tidak tahu apa yang berlaku dipersekitaran mereka. Tahap sosialisasi pegawai kerajaan yang berumur belia di Putrajaya adalah sangat rendah. Sebab itulah, walaupun berpelajaran tinggi dan menjawat jawatan kerajaan, mereka inilah juga yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi.
Adakah makluman program dan aktiviti berkenaan tidak sampai kepada golongan sasar? Adakah makluman tersebut disampaikan dengan melalui saluran yang betul? Adakan banner, fliyers dan bunting sudah mencukupi? Apakah peranan Perbadanan Putrajaya? Apakah ini masalah sikap belia pasca abad ke-21? Mungkin kajian yang sewajarnya boleh dibuat oleh Perbadanan Putrajaya sebagai PBT yang bertanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat di Putrajaya. Perbadanan Putrajaya bukan sahaja diwujudkan bagi tujuan membangunkan Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman, tetapi adalah bagi tujuan mengisi taman-taman yang dibina dengan kos berbilion wang rakyat dengan aktiviti-aktivit yang sampai kepada masyarakat Putrajaya khususnya. Pelbagai birokrasi dengan kos tinggi yang harus dibayar oleh persatuan dan masyarakat untuk menggunakan taman-taman awam haruslah dielakkan. Walaupun dengan alasan untuk menjaga kemudahan awam yang mahal, namun masyarakat tidak harus dibebankan untuk menikmati dan menggunakan kemudahan di taman-taman awam di Putrajaya.
Adalah dicadangkan, Perbadanan Putrajaya dapat merangka satu dasar dan sistem supaya semua aktiviti di Putrajaya dimuatkan di dalam satu portal khas dan portal tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam paparan laman web Kementerian-Kementerian atau semua agensi Kerajaan di Putrajaya. Semua apa jua aktiviti hendaklah dimaklumkan kepada Perbadanan Putrajaya sebagai penyelaras Portal berkenaan. Bahagian Perhubungan Awam, Perbadanan Putrajaya adalah unit yang paling sesuai menyelaras perkara berkenaan.
Ia adalah selaras dengan saranan Kerajaan supaya semua pegawai Kerajaan kekal sihat dan aktif di dalam menjalankan amanah di pejabat dan juga turut dikira dalam prestasi tahunan apabila mengikuti apa juga program dan aktiviti di luar pejabat.