Monday, February 20, 2012

Tun Azizan Zainul Abidin - Permata Yang Hilang

Siapa Tun Azizan Zainul Abidin? Ramai mungkin masyarakat dan rakan-rakan di luar sana yang tidak mengenali negarawan yang hebat ini. Teman pernah mengenali Tun Azizan mulai 16.9.1997 hingga meninggal dunia pada 14 Julai 2004 pada usia 68 tahun di di rumahnya di Presint 8, Putrajaya (rumah teres 2 tingkat).  Ketika itu teman bertugas sebagai Sattlement Officer (SO) di Pejabat Tanah Putrajaya dan sebenarnya teman juga tidak begitu mengenali latar belakang Tun lantaran amat menghormati jawatan Tun sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya ketika itu.  Ketika itu, Pejabat Tun adalah di Tingkat 3 dan 'workstation' teman di Tingkat 1 berhampiran pintu masuk dan tangga naik ke tingkat atas.  Selalunya teman berselisih dengan Tun dan hanya sapaan ringkas 'assalamualaikum' sahaja.  Namun demikian, teman berkawan rapat dengan pemandu beliau iaitu Pak Ali dan pernah masuk ke Pejabat Tun sebagai Presiden dan CEO Petronas di Tingkat 88 (kalau tak silap), Menara Petronas. Itu lah, pertama kali teman dapat naik terus ke Menara Petronas tanpa kawalan secuarity... Memang teman lansung tidak mengenali 'background' Tun, kecuali Presiden dan CEO Petronas  dan selain itu tak tau apa-apa...


Berkesempatan balik ke tanah air pada penghujung bulan lepas, teman singgah di MPH Book Store di Alamanda dan tertarik dengan buku biografi Tun Azizan dan teman terus membeli buku yang berharga RM60.00 tersebut.  Banyak juga teman borong buku hari tu sehingga hampir 8kg juga dan terpaksalah teman korbankan beberapa barang peribadi lain yang tak boleh dibawa dulu kerana melebihi muatan dan berat bagasi.

Biografi Tun tulisan Azam Aris dengan tajaan Petronas digarap dengan amat menarik sekali.  Secara ringkasnya, beliau merupakan pegawai awam yang sangat berintegriti, jujur, amanah dan tajam fikiran. Pernah bertugas sebagai Setiausaha II, MAGERAN, antara bos Unit James Bond yang pertama di JPM,  Ketua Setiausaha Sulit 3 orang Perdana Menteri iaitu Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir. Pernah menjawat jawatan KSU di MITI dan KDN dan hampir-hampir menjadi KSN menggantikan Tan Sri Salehuddin sekitar tahun 1987. Seterusnya menjadi orang kepercayaan Tun Mahathir untuk mengemudi Petronas, MAS dan mengemudi Perbadanan Putrajaya untuk membangunkan projek anak emas Tun Mahathir iaitu Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Teman kira, semua lapisan pegawai dan kakitangan Petronas dan Perbadanan Putrajaya mesti membaca buku tersebut yang mengisahkan biografi mantan bos no.1 masing-masing.  Tidak lengkaplah, status kepegawaian anda sekiranya anda tidak mengetahui ruang kehidupan allahyarham. Sesekali, pergilah ke Taman Selatan Presint 20, Putrajaya untuk menziarahi pusara allahyarham yang dikebumikan bersebelahan pusara Tun Hendon. Al fatihah!