Thursday, February 12, 2009

Berita Pertandingan Futsal

Pertandingan Futsal Tertutup Putrajaya 2009 bagi merebut Piala Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah berjaya dilaksanakan pada hari ahad yang lepas 8 Februari 2009. Kejohanan tersebut telah berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kesukanan tanpa ada berlaku sebarang pergaduhan. Dianggarkan sekitar 1000 orang pemain termasuk penyokong mereka turut bersama di gelanggang Futsal Kelab Komuniti Cyberjaya. Sebanyak 56 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan yang dijalankan secara kumpulan dalam pusingan pertama seterusnya secara kalah mati dalam pusingan kedua.


Pertandingan ini telah bermula seawal 9 pagi dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Dalam ucapan beliau, Datuk Seri Tengku Adnan menyebut bahawa idea untuk menganjurkan program ini adalah amat baik, lebih-lebih lagi bagi merapatkan silatur rahim dalam kalangan golongan muda di dalam kejiranan Putrajaya. Dalam ucapan beliau, beliau turut mengulas kemelut politik di negeri Perak dan krisis-krisis politik yang berlaku di seluruh dunia, termasuk konflik Israel dan Palestin.S audara Iqbal telah menyampaikan ucapan alu-aluan bagi pihak Kelab Futsal Putrajaya dan Kumpulan Yayasan, mewakili saudara Tun Faisal Ismail yang berada di Pensiangan, Sabah. Dalam ucapan beliau, saudara Iqbal menyebut bahawa selepas ini akan ada lebih banyak program dilaksanakan, termasuk futsal bagi golongan wanita, pelajar sekolah dan golongan veteran.


Pengarah projek ini, Saudara Zaid menyatakan bahawa antara faktor kenapa pertandingan kali ini berlangsung dengan lebih lancar dan licin adalah kerana perancangan mengenainya telah dibuat lebih awal, iaitu lebih sebulan setengah sebelum tarikh pertandingan.Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Khairuddin Samad. Pertandingan ini telah dijuarai oleh pasukan 400 'A' dan naib johan adalah pasukan Mineral Water. Tempat ketiga disandang oleh pasukan Kasturi 'A', manakala tempat keempat adalah pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Johan bagi pertandingan ini telah menerima Piala Pusingan Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, medal dan hadiah wang tunai sebanyak RM 1,000. Bagi naib johan, tempat ketiga dan keempat, setiap pasukan menerima medal dan wang tunai sebanyak RM 700 bagi naib johan, RM 500 bagi tempat ketiga dan RM 300 bagi tempat keempat.