Thursday, August 21, 2008

Mesyuarat Cawangan UMNO Ditangguhkan

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Semua mesyuarat cawangan UMNO di seluruh negara telah ditangguhkan sejak 18 Ogos lepas.Setiausaha Kerja UMNO, Brigadier Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi peluang kepada semua ahli UMNO membantu kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.Menurut beliau, selain mesyuarat cawangan, apa juga bentuk majlis anjuran UMNO bahagian juga ditangguhkan buat sementara waktu.''Surat pekeliling kepada semua bahagian UMNO di seluruh negara telah dihantar dan tidak akan ada mesyuarat cawangan hujung minggu ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.Mesyuarat cawangan UMNO yang bermula pada 17 Julai sepatutnya berakhir pada 24 Ogos ini.Ekoran penangguhan itu, Husainay menyeru semua ahli UMNO turun membantu jentera Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh, sepanjang kempen dan menjelang hari mengundi pada 26 Ogos ini. Menurut beliau, mesyuarat cawangan UMNO akan dimulakan semula dari 30 Ogos hingga 14 September ini.Sehubungan itu, katanya, semua bahagian UMNO diminta menyusun semula jadual mesyuarat cawangan mengikut tarikh baru yang telah ditetapkan.''Tidak ada lagi penangguhan mesyuarat cawangan UMNO selepas ini dan semua dijadualkan berakhir pada 14 September ini,'' katanya lagi.Mesyuarat bahagian UMNO pula akan berlangsung 9 Oktober hingga 9 November manakala Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan dari 16 hingga 20 Disember ini.
Berita dipetik dari akhbar Utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_12.htm