Alhamdulillah, hari ini selesailah sudah persidangan 23 buah Cawangan UMNO Bahagian Putrajaya. Suka saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri yang telah dilantik dan diamanahkan bagi memegang jawatan diperingkat cawangan bagi tempoh 2008-2011. Tempoh mendatang adalah suatu masa yang amat getir bagi mengukuhkan parti dan mengembalikan kepercayaan rakyat. Diperingkat Putrajaya, tanggungjawab kalian adalah untuk membersihkan senarai ahli, menambah keahlian baru yang berkualiti dan menambahkan jumlah pengundi. Jangan bila tiba masanya nanti semua menuding jari antara satu sama lain.
Tidak lupa juga, ucapan tahniah diberikan kepada Datuk Seri Tengku Adnan kerana terus mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Putrajaya tanpa bertanding. Begitu juga Dato' Khairuddin yang berkemungkinan menang tanpa sebagai Timbalan Ketua Bahagian. Gandingan kepimpinan Ku Nan dan Dato' K adalah diharapkan terus mantap kerana segala janji dan perubahan yang dijanjikan harus dikotakan bagi memantapkan lagi organisasi UMNO Putrajaya.
Buat rakan-rakan yang telah dilantik sebagai Ketua Pemuda cawangan (seperti dilampiran) saya mengharapkan saudara semua dapat memberi sumbangan yang bernilai dan dilihat memberi komitmen. Janganlah, menjadi Ketua Pemuda cawangan yang pasif dan tak tahu apa-apa seolah-olah saudara sendiri tidak tahu kenapa dilantik menjadi ketua pemuda. Adat Melayu, kalau malu bertanya nanti sesat jalan, kalau tak tahu tanya kawan-kawan 'senior'. Belajarlah dengan sumber yang betul dengan membaca perlembagaan UMNO, Peraturan Pemuda, Peraturan Persidangan dan arahan semasa yang diperakui Majlis Tertinggi. Jangan bertaqlid buta, bercakap degar-degar seolah-olah tahu semuanya tetapi kedengaran bodoh.
Semua kawan-kawan yang telah dicalon disemua peringkat pertandingan dari Ketua Pemuda Bahagian, Naib Ketua Pemuda Bahagian, AJK Pemuda Bahagian dan G2 saya ucapkan selamat berjuang. Bertandinglah dan berkempenlah dengan cara yang sihat kerana dari pertandingan seperti ini akan mematangkan kita sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan. Seperti yang selalu disebut oleh Ku Nan, beliau juga berasal dari kilang pemuda dan tidak mustahil 20 tahun akan datang akan ada saudara yang akan menjadi Ketua Bahagian Putrajaya dan juga Pak Menteri. Janganlah ada gerak kerja politik sekat menyekat, kerana semua perwakilan bebas untuk mengetahui dan mendengar visi, misi dan hala tuju calon yang bertanding. Saya sedih mendengar ada 'kempen manager' yang menggunakan kaedah kempen sekat dan marah-marah seperti ini. Sedarlah, perwakilan kita juga bukannya budak sekolah yang terpaksa diatur oleh pengawas. Perwakilan kita sudah matang dan tahu menilai mana yang kaca dan mana satu yang intan... Selamat berjuang!!!