Tuesday, September 9, 2008

Tujuh Bahagian Di WP Ada Pertandingan

Dipetik dari Utusan Malaysia 9 Sept. 2008 (m/s:4)
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Tujuh daripada 13 bahagian UMNO di Wilayah Persekutuan akan menyaksikan jawatan ketua UMNO bahagian ditandingi selepas sebahagian besar cawangan selesai mengadakan mesyuarat masing-masing.
Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Ridzuan Abdul Hamid berkata, tujuh bahagian tersebut ialah Wangsa Maju, Batu, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Seputeh, Segambut dan Labuan.
Menurut beliau, selain jawatan ketua bahagian, semua jawatan penting lain termasuk ketua Wanita, Pemuda dan Puteri juga akan menyaksikan pertandingan.
''Daripada jumlah itu, hanya tiga bahagian iaitu Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak bakal menjadi tumpuan pada mesyuarat bahagian Oktober ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, di Wangsa Maju, perebutan jawatan ketua bahagian berkenaan adalah antara Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Shafie Abdullah dan pemangku jawatan itu, Datuk Zainal Nazeri.
Beliau berkata, turut menjadi tumpuan ialah jawatan timbalan ketua bahagian berkenaan apabila bekas ketuanya, Datuk Astaman Abdul Aziz yang menamatkan tempoh penggantungan keahliannya pada 23 Jun lalu, akan ditentang oleh Ketua UMNO cawangan Sungai Mulia, Jaafar Ariffin.
"Saingan dua penjuru pula akan berlaku di Bandar Tun Razak," katanya.
Menurut Ridzuan, bekas Ketua UMNO bahagian itu yang dibebas daripada penggantungan Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Amir Salleh akan ditentang oleh Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad.
Katanya, di Bahagian Batu pula pertandingan satu lawan satu berlaku antara penyandang jawatan itu, Datuk Yusof Abdul Majid yang akan ditentang oleh Yahya Mat Ghani.
Manakala di Bahagian Segambut kata Ridzuan, penyandang jawatan berkenaan, Datuk Kamarudin Ambok akan mempertahankan jawatan apabila ditentang oleh bendaharinya, Abdul Hadi Mat Zam.
Saingan tiga penjuru pula berlaku di Lembah Pantai apabila pemangku jawatan itu, Yusri Ahmad akan disaingi dua lagi calon iaitu bekas Ketua Bahagian, Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin dan Ahmad Zahran Ibrahim.
''Di Seputeh pula menyaksikan saingan dua penjuru antara penyandang jawatan itu, Datuk Hisham Abdul Majid berdepan Ketua Cawangan Happy Utara, Mustafa Kamal Mohd. Yusof,'' katanya lagi.
Sementara itu, di Labuan pula, Datuk Yusof Mahal, ahli Parlimen yang memenangi kerusi kawasan itu pada pilihan raya umum lalu dijangka berdepan penyandangnya, Datuk Suhaili Abdul Rahman.