Wednesday, December 31, 2008
Tuesday, December 30, 2008
Serah Memorandum SRA Putrajaya: Publisiti Murahan PAS
Saya tertarik untuk mengulas tindakan Ustaz Nazir, YDP PAS Putrajaya menyiarkan gambar-gambar diakhbar setelah menghantar memorandum pembinaan SRA Putrajaya ke Pejabat PM pada 23 Dis. 2008 yang lepas. Tindakan beliau dan PAS dianggap sebagai mencari publisiti murahan dan retorik semata kerana UMNO telah memperjuangkan pembangunan SRA Putrajaya sejak awal lagi iaitu pada PRU 11 tahun 2004 yang lepas. Ketika itu, calon BN adalah YB. Datuk Seri Tengku Adnan yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. UMNO telah mengemukakan memorandum dan memperjuangkan pembangunan SRA Putrajaya tetapi tidaklah disiarkan di dalam surat khabar dan media bagi mencari publisiti seperti Ustaz Nazir.
Di peringkat Pemuda UMNO Putrajaya, saya sendiri telah membawa isu ini ke Persidangan Pemuda UMNO Putrajaya Tahun 2006 dan pada Persidangan Pemuda UMNO Tahun 2007 yang dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamudin isu dan perkara ini turut dibangkitkan sekali lagi oleh Datuk Ahmad Zaki Zahid, Ketua Pemuda Bahagian Putrajaya di dalam ucapan dasarnya. Untuk makluman, kedua-dua persidangan tersebut telah diadakan di Dewan Persidangan Perbadanan Putrajaya. Setelah menerima memorandum dan desakan masyarakat Putrajaya, YB. Ahli Parlimen Putrajaya telah membawa perkara ini ke peringkat pembuat dasar yang berkaitan dan hasilnya pembinaan SRA Putrajaya telah ditenderkan oleh JKR pada 31 Disember 2007 sebelum PRU-12. Walau bagaimanapun semua penender yang memasuki tender tersebut telah membida lebih dari siling kos projek yang diperuntukan oleh EPU kepada JAKIM. Sehubungan itu JAKIM memohon supaya JKR menender semula projek SRA tersebut berdasarkan peruntukan yang diluluskan dan tender baru telah dikeluarkan oleh JKR pada 22 Disember 2008 yang lepas. Inilah perjuangan UMNO Putrajaya yang dilaksanakan secara senyap dan teratur, bukan menjaja mengelirukan dan menipu rakyat di luar Putrajaya.
Pada masa ini juga bukan tiada langsung SRA dan kelas KAFA di Putrajaya, sebagaimana dakwaan Ustaz Nazir di laman blog PAS Putrajaya. Untuk makluman, Sekolah Rendah Agama (SRA) di Apartment Putra Harmoni Presint 9 iaitu berhadapan dengan tapak projek yang dicadangkan di atas telah menyediakan kemudahan SRA 5 hari seminggu sejak tahun 2002 yang diasaskan dan diuruskan pembukaannya oleh Tengku Bidin iaitu Ketua UMNO Cawangan Bunga Pakma yang tinggal di Blok D, Pangsapuri tersebut. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya sendiri. Sekolah Rendah Kebangsaan Presint 8, 9, 11 dan 16 telah lama menyediakan kelas KAFA iaitu 3 hari seminggu dan Surau Ar-Rahman dan Al-Raudah Presint 16, Surau Presint 8, 9 dan 11 juga menyediakan pembelajaran KAFA 5 hari seminggu kepada anak-anak tempatan. Dakwaan bahawa anak-anak Putrajaya terpaksa belajar di SRA di luar Putrajaya seperti Sg. Merab, Dengkil dan Puchong adalah tidak berasas kecuali pada peringkat awal iaitu sekitar tahun 1998-2000 di mana Putrajaya mula didiami. Pada tahun 2006, Pemuda UMNO Putrajaya sendiri telah mengambil inisiatif memberi sumbangan lebih 80 set buku teks KAFA kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di dalam satu majlis di Dewan Serbaguna sekolah tersebut. Semua kelas KAFA tersebut menggunakan silibus yang sama digunakan oleh JAIS dan JAWI serta semua pelajar turut menjalani Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA). Walaupun kita melihat pembelajaran yang disediakan disurau-surau tersebut tidak selesa tetapi jika kita kembali kepada asas, belajar di surau yang merupakan pusat ibadah dan tarbiah itulah yang dikehendaki di dalam Islam supaya dari zaman kanak-kanak lagi mereka dekat dengan tempat ibadah. Apatah lagi, YB. Ahli Parlimen Putrajaya telah memperuntukan sejumlah dana hampir RM500 ribu dengan memperlengkapkan semua surau di Putrajaya dengan penghawa dingin yang membolehkan anak-anak tersebut belajar dengan lebih selesa.
Jelas disini bahawa perjuangan memartabatkan pendidikan agama tetap menjadi keutamaan UMNO Putrajaya disemua peringkat di bawah pimpinan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya. Pembangunan Sekolah Menengah Agama Putrajaya juga sedang diusahakan oleh sebuah jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan oleh UMNO Putrajaya dan jawatankuasa tersebut sedang memperhalusi kertas cadangannya termasuk cadangan tapak yang bersesuaian dan bagaimana peruntukan hendak diambil dalam RMK-10 atau RMK-11. Insyaallah, dengan iltizam dan doa semua masyarakat Putrajaya, kita juga akan melihat pembangunan SMA Putrajaya terlaksana...
Sunday, December 28, 2008
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430
Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam.Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.
Terima kasih juga kepada semua calon-calon EXCO Pemuda UMNO Malaysia yang telah memberikan ucapan tahun baru hijriah termasuk calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Sama-samalah kita berdoa dan bermunajat kepada Allah semoga tahun baru hijrah 1430 ini akan memberikan sinar yang lebih baik buat UMNO. Mungkin semua calon boleh bermuhasabah, sama ada pendekatan dan kaedah siasah UMNO selama ini semakin dekat atau semakin jauh dari Khaliq dan asas perjuangan parti... Atau bisakah kalian mengubah parti ini menjadi semakin sempurna dan baik berbanding dengan pendekatan PAS? Walau dalam persaingan politik, pemimpin UMNO sering memperlekehkan PAS tetapi roh perjuangan yang dibawa oleh PAS dari Gunung Semanggol mungkin perlu diinsafi! Pernahkan UMNO secara konsisten menjadikan kegiatan usrah atau majlis kerohanian sebagai aktiviti wajib mingguan kepada para AJK Bahagian termasuk sayap-sayapnya? Jawapannya ada didada kalian...
“Hijrah itu pengorbanan,
Hijrah itu persaudaraan,
Hijrah membentuk perpaduan…”
Palastein: Tragedi Ciptaan Barat
Tragedi pembunuhan kejam umat Islam di bumi Palestin oleh rejim Zionis di ambang Maal Hijriah 1430 pada pagi 27 Disember 2008 adalah siri jenayah kekejaman terbaru yang dilakukan oleh Yahudi tersebut. Pembunuhan akibat serangan peluru berpandu jet-jet pejuang Isreal tersebut adalah antara yang terburuk dalam sejarah sejak tercetusnya konflik sepanjang tempoh 60 tahun Palestin-Israel. Setelah berakhirnya tempoh gencatan senjata selama 6 bulan yang berakhir 2 minggu lepas memberikan lesen 007 kepada bangsa Zionis tersebut untuk membunuh dalam skala yang besar. Hanya kerana bedilan kecil-kecilan menggunakan mortar oleh pejuang-pejuang Palestin ke arah penempatan Israel, rupa-rupanya menuntut pembalasan sejumlah nyawa yang sangat besar. Seramai 229 rakyat Palestin termasuk anak-anak kecil, orang tua dan wanita yang tidak berdosa menjadi turut menjadi korban dan 700 orang cedera parah.
Dalam reaksi segeranya, Pak Lah hari ini meminta Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani konflik terbaru tersebut. Sebagai sebuah negara dan umat Islam, sudah tentu kita mengutuk dan marah terhadap kekejaman Yahudi yang tidak pernah berkesudahan. Adakah itu memang sifat bangsa yang dilaknat, padahal daripada bangsa merekalah ramai para nabi dilahirkan seperti Nabi Ibrahim AS, Nabi Daud, Nabi Musa dan lain-lain. Wallahuaklam... Sudah lebih 200 resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihasilkan sejak 1948 untuk mendesak Israel tunduk kepada tekanan masyarakat antarabangsa, namun kerana dibantu oleh Amerika Syarikat (AS) tidak satu pun resolusi itu diendahkan Israel.Penderitaan yang tidak terperi dialami rakyat Palestin sehingga hari ini tidak reda, malah memuncak kerana keangkuhan Israel yang didukung kuasa Barat, terutama Amerika.
Soalnya di sini, berapa lama lagikah nyawa dan darah rakyat Palestin akan disifatkan sebagai collateral damage kepada keganasan Rejim Israel? Saya amat insaf bahawa rakyat Malaysia selaku pencinta kedamaian sejagat tidak termampu berbuat apa-apa dalam keadaan dunia dan PBB yang amat dikuasai oleh zionis. Tetapi, adalah wajar jika kita terutamanya masyarakat Melayu Islam, semua menjadikan apa yang berlaku di Palestin ini sebagai iktibar untuk kita semua mempertahan serta memelihara kemerdekaan, kedaulatan serta perpaduan di negara tercinta ini pada setiap masa. Ingatlah, kita baru merdeka selama 51 tahun selepas dijajah hampir 500 tahun. Janganlah kita terikut-ikut dengan barat yang telah merdeka lebih dua abad yang lepas dan sudah tentulah mereka lebih maju dari kita. Mereka menggunakan teknologi sekurang-kurangnya lebih awal 50 tahun daripada kita. Justeru itu, jangan kita terus terikut-ikut dengan manifestasi barat kerana sememangnya kita telah dimanipulasi. Hakikatnya, kelak bangsa pendatang di negara kita tidak akan memperdulikan umat Melayu kerana mereka hanya mahukan meritrokrasi seperti idola mereka Singapura iaitu 'titik merah' sahabat intim regim Israel...
Monday, December 1, 2008
Labaik Allah - Selamat Menunaikan Ibadah Haji
Semalam merupakan penerbangan terakhir yang membawa jemaah haji dari Malaysia. 10 hari lagi umat Islam akan menyambut Aidil Adha dengan falsafah penuh pengorbanan. Mengambil kesempatan ini saya merakamkan ucapan Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada semua rakan-rakan yang pergi menunaikan ibadah haji dan semoga mendapat keredo'an serta Haji Mabrur. Hari ini, ramai umat Islam telah jauh dari falsafah pengorbanan fi sabilillah yang sebenar-benarnya. Hanya kerana menjaga hati parti komponen di dalam BN, pemimpin-pemimpin kita (UMNO) terpaksa mengamalkan sikap tidak apologetik.
Akhirnya umat Islam di Malaysia tidak sebenar-benarnya menikmati keindahan Islam tetapi hanya mendapat nikmat dunia yang sedikit. Lalu bagaimana untuk kita kembali kepada perinsip yang diredhoi Allah. Adakah kita perlu jadi PAS yang hanya partinya sahaja berdasarkan Islam tetapi "orang-orangnya", kadangkala bersikap lebih teruk dari "orang" UMNO. Sebenarnya UMNO terperangkap dengan persoalan membela konsep "parti berasaskan kaum dan parti perkauman". Lalu bagaimana kita orang Melayu hendak bersikap apologetik...
Thursday, November 27, 2008
Kerajaan Perak Menggunakan Blog
Saya tertarik apabila membaca artikel dalam Berita Harian Online 27 Nov. 2008 yang bertajuk Perak tubuh Sekretariat Blogger sebar dasar kerajaan negeri. Berdasarkan laporan berkenaan dimaklumkan bahawa seramai 26 orang penulis blog (blogger) dari Persatuan Blog Perak telah berjanji dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menulis laporan mengenai apa jua aktiviti anjuran kerajaan negeri Perak melalui blog mereka.
Setelah PRU-12 berlalu saya melihat UMNO masih lagi belum melakukan sebarang gerak kerja yang jelas dan agresif untuk menggunakan blog dalam konteks 'cyberwar' terhadap parti pembangkang. Sedangkan kita amat sedar bahawa sejak pemecatan Anwar Ibrahim pada 02 Sept. 1998, para penyokong beliau yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai 'reformis' telah menggerakkan jentera dengan membina pelbagai laman web seperti 'mahazalim', 'mahafiraun' dll. Seterusnya parti pembangkang mengambil kesempatan dengan menggunakan berita-berita fitnah dan bohong yang dicetak dari website-website berkenaan termasuk gambar-gambar untuk diedarkan kepada para pengundi luar bandar pada PRU-11 tahun 1999. Setelah tercetusnya fenomena 'blog' sekitar tahun 2004, kita melihat dalam PRU yang lepas beribu bloggers dari kalangan penyokong pembangkang telah membuka blog masing-masing. PAS misalnya telah membina blog bagi setiap Perhubungan PAS Negeri dan Kawasan (Bahagian).
Persetujuan Persatuan Blog Perak tersebut sebenarnya merupakan satu ancaman dan bahaya yang amat besar kepada UMNO khususnya di Perak. Walaupun kita mempunyai akses untuk menyiarkan berita dan propaganda melalui media massa, namun kita mesti akur bahawa pengundi saluran 3 & 4 adalah generasi yang dahagakan maklumat dengan melayari dunia 'blogsphere'. Sehubungan itu, saya amat berharap Ibupejabat UMNO Malaysia mengaktifkan semula kumpulan 'cyber-war' di bawah Jabatan Teknologi Maklumat. Seperkara lagi, saya menyarankan pemimpin disemua peringkat bahagian dan cawangan seperti Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pemuda Cawangan, Ketua Puteri Cawangan dan lain-lain membina blog masing-masing bagi tujuan menepis maklumat-maklumat dari penyokong PR sekarang ini. Amat menyedihkan kerana betapa ramainya wakil rakyat BN terutamanya UMNO yang tidak mempunyai blog/portal/website sendiri. Saya pernah terbaca satu maklumat di dalam blog seorang penyokong PAS Johor, dimana beliau mengambil inisiatif menganjurkan satu kursus/bengkel bagaimana membina laman blog. Di peringkat Pemuda UMNO Putrajaya, saya menyarankan supaya Datuk Ahmad Zaki mengarahkan semua 25 pegawai dan AJK Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya mempunyai blog sendiri. Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya selayaknya mempunyai sebuah 'portal' yang interaktif bagi menyalurkan segala info kepada ahli pemuda Putrajaya. Kos untuk membina sebuah portal interaktif adalah lebih murah berbanding harga sebuah komputer riba yang paling canggih.
Seharusnya orang UMNO, ahli UMNO dan penyokong -penyokong UMNO yang sepatutnya mahir dan terkehadapan dalam penggunaan internet ini kerana pemimpin yang menggalakkan dan mempertahankan supaya rakyat Malaysia didedahkan kepada dunia internet tanpa sempadan sekitar tahun 1994 ialah Tun Dr. Mahathir, pemimpin ulung UMNO. Pada waktu tersebut sekiranya kita masih ingat pemimpin pembangkang terutamanya yang membantah dan tidak bersetuju dengan dasar langit terbuka ini. Tetapi sekarang, merekalah yang bijak mengambil kesempatan dan orang UMNO masih lagi ketinggalan seperti bidalan "bagai katak di bawah tempurung" ...
Wednesday, November 26, 2008
Sejarah Tidak Pernah Berbohong
Struktur-struktur itu dibina dengan salutan putih telur dan batu-bata disusun berselang seli dengan gentian sutera bagi menahan gegaran kuat aliran gempa di bawah muka buminya. Ternyata bangunan-bangunan itu kukuh sehingga ke hari ini. Itu semua adalah tinggalan sejarah yang boleh dilihat dengan mata kasar.
Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, sejarah tidak pernah berbohong. Walaupun ia berlaku semalam atau kelmarin, ia adalah fakta yang tidak pernah menyeleweng, hatta beribu-ribu tahun jua usianya.
Begitu juga sejarah Kesultanan Melayu. Ia juga tidak pernah berbohong. Sejarah yang ditulis oleh sarjana dan pembesar istana zaman silam yang kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi sepatutnya dijadikan renungan, iktibar, pengajaran kepada kita semua. Persoalannya, berapa ramai generasi Melayu sekarang yang mahu mengambil iktibar daripadanya? Berapa ramai kaum lain Malaysia yang tahu mengenai Sejarah Melayu? Apakah benar Melayu mudah lupa, seperti kata-kata yang saban kali diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Seorang sahabat saya yang juga penulis dan pengkritik, Mansor Puteh menghantar kepada saya tulisannya mengenai sejarah asal usul (dan nasib malang) Sultan Singapura Pertama, Sultan Hussain Shah. Sultan itu disingkir oleh Inggeris apabila, tulisnya: ''Orang bukan Melayu bertambah banyak (di Singapura) dan menguasai bidang perniagaan dan politik di pulau itu."
Saya terpanggil untuk memetik ringkasan tulisan Mansor itu di dalam ruangan ini untuk renungan kita semua. (Rencana penuh Mansor itu akan disiarkan tidak lama lagi). Begini tulisan beliau.
Inilah nasib malang Sultan Singapura yang pertama.
Ia adalah sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan, sebab ia adalah sebuah peristiwa penting untuk bangsa Melayu di Nusantara, bukan sahaja tentang bagaimana seorang sultan Melayu boleh disingkir apabila jumlah bukan Melayu bertambah dan kuasa ekonomi mereka meningkat.
Tetapi ia boleh dijadikan iktibar untuk orang Melayu di Malaysia dan di seluruh Nusantara Melayu supaya peristiwa yang sama tidak berulang lagi khususnya di masa sekarang.
Sultan Hussain Shah, atau dikenali sebelum ini sebagai Raja Hussain Muazzam Shah ibn Sultan Mahmud Riayat Shah III (1761-1812) dari Riau atau Tengku Long (Tengku Sulong) Raja Hussain Shah, atau Raja Long yang ditabalkan sebagai Sultan di Padang di Singapura pada 31 Januari 1819.
Jenazah baginda sekarang disemadi di sebuah makam sederhana di penjuru tanah perkuburan dalam kawasan Masjid Tengkera di Melaka, terbiar dan langsung tidak dikenali sesiapa. Cuma sebuah papan tanda sahaja yang menulis tentang riwayat hidupnya. Sedangkan dia adalah watak penting dalam sejarah awal Singapura. Malah Istana Kampung Gelam di Singapura yang sekian lama didiami kerabatnya, kini sudah diambil alih oleh pihak berkuasa di Singapura dan dalam tahun 2002, ia telah diubah suai untuk dijadikan Pusat Warisan Melayu atau Malay Heritage Center.
Kisah riwayat hidup sultan Hussain Shah amat menyayatkan hati. Ia adalah kisah bagaimana Inggeris dan Cina 'mengusir' seorang sultan Melayu dengan begitu mudah. Caranya ialah dengan memperbanyakkan jumlah orang Cina yang didatangkan dari selatan China sehingga jumlah penduduk asal Melayu di situ menjadi kecil dan dengan ini kuasa politik mereka hapus begitu sahaja. Inggeris mendatangkan orang Cina dan India ke Singapura semata-mata untuk menambahkan jumlah penduduk asing. Mereka tidak membawa atau menggalakkan orang Melayu dari Riau dan pulau-pulau lain di selatan Singapura atau dari Pulau Jawa dan Sumatera mahupun dari Malaya, sebab tujuan mereka hanya untuk mengecilkan jumlah penduduk Melayu untuk akhirnya menyingkirkan hak dan kuasa Melayu di Singapura.
Kisah seperti ini bunyi seperti sebuah dongeng. Masakan sebuah Kesultanan Melayu boleh dihapuskan dengan begitu mudah?! Tetapi ia benar. Sultan Hussain Shah menangis pada waktu malam apabila baginda sedar yang dia telah disalah guna oleh Inggeris dan orang bukan Melayu di situ yang tidak menyokong atau menyembahnya. Jadi apa yang kita semua boleh pelajari daripada peristiwa perit yang dialami Sultan Hussain Shah ini? Banyak…
Itulah ringkasan catatan Mansor yang saya petik. Kesimpulannya ialah: Apabila orang lain bersatu, kita berpecah, maka kita akan hancur. Namun, hakikatnya orang Melayu Malaysia kini sudah terbahagi kepada empat puak - UMNO, Pas, PKR dan Liberal. Orang Melayu Liberal, satu generasi baru (tanpa semangat, jiwa dan roh Melayu Islam) kini semakin ramai. Mereka tidak mahu bercakap mengenai soal kebangsaan dan keagamaan kerana bagi mereka ia adalah kolot. Akan bertahankah orang Melayu untuk generasi akan datang? Tepuk dada, tanya selera. Jika bersatu kita akan kekal, jika tidak, sejarah tidak pernah berbohong.
Tuesday, November 25, 2008
Revolusikan UMNO
Saturday, November 22, 2008
Ruhanie Ahmad
Monday, November 24, 2008
Berita Aktiviti Semasa Pemuda UMNO Putrajaya
Wednesday, November 19, 2008
Lot Banglo D'Pinggiran Cyber, Cyberjaya
- Untuk dijual Lot Banglo di D'Pinggiran Cyber (Bukit Damar), Cyberjaya
- Rezab Melayu
- Individu Title/Hakmilik Individu tersedia
- Jalan merentasi Taman Sains Selangor 2/Bandar Pinggiran Cyber ke Tol Putrajaya/Cyberjaya/Taman Putra Perdana sedang dibina
- Harga akan terus meningkat dalam tempoh 5 tahun
- Luas 5700k/p - 10,430k/p
- Harga: RM20/- sekaki persegi
- Iklan : http://www.mudah.com.my/vi/1373052.htm
- Taman Sains Selangor 2 (TSS2) http://www.ssp2.com.my
Bolasepak Persahabatan...
Tarikh : 21 November 2008 (Jumaat)
Jam : 8:30 mlm – 11:00 mlm
Tempat : Taman Pancarona, Presint 18, Putrajaya
Sunday, November 9, 2008
Tahniah Barisan Jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya Sesi 2008/2011
Friday, November 7, 2008
Kempen AJK Bahagian Putrajaya
Wednesday, November 5, 2008
Saingan Tiga Penjuru Rebut Ketua Pemuda Sengit
Tetapi seperti terbukti dalam sejarah pemilihan Umno selama ini, pencalonan tidak semestinya mencerminkan jumlah undi nanti. Lebih daripada itu, apa saja boleh berlaku dalam tempoh kempen empat bulan sebelum Mac nanti. Perhitungan sebenar nanti ialah apabila ahli Pemuda mula memperincikan satu demi satu sumbangan setiap calon kepada parti dan negara selama ini. Meskipun ada sembilan nama dicalonkan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, saingan sebenar adalah antara Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Reezal Merican Naina Merican.
Begitu pun, bukan soal berapa ramai calon yang mendapat pencalonan tertinggi tetapi lebih daripada itu, perwakilan Pemuda yang hadir pada Mac depan harus memastikan bahawa pilihan mereka tepat bagi menjamin bahtera pergerakan berkenaan dikemudi dengan betul apabila mengharungi ombak cabaran pada masa akan datang. Seperkara yang menarik berlaku ketika Pemuda bahagian mengadakan mesyuarat perwakilan bagi membuat pencalonan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pusat, menampakkan perbezaan berbanding dulu. Kalau dulu, apabila disebut saja nama orang tertentu, semua sokong tetapi sekarang, selain berlaku juga sokongan sebulat suara, ahli akar umbi juga mahu nama lain turut dicalonkan dan kemudian dilakukan undian sama ada dengan kaedah mengangkat tangan atau melalui undi sulit. Sebab itu, kita tengok sesetengah calon menang tipis dengan satu dua undi, untuk diisytiharkan sebagai calon rasmi bahagian tertentu. Sememangnya Pemuda dari dulu lagi tidak kurang meriahnya dengan pemilihan jawatan pada pelbagai peringkat, termasuk ketika zaman Allahyarham Datuk Harun Idris, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanding jawatan itu.
Biarpun pernah perebutan jawatan berlaku pada 1993 tetapi tidak sehingga membawa perpecahan ketika Rahim dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno. Berbalik kepada Khairy, Mukhriz dan Mohamad Khir, sememangnya ketiga-tiga mereka adalah golongan muda yang lantang bersuara dan masing-masing mempunyai gaya kepemimpinan tersendiri. Daripada awal kecenderungan di kalangan ahli Pemuda bahagian memang tertumpu kepada Khairy dan Mukhriz. Memang pada kaca mata sesiapa saja di kalangan pergerakan itu bahawa kedua-duanya sebagai berpotensi untuk mengetuai Pemuda. Soal siapa yang dipilih adalah terserah kepada perwakilan nanti.
Selepas lebih 90 peratus Pemuda bahagian bermesyuarat, nampaknya masing-masing tidak leka daripada suasana semasa dan mahu menyelesaikannya segera bagi menumpukan perhatian terhadap pentadbiran, negara dan rakyat, apatah lagi mereka tidak mahu demokrasi dinodai. Jika kita perhalusi latar belakang Khairy dan Mukhriz terutamanya, dua anak Melayu yang bukan saja dapat melanjutkan pelajaran dalam negara, malah ke luar negara. Khairy pernah belajar di United World College, Singapura, Universiti Oxford dan Universiti College London, manakala Mukhriz di Maktab Rendah Sains Mara, Universiti Sophia, Tokyo dan Universiti Boston, Amerika Syarikat. Pendedahan belajar di luar negara memberi peluang kedua-dua tokoh itu bergaul dengan masyarakat luar dan sedikit sebanyak membuka pemikiran dan kematangan mereka.
Mohamad Khir meskipun lulusan universiti tempatan, pula berpengalaman sebagai Menteri Besar Selangor untuk dua penggal dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memperoleh undi tertinggi pada pemilihan lalu. Bagaimanapun, kekalahan Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu, memberi tamparan hebat kepada beliau. Kita tentu lega melihat Pemuda terus berfungsi sebagai kilang pelapis. Pemuda Umno tidak pernah gagal untuk melahirkan pemimpin yang berpotensi dari dulu sampai sekarang dan sememangnya fungsi asal sayap itu ialah melahirkan pemimpin muda dan kilang mengeluarkan pemimpin.Tuesday, November 4, 2008
Calon AJK Bahagian Dari Pemuda
Monday, November 3, 2008
Presiden UMNO Milik Datuk Seri Najib
Tuesday, October 21, 2008
Tahniah Datuk Zaki
Thursday, October 16, 2008
Zaki Semakin Tertekan...
Friday, October 10, 2008
Cabut Undi & Mengundi Calon
Thursday, October 9, 2008
Kempen Gear Empat...
Wednesday, October 8, 2008
Pak Lah Sah Berundur, Zaki Bagaimana?
Tuesday, October 7, 2008
Selamat Kembali Bertugas
Monday, September 29, 2008
Jangan Lupa Yang Tiada
Kita semua sudah memasuki mood raya yang dijangka akan disambut pada 01 Oktober 2008 (Rabu). Pagi tadi aku sempat pergi Bintang, Bangi dan Nilai 3 dimana ramai juga yang 'shopping' last minute. Malam kelmarin dari jam 2.00 - 5.00 pagi pulak aku singgah kat 'up town' Danau Kota. Ramai betul umat, nak bergerakpun macam kat Jalan TAR. Mengikut jadual, petangni aku akan bertolak balik ke Sungai Besar dan esok balik ke Tapah untuk beraya dirumah mertua. Jumaat balik semula ke Sungai Besar dan seterusnya kembali semula ke Putrajaya pada hari ahad.
Thursday, September 25, 2008
Hamper Raya vs Duit Raya
Wednesday, September 24, 2008
Ingat Datuk Zaki Nak Bagi Duit Raya
Monday, September 22, 2008
Enam Ketua Bahagian UMNO Wilayah Persekutuan Menang Tanpa Bertanding
Sunday, September 21, 2008
Majlis Kacau Dodol
Kelihatan kedua-dua calon Ketua Pemuda Putrajaya cukup mesra mengacau dodol bersama. Ada apa-apake? Manalah tau, sambil-sambil mangacau dodol ada dealing pelan kompromi. Bukan apa, kesian Yob dah banyak keluar modal kempen dia sebagai Naib. Kalau iapun ada kompromi, kena maklum kat kawan-kawan bro. Kamipun dah penat bersengkang mata, tak kira lagi modal beli kuaci!!! Ada 'rumours' juga Tun Faizal dah sign terima pencalonan Naib Ketua Pemuda. Betulke ??? Iyolah, bukan main erat jabat tangan Tom kat mamak Kasturi malam semalam. Ada kempen Tom tukar kem ke bro...
Thursday, September 18, 2008
Kempen, Kempen, Kempen...
Monday, September 15, 2008
Zaid Ibrahim Letak Jawatan
Tun Faisal & Razali Daiman Disingkir?
Jawatan Kosong Di Perbadanan Putrajaya
Sunday, September 14, 2008
Kebenaran VS Keberanian Muhyiddin
Cawangan Meranti Dan Tanjung Meneruskan Persidangan
Tuesday, September 9, 2008
Selamat Kembali Dari Haji Kecil
Tujuh Bahagian Di WP Ada Pertandingan
Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Ridzuan Abdul Hamid berkata, tujuh bahagian tersebut ialah Wangsa Maju, Batu, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Seputeh, Segambut dan Labuan.
Menurut beliau, selain jawatan ketua bahagian, semua jawatan penting lain termasuk ketua Wanita, Pemuda dan Puteri juga akan menyaksikan pertandingan.
''Daripada jumlah itu, hanya tiga bahagian iaitu Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak bakal menjadi tumpuan pada mesyuarat bahagian Oktober ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, di Wangsa Maju, perebutan jawatan ketua bahagian berkenaan adalah antara Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Shafie Abdullah dan pemangku jawatan itu, Datuk Zainal Nazeri.
Beliau berkata, turut menjadi tumpuan ialah jawatan timbalan ketua bahagian berkenaan apabila bekas ketuanya, Datuk Astaman Abdul Aziz yang menamatkan tempoh penggantungan keahliannya pada 23 Jun lalu, akan ditentang oleh Ketua UMNO cawangan Sungai Mulia, Jaafar Ariffin.
"Saingan dua penjuru pula akan berlaku di Bandar Tun Razak," katanya.
Menurut Ridzuan, bekas Ketua UMNO bahagian itu yang dibebas daripada penggantungan Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Amir Salleh akan ditentang oleh Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad.
Katanya, di Bahagian Batu pula pertandingan satu lawan satu berlaku antara penyandang jawatan itu, Datuk Yusof Abdul Majid yang akan ditentang oleh Yahya Mat Ghani.
Manakala di Bahagian Segambut kata Ridzuan, penyandang jawatan berkenaan, Datuk Kamarudin Ambok akan mempertahankan jawatan apabila ditentang oleh bendaharinya, Abdul Hadi Mat Zam.
Saingan tiga penjuru pula berlaku di Lembah Pantai apabila pemangku jawatan itu, Yusri Ahmad akan disaingi dua lagi calon iaitu bekas Ketua Bahagian, Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin dan Ahmad Zahran Ibrahim.
''Di Seputeh pula menyaksikan saingan dua penjuru antara penyandang jawatan itu, Datuk Hisham Abdul Majid berdepan Ketua Cawangan Happy Utara, Mustafa Kamal Mohd. Yusof,'' katanya lagi.
Sementara itu, di Labuan pula, Datuk Yusof Mahal, ahli Parlimen yang memenangi kerusi kawasan itu pada pilihan raya umum lalu dijangka berdepan penyandangnya, Datuk Suhaili Abdul Rahman.